Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Monday, August 22, 2011

Perbanyak Selawat terutamanya dibulan Ramadhan


Dalam bulan Ramadhan ini, jangan lupa untuk kita memperbanyakkan lagi sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Tanpa Baginda tidaklah sampai al-Quran kepada kita kerana kepada bagindalah Allah SWT mewahyukan al-Quran. Bagindalah wasithah bagi penyampaian al-Quran kepada umat manusia, justru jangan kita abaikan jasa dan hak baginda yang agung. Maka selain membaca al-Quran yang mulia, jangan pula diabaikan shalawat atas Junjungan SAW, ungkapkanlah ucapan sholawat yang disertai kerinduan dan mahabbah kepada baginda. Para ulama kita terdahulu sungguh bijaksana apabila mereka menghiaskan pada sela-sela sholawat Tarawih dengan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan SAW. Maka bergemalah ucapan sholawat dan salam tersebut sehingga perlaksanaan tarawih secara berjemaah menjadi meriah dan bersemangat. Namun fenomena akhir-akhir ini di beberapa masjid/surau kek tompek ese ni, suasananya lemah dan layu apabila ucapan sholawat dan salam daripada bilal tiada disambut oleh jemaah. Maka tinggallah kedengaran suara serak-serak basah tok bilal tu sorang-sorang je .... Allahu ... Allah. 

Bukankah dalam hadits masyhur yang biasa kita dengar tatkala masuk Ramadhan mengenai doa Jibril ketika Junjungan Nabi SAW naik mimbar, memberi amaran bukan sahaja kepada orang yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi gagal memperolehi keampunan, ianya juga memberi amaran kepada orang yang mendengar nama Junjungan Nabi SAW disebut namun gagal bershalawat ke atas baginda. Untuk lebih menghayati, ese bawakan hadits tersebut:-

Daripada Sayyidina Ka`ab bin 'Ujarah RA yang menyatakan bahawa satu ketika Junjungan Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat: "Datanglah kamu ke mimbar", maka para sahabat pun datang berkumpul di sekitar mimbar. Ketika baginda menaiki satu anak tangga, baginda mengucapkan "aamiin", ketika baginda menaiki anak tangga kedua, baginda mengucapkan lagi "aamiin", dan ketika baginda menaiki anak tangga ketiga, baginda mengucapkan "aamiin". Apabila baginda selesai berkhutbah dan turun ke bawah, kami bertanya kepada baginda: " Wahai Rasulallah, kami telah mendengar daripadamu pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar." Maka Junjungan SAW bersabda: " Bahawasanya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata: Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapatkan bulan Ramadhan namun gagal memperolehi keampunan bagi dirinya", maka aku pun berkata: "aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang engkau disebut di sisinya, namun dia tidak bershalawat ke atasmu", aku pun berkata; :"aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga ketiga, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapat ibubapanya atau salah seorang daripadanya berusia lanjut, namun mereka berdua tidak menjadi sebab baginya untuk mendapat syurga", aku pun berkata : "aamiin".
Allahu ... Allahu.... ingat wahai ikhwah sekalian, tatkala nama Junjungan SAW disebut, ucapkanlah shalawat. Begitulah juga hendaknya apabila kita mendengar ucapan shalawat ke atas Junjungan SAW, sambutlah juga dengan shalawat, jangan dibiarkan begitu sahaja, takut-takut terkena kutukan Jibril AS yang diaminkan oleh Junjungan Nabi SAW. Sungguh sesiapa yang melalaikan amalan bershalawat, dia pasti akan kerugian yang amat sangat di sana nanti. Shalawat itu antara sebesar-besar amalan untuk kita bertaqarrub kepada Allah SWT sebagaimana kata Syaikh al-`Alim al'`Allaamah Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani rahimahUllah dalam karya beliau yang berjodol "Hadiqatul Azhar war Riyahin" sebagai berikut:-
"Ketahuilah olehmu, bahawasanya shalawat atas Nabi SAW itu setengah daripada sebesar-besar barang yang mendampingkan diri hamba kepada Tuhannya. Dan daripada seelok-elok dan sepatut-patut barang yang dihaluankan (yakni ditujukan) kepada hadratnya SAW kerana syukur baginya atas hidayatnya bagi kita. Dan dengan dialah tertolak sekalian mudarat dan tertarik sekalian manfaat pada dunia dan akhirat."
Makanya, hadir Tarawih jangan lupa menjawab shalawat ke atas baginda SAW. Dan marila kita sempena peristiwa Badar al-Kubra, bermunajat kepada Allah berwasilahkan Shalawat Badar yang masyhur. Moga kita meraih segala keberkatan dunia dan akhirat.


