Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Tuesday, August 17, 2010

SISTEM PONDOK .....?

الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا ومولانا محمد صلى الله عليه وسلم وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد,

Alhamdulillah dapat lagi saya meneruskan penulisan saya dalam tajuk About Pondok kerana masih ramai yang tidak mengetahui apa itu pondok dan masih samar-samar mengenainya.

Kali ini saya ingin menerangkan sedikit istilah-istilah yang sering digunakan oleh pelajar-pelajar dalam institusi ini yang mungkin dapat membantu anda supaya lebih memahami pondok. Saya tulis ini berdasarkan soalan yang saya terima dan saya dapati ramai yang kurang faham akan makna sebenar istilah-istilah ini.

•Pondok =
Asrama atau tempat mengaji (belajar agama) - Kamus Dewan edisi ke-4

Pondok juga seperti madrasah, sekolah agama rakyat dan lain-lain institusi agama seperti kolej atau universiti akan tetapi pondok menggunakan sistem talaqqi dan kitab-kitab turats/turath.

Pondok ini boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu :-
1.rendah untuk kanak-kanak
2.pertengahan atau tinggi untuk remaja dan dewasa
3.pondok untuk golongan emas.

Pondok untuk kanak-kanak lebih menekankan tarbiyah dan didikan akhlak manakala pondok untuk golongan remaja dan dewasa lebih kepada penekanan ilmu dan penghayatannya. Pondok bagi golongan emas pula banyak menekankan aspek amalan-amalan harian.



•Kitab Turats/Turath =
Kitab Warisan, Traditional atau disebut juga dengan istilah kitab tua, kitab kuning, kitab jawi atau kitab lama

Kitab turats/turath ini menggunakan bahasa-bahasa melayu lama atau bahasa arab klasik. Bagi saya secara peribadi, sebenarnya bahasa kitab-kitab turats/turath ini tidaklah lama, klasik, atau kuno akan tetapi bahasanya lebih ilmiah kerana setiap kitab-kitab jawi lama diterjemahkan mengikut kaedah nahu arab yang mana maknanya lebih tepat.

Penterjemahan atau penulisan kitab turats/turath ini dilakukan secara harfiyyah yakni huruf per huruf berbanding kitab-kitab terkini yang menggunakan penterjemahan dan penulisan secara mafhum yakni pemahaman atau pengertian secara keseluruhan atau umum

•Teknik penulisan kitab-kitab turats/turath pula mengikut tradisi dan kaedah ulamak-ulamak terdahulu daripada zaman Imam-Imam besar seperti Imam Malik, Imam Syafie dan seterusnya, diperturunkan atau diwariskan daripada generasi kepada generasi.


Seseorang yang boleh menulis atau mengarang kitab-kitab turats/turath ini adalah seseorang yang amat tinggi pencapaian ilmunya. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengarang kitab mengikut kaedah atau modul kitab turats/turath kerana penulisannya amat teliti dan teratur, calang-calang orang tidak dapat melakukannya. Tidaklah seperti menulis buku biasa kerana penggunaan bahasa lebih santai dan mudah difahami.

Bagi sesetengah orang yang kurang faham mengenai kitab-kitab turats/turath ini mendakwa bahawa kitab ini ketinggalan zaman, jumud, dan menyusahkan. Ini berlaku kerana mereka tidak sedikitpun berusaha untuk memahami dan mempelajari kitab-kitab ini. Apa yang mereka tahu hanya mengkritik sahaja tanpa mereka sedari bahawa mereka sebenarnya bukan sahaja mengkritik kitab-kitab itu tetapi termasuk pengarang-pengarangnya sekali yang mana kebanyakan pengarang kitab turats/turath adalah ulamak-ulamak besar dan mencapai tahap wali Allah SWT. Amatlah bahaya mencela wali Allah SWT kerana mereka ini kekasih Allah SWT, sedikit gurisan di hati merekapun di ambil berat oleh Allah SWT


•Talaqqi =


Penerimaan, yakni proses pembelajaran secara bersemuka antara guru dan murid. Talaqqi ini adalah dengan Tok Guru berada di tengah dan dikelilingi oleh pelajar-pelajar secara separuh bulatan sambil duduk bersila di atas lantai

Cara ini dipelopori oleh Rasulullah SAW semasa mengajar sahabat-sahabat baginda dan diperturunkan turun-temurun hingga sekarang.
Tok Guru akan membacakan kitab-kitab turats/turath secara huruf per huruf dan helaian per helaian tanpa meninggalkan satu huruf pun karangan ulamak yang menulis kitab tersebut kerana setiap huruf dan kandungan dalam kitab turats/turath mempunyai makna tersendiri tidaklah seperti kitab-kitab sekarang.

Dalam sistem bertalaqqi, adab dalam majlis ilmu amat dititik beratkan. Beberapa perkara yang dianggap remeh bagi kebiasaannya pun akan diambil kira supaya majlis ilmu tersebut berlaku dalam keadaan penuh barakah

Sistem talaqqi ini tidak mempunyai peperiksaan khusus secara bertulis ataupun lisan namun guru akan memantau pelajar-pelajarnya dari sudut akhlak, ilmu, dan amalannya dari semasa ke semasa sehingga apabila dirasakan pelajarnya telah lulus maka akan diijazahkan atau diizinkan untuk mengajar pula.

Proses pengijazahan ini pula tidaklah mengikut standard peperiksaan kebangsaan akan tetapi mempunyai syarat-syaratnya tersendiri. Ijazah yang didapat oleh pelajar pondok biasanya tidak diiktiraf oleh mana-mana institusi pengajian tinggi semasa

No comments:

Post a Comment

ampuni kami