SEORANG bergelar guru amat dipandang tinggi, malah panggilan ‘cikgu’ tidak akan lekang di bibir setiap murid yang pernah mewarisi ilmu daripadanya. Hatta, bekas guru yang bertukar profesion pun tetap dipanggil cikgu.
Tidak dinafikan peranan guru amat besar dalam masyarakat. Tanya setiap orang yang berjaya dalam hidupnya, tiada yang cemerlang tanpa didikan seorang guru.
Betapa berpengaruhnya seorang yang bergelar guru, penulis masih ingat sehingga hari ini setiap guru yang pernah mengajar sejak di tadika sehingga sekolah menengah. Cuma masih belum ada kelapangan untuk menziarahi mereka.
Masih terkenang beberapa guru yang sudah meninggal dunia, walaupun sudah tiada, suara mereka masih berulang-ulang memberi ilmu dan nasihat. Sebab itulah ada kala terlupa yang mereka sudah berhijrah ke alam baka. Yang mampu dikirim hanyalah ingatan dan doa.
Hari ini, peranan guru tetap sama. Mereka menyampaikan ilmu. Tidak cukup dengan itu, mereka juga membimbing akhlak pelajar supaya seiring dengan kebolehan akademik yang menjadi objektif hakiki pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Cuma, ada segelintir guru yang cuba mengambil kesempatan atas kepercayaan ibu bapa yang meminta mendidik anak mereka menjadi orang bijak dan terhormat. Laporan murid dicabul, diliwat dan diperkosa oleh guru menyentak banyak hati.
Ada juga guru menjadi pembekal rokok dan dadah kepada pelajar, seperti pernah tersiar di akhbar sedikit masa dulu. Siapa tidak terkilan jika mengetahui guru yang sepatutnya menunjukkan peribadi terbaik terhadap pelajar mencuri peluang melampiaskan nafsu kepada murid cilik.
Sedangkan setiap guru adalah orang yang sedia berilmu dan mereka yang berilmu adalah pewaris para anbiya’. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang berilmu (ulama) itu adalah pewaris nabi-nabi.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)
Sebagai pendidik, guru wajib mempunyai pekerti mulia yang bukan saja menjamin kecemerlangan pendidikan, juga sebagai modal mentarbiahkan insan. Tiada siapa mahu mendengar kata orang yang alpa, taat kepada pelaku maksiat, apatah lagi menadah ilmu daripada seseorang tidak berakhlak.
Kualiti seorang guru sangat penting dalam membina sahsiah pelajar, sebab itu mereka harus ikhlas, berdedikasi, jujur dan bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul, seperti mana Rasulullah SAW sebagai guru setiap umat Islam kerana Baginda mencukupi ciri contoh ikutan yang baik.
Firman Allah SWT bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.” (Surah Al Ahzab, ayat 21)
Sebagai penggerak utama yang menyumbang kepada kemajuan sesuatu bangsa melalui pendidikan rasmi, guru perlu menjaga nama baik profesion mulia ini. Sikap sebahagian kecil guru menggunakan peluang bersama pelajar untuk berbuat sesuatu tidak baik amatlah dikesali.
Guru harus memaksimumkan ruang yang ada bersama generasi pelapis negara untuk memastikan anak harapan negara dan agama terdidik sempurna dengan ilmu pendidikan formal, juga adab dan nilai murni.
Jangan pula guru yang menjadi orang harapan ibu bapa membantu membina sahsiah anak menjadi ‘pagar yang makan padi’. Bayangkan apa akan berlaku jika guru menjadi ancaman kepada pelajar.
Dengan perubahan masa, profesion guru ada kala bukan pilihan utama, tetapi terpaksa memikulnya kerana tidak berpeluang meneroka kerjaya lain. Kerana itulah bukan semua guru ikhlas menggalas tanggungjawab mendidik.
Walaupun pelbagai kejadian buruk berlaku akibat salah laku guru terhadap pelajar adalah kes terpencil, ia tidak bermakna perkara ini harus dipandang enteng. Ia juga tidak bermakna senario ini akan berakhir dan hilang dengan sendirinya.
Kesedaran perlu dipupuk melalui tarbiah mental dan rohani supaya setiap yang bergelar guru tahu menggalas tanggungjawab sebagai model insan yang meneraju pusat penyebaran ilmu dan amal, tidak seperti kerjaya lain
Merebut kelebihan menjadi umat berilmu
21 hours ago
No comments:
Post a Comment