Munajat Perdana Seluruh Negara !!! 26-27 Ramadhan 1432

MUNAJAT PERDANA SELURUH NEGARA 
DI KEDAH 
HADIR BERAMAI-RAMAI 

MUNAJAT PERDANA SELURUH NEGARA 
DI PAHANG PADA MALAM YANG SAMA 


Sunday, August 21, 2011

TG Hj Salleh - WAJIB sokong PAS



Al Alim Al Alamah Tn Guru Hj Salleh bin Musa , merupakan ulama yang belajar dari guru muktabar di Makkah . Semua guru beliau orang kenali . Diantara guru beliau di Makkah adalah Syeikh Wan Ismail Makkah (PAK DA EIL MAKKAH  ) , Syeikh Abd Qadir Mandili , Syeikh Syed Alawi bin Abbas , Syed Syed Amin Qutbi , Syeikh Yassin Al Fadhani , Syeikh Hassan Masyat , Tuan Guru Hj Ahyad , Tuan Guru Wan Ibrahim (PAK CHU HIM GAJAH MATI) . Beliau berguru dengan guru yang muktabar . Beliau merupakan ulama Ahli Sunnah yang paling dikenali sekarang bukan sahaja di Asia , bahkan ulama Arab mengenali dan menghormati beliau . Beliau merupakan tokoh ulama yang tegas dan terbuka . Beliau kuat menentang wahabi tetapi dengan cara hikmah dan tidak berfikiran tertutup . Beliau bukan sahaja kuat mempertahan Ahli Sunnah tetapi beliau melawan kezaliman pemerintah . INI GURU PONDOK SEBENAR YANG BERAMAL DENGAN ILMU . TUAN GURU HJ SALLEH merupakan ulama yang sangat pakar dan halusi dalam ILMU TAUHID  dan  KITAB KUNING  . 
Pendekatan yang diambil beliau adalah hikmah , semua orang samada kawan atau lawan dapat terima hujjah beliau . Seluruh masyarakat tunduk kepada beliau , inilah dikatakkan Murabbi permata ummah . 


Beliau sekarang berusia 83 tahun dan sekarang beliau Alhamdulillah masih Istiqamah mengajar dan menyebar ilmu dan mempertahan Aqidah Ahli Sunnah dan dalam masa yang sama masih kuat berjuang melawan kebatilan dan kezaliman pemerintah . 
ULAMA seperti ini sukar dicari ganti . Beliau tiadak gerun menegur samada pemimpin negara , pemimpin pakatan dan sebagainya . Beliau berpendirian tegas . Dalam isu PAS atau UMNO beliau memilih PAS sebagai medan perjuangannya . Beliau tidak mudah makan pujuk isu semasa dari pihak UMNO yang sememangnya UMNO ini bremuka -muka . 


Tn Guru Hj Salleh tidak kira siapa , Sultan pun beliau tegur . Beliau amanah dengan ilmu yang ada pada beliau . Tetokohan beliau dan kehalusan penyampaaian beliau Alhamdulillah kini beliau berjaya mengembangkan ilmu beliau dan masyarakat menerima beliau sebagai MURABBI yang sukar dicari ganti . Kuliah beliau di Kedah sekarang sangat panas dan ramai yang berpuas hati belajar dengan beliau . Peyampaiaan yang halusi , tegas , lantang , berani , berhikmah . Ketokohan beliau sangat dikagumi . 
Ribuan murid beliau hadir di pondok beliau setiap hari jumaat untuk menuntut ilmu dan terima tarbiah dari guru mursyid . 


Tahun 2010 hingga 2011 sermai tidak kurang dari 10 orang ulama Arab datang menziarahi beliau untuk memberi penghormatan kepada beliau sebagai murid Syeik Yassin Faddani yang sangat mashur sekarang . Sukar dicari ulama yang berusia lama seperti beliau yang masih kuat menjalankan kerja dakwah dan kebajikan
 SYEIKH YUSSUF HASSANI- LUBNAN
 HABIB KAZIM -YAMAN
 SYEIKH MUHAMMAD IBRAHIM -MESIR
 SYEIKH HABIB -JORDEN
SYEIKH ABDULLAH JIDDAH -MAKKAH


SYEIKH FIROS ,- DAMSYIK

HABIB MAHDI ABD HAMID YAMAN DAN HABIB UMAR ABD HAMID- YAMAN

TN GURU HJ HAMID SELIGI- KELANTAN
BABA ABDULLAH- MAKKAH .
HABIB ALI -INDONESIA

Dan Ramai ulama lagi tidak mampu saya letak keseluruhannya .
Tuan Guru bukan sahaja dikenali oleh para alim ulama bahkan di pihak Istana
Sultan Kedah telah perkenan meanugerahkan pingat Setia Diraja Kedah S.D.K , Bintang Khidmat Masyarakat B.K.M dan Tokoh Pendakwah Negeri Kedah tahun 2009 . 
Tn Guru pernah menjadi Ahli Fatwa Kerajaan Negeri Kedah selama 10 tahun

TOKOH GURU PONDOK KEDAH 2010

Nasihat saya pada saudara marilah kita bersama ulama seperti Tn Guru Hj Salleh untuk kita mantapkan saf perjuangan untuk Islam . Kita perlu terbuka dalam ikthilaf , kita baiki yang mana yang tidak betul , jang kita marah... Ilmu kita SANGAT CETEK jika hendak kita bandingkan dengan Tn Guru Hj Salleh dan rakan-rakan beliau seprerti ALLAHYARHAM  TN GURU HJ ABDULLAH LUBUK TAPAH
DAN SEPERTI TN GURU HJ OMAR ZUHDI PONDOK LANAI KEDAH ,
TN GURU HJ OMAR ZUHDI ,ULAMA MASHUR YANG KUAT MENDOKONG PERJUANGAN 
ISLAM didalam PAS . 

TN GURU HJ SALLEH BERJUANG KERANA TANGGUNGJAWAB YANG BELIAU RASA PERKARA ITU FARDHU . BELIAU MENOLAK SEGALA JAWATAN PARTI . BELIAU BERJUANG BUKAN KERANA KEPENTINGAN ! BELIAU BERJUANG DEMI ISLAM TERCINTA . BELIAU YAKIN PAS YANG MAMPU PERINTAH BUKAN UMNO!!!!!

Sekarang beliau menjadi tempat rujukan pimpinan PAS dan PR
 MB Kedah akrab dengan Tn Guru dan menasihati beliau andai terlajak langkah
Anwar Ibrahim akrab dengan Tn Guru dan sering menghubungi Tn Guru agar Tn Guru doakan belaiu

Saturday, August 20, 2011

Hormati Rasulullah SAW !

Jangan Sakiti Nabi!

Sesiapapun akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut dihadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada diantara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya. Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab dihadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan ini dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” sabda Nabi SAW (riwayat al-Tirmizi).


Fatwa Prof. Dr. Ali Jumu'ah, Mufti Mesir mejawab Status Ayahanda & Bonda Nabi s.a.w
..............................................................................................................................................................

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam Neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apapun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhlukNya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam Neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulang-ngulangkan kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan RasulNya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan
Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan timbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menempati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menanggapinya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas RA, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada dizaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab- kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW

Aqidah didahulukan ! Pertahankan Aqidah Menangi Pilihanraya ke 13

Ucaptama
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
 
Sempena Himpunan :
Front Bertindak Anti Murtad [Forkad] dan Bongkar Kepincangan SPR [Bongkar]
 
Dewan Bandaran MPKj Bandar Kajang Selangor. [ 20 Ramadhan 1432 ]
-----------------------------------------------------------
 
Pertahankan Aqidah Ummah
Menangi Pilihanraya ke 13.

 
 
Muqaddimah  :
 
Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
 
Surah Ibrahim. Ayat 24 - 25
---------------------------------------------------------
Aqidah Islam adalah noktah perjuangan PAS.
 
1. Perjuangan Islam yang didokong oleh PAS  adalah  manifestasi  dari  tuntutan 2 kalimah  syahadah لا اله الا الله محمد رسول الله  . Sebuah perjuangan yang diasaskan oleh Rasuulul Ummah Musthafa saw. yang sekurang – kurangnya  berpaksi pada 4 prinsip.
 
·         ان اعبدوا الله و اجتنبوا الطاغوت  - surah an nahl ayat 36
·         اقامة الدين و سياسة الدنيا به  - makna khalifah dari surah al baqarah ayat  30
·         بلدة طيبة و رب غفور -  surah saba’ ayat 15
·         الأمر بالمعروف و النهي عن المنكر  - surah aali imran ayat 104
 
2. Aqidah Islam menjadi rahsia umum keupayaan PAS bertahan merentasi tribulasi di sepanjang zaman. Pejuang – pejuangnya menjadi mulia kerana mempertahankan aqidah Islam dan kita wajib merasa mulia untuk melangsungkan kesinambungan perjuangan dengan aqidah ini. Kerana aqidah ini, kita sanggup berkorban, mendepani cabaran dan meredah mehnah biarpun berapa harga pengorbanan tersebut.
 
3. PAS adalah benteng utama untuk mempertahankan syariat dan aqidah ummah sesuai dengan dasar dan prinsip perjuangannya. Sebagai sebuah parti politik yang perjuangannya berteraskan Islam, PAS senantiasa dihadapan memperjuangkan aqidah, syariat dan kebajikan ummah.

4. Menyedari keruntuhan nilai hidup beragama yang semakin parah dalam negara kita, gara – gara budaya maksiat dan mungkar yang disiram subur oleh kerajaan UMNO dan BN sejak sekian lama, Dewan Pemuda PAS Malaysia sebagai sayap utama parti, dibawah slogan Duta Penyelamat dan Kasih Sayang telah menubuhkan Front Bertindak Anti Murtad [ Forkad ] untuk menyelamatkan aqidah ummah dari musibah murtad.
 
5. Saya mengharapkan Dewan Pemuda PAS mampu berperanan sebagai dahan kukuh tempat ummah berpaut dan bergantung bagi menyelamatkan aqidah mereka. Sekurang – kurangnya 3 peranan besar dapat dilaksanakan melalui Forkad.
 
·         Memberi bimbingan khusus dan khidmat asuhan aqidah kepada mereka yang mengalami keraguan terhadap Islam dan syariatnya.

·         Melebarkan dakwah Islamiyah kepada masyarakat dan membentengi mereka dengan amal Islami di dalam kehidupan mereka.

·         Mengawasi dan memantau sebarang anasir yang tidak bertanggungjawab dari merosakkan aqidah ummat Islam seperti penularan gaya hidup bebas, free thinker dan lain - lain.

 
6. Isu aqidah adalah isu yang berterusan dan berpanjangan. Ianya akan terus ditangani dengan hikmah dan serius tanpa apologetic.  Namun kita tetap akan memberikan komitmen kita, bahawa non muslim berhak beramal dengan agama mereka tanpa gangguan, malah kita turut menentang apa jua tindakan yang melanggar hak – hak non muslim yang dipelihara oleh syara’ seperti meruntuhkan rumah ibadah mereka, menghalang mereka mengadakan upacara agama mereka dan seumpamanya.
 
7. Sebagaimana kita juga akan bermati – matian berjuang mempertahankan aqidah ummah dari dicemari dan dinodai oleh mana – mana pihak termasuk mereka yang mengambil kesempatan di atas kelemahan fizikal dan material ummat Islam. Bahkan kita mesti berjiwa besar, berani dan rajin untuk tampil memperbaiki kelemahan ummat Islam dan berjuang membebaskan mereka dari belenggu kelemahan tersebut.
 
8. Mutaakhir ini, satu perkembangan menarik apabila UMNO dan BN juga berminat untuk bercakap soal aqidah dan memperlihatkan kononnya mereka juga sedang memperjuangkan aqidah. Buat masa ini, UMNO dan BN sememangnya diragui oleh kebanyakan pihak dalam usaha mereka memperjuangkan aqidah, justeru sejak sekian lama mereka menentang Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Namun saya yakin dan percaya bahawa ini sebahagian dari kejayaan kita mendidik masyarakat selama ini, bahawa aqidah adalah suatu yang mesti diperjuang dan dipertahankan oleh seluruh ummat Islam justeru ia adalah suatu yang melepasi sempadan politik kepartian.
 
9. Sebagaimana kita berjaya menghapuskan doktrin politik suku dan agama suku yang dianut oleh UMNO dan BN sejak sekian lama sehingga hari ini, kita hampir tidak mendengar lagi pemimpin UMNO dan BN bercakap soal politik suku agama suku. Kita mengharapkan suatu masa nanti UMNO dan BN benar – benar memperjuangkan aqidah Islam dan melaksanakan tuntutan aqidah ini lalu meninggalkan perjuangan batil yang berasaskan faham nasionalis dan menerima Islam sebagai dasar perjuangan.
 
10.  Saya yakin dan  optimis bahawa PAS mampu memberi suatu yang jauh lebih baik dari UMNO dan BN untuk membangunkan Islam dan syariatnya di negara ini jika diberi peluang memerintah dan berdaulat. Sekaligus memperbaiki beberapa kerosakan teruk pada system pengurusan dan pentadbiran khususnya system pengurusan demokrasi dan pengendalian pilihanraya negara.
 
11.  Kebetulannya kini, negara  tidak boleh menghadapi pilihanraya berhakimkan SPR yang kini telah mengalami kecacatan parah pada nilai kepercayaan awam terhadap ketelusan dan keadilan mereka mengendalikan pilihanraya. SPR kini tiada pilihan melainkan hanya terpaksa berdepan dengan 3 keadaan :

·         Yang di Pertuan Agong merombak Suruhanjaya Pilihanraya yang ada pada hari ini.
·         Pengerusi dan Timbalan Pengerusinya meletakkan jawatan segera
·         Merombak keseluruhan struktur Suruhanjaya ini dan membuat penstrukturan baru dengan penyertaan parti - parti politik yang bertanding serta pemerhati bebas dari peringkat nasional dan antarabangsa.

 
12. Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar salah satu pilihan di atas dikenakan kepada SPR sebelum terlambat. Tiada makna lagi pilihanraya, jika pengurusnya tidak telus dan pengadilnya tidak adil. Sebelum negara kita dipersenda oleh dunia antarabangsa dan rakyat seluruhnya hilang keyakinan dan kepercayaannya kepada SPR.
 
13. Penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihanraya sehingga kini masih kabur fungsinya. Tanpa penglibatan semua termasuk parti politik yang bertanding, ngo dan pemantau bebas di dalam Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihanraya , ianya akan terus terdedah kepada keraguan terhadap tahap keberkesanan Jawatankuasa Khas itu dibentuk.
 
14. Sungguhpun begitu, pemuda PAS mesti senantiasa bersedia untuk menghadapi apa jua bentuk makar dari pihak lawan dan sayugianya mengambil apa jua langkah berkesan untuk memenangi pilihanraya umum yang akan datang.
 
·         Kekuatan asas pemuda PAS menghadapi pilihanraya sebagaimana yang telah digariskan oleh pihak Jabatan Pilihanraya Pemuda mesti dimiliki bagi memastikan peluang memenangi pilihanraya senantiasa besar dan tinggi disamping kita terus berjuang menuntut pengendalian system pilihanraya yang adil dan telus.

·         Tugas utama pemuda PAS mesti diselesaikan mengikut dateline yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pilihanraya Pemuda. Jangan lengah dan tangguh kerja sehingga akhirnya semua perkara menjadi tunggakkan yang membebankan di saat akhir kita menghadapi pilihanraya. Perkara ini boleh dirujuk kepada manual tindakan atau manual operasi gerakkerja pilihanraya pemuda yang akan dipimpin dan dipantau oleh Jabatan Pilihanraya Pemuda.

·         Hala tuju pemuda PAS mesti dihadham atau dicerna dalam setiap aktiviti dan gerakkerja pemuda sehingga matlamat dan objektif perjuangan pemuda dapat dicapai dengan baik dan cemerlang.

 
15. Kita mesti menangi pilihanraya demi agenda perjuangan suci yang kita dokong ini. Selepas ini, semua organ pemuda di pelbagai peringkat mesti berperanan selayaknya. Ambil posisi dan pastikan berfungsi. Berjuanglah dengan penuh dedikasi demi melunaskan amanah perjuangan dan tanggungjawab kita kepada Allah swt.
 
 
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Isu Aqidah , apa peranan kita ?



Isu Aqidah Ummat : Apa sikap dan Peranan Kita ?

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom  telah mengemuka satu kenyataan ketika menjawab soalan lisan daripada Er Teck Hwa [DAP] bahawa Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010. [ Er Teck Hwa meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu. ]

2. Ertinya aqidah ummat Islam sememangnya berdepan dengan isu yang mesti ditangani oleh seluruh ummat Islam tanpa melihat apa fahaman ideologi politik mereka khasnya mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin. Isu aqidah adalah Isu utama yang melepasi sempadan politik justeru ia berkait masa depan ummah di akhirat kelak.

3. Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mempunyai Front Bertindak Anti Murtad [Forkad] untuk menangani isu pencemaran aqidah khasnya berkait dengan kes murtad dalam negara kita. Insyaallah Forkad akan terus berperanan khasnya operasi pembenterasan usaha memurtadkan ummat Islam dan operasi pemulihan aqidah bagi muslim yang tercemar aqidah dan keliru terhadap pegangan agamanya.

4. Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia memberi kerjasama dengan semua pihak untuk menjadi benteng mempertahankan aqidah ummat Islam. Komitmen ini selaras dengan dasar perjuangan PAS yang tidak pernah berubah. Justeru itu kita sokong JAIS yang bertindak untuk menyelamatkan aqidah ummat Islam dan kita konsisten dalam perkara ini. 

5. Namun dalam masa yang sama, JAIS juga mestilah bermuhasabah malah jika jelas JAIS tersalah langkah, mestilah memohon maaf kepada ummat Islam di atas tindakan mereka meroboh, merantai dan menutup rumah Allah seperti yang pernah berlaku pada Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Masjid Kampung Berembang di Ampang, Masjid Fatimah az Zahra' Taman Kosas Ampang dan lain - lain. Begitu juga mengenai tangkapan yang dilakukan ke atas penceramah - penceramah hanya kerana kesalahan tidak mempunyai tauliah sedang JAIS boleh mengeluarkan tauliah kepada penceramah tersebut untuk membolehkan mereka berdakwah.

6. Sedang rumah Allah inilah menjadi "port" untuk memantapkan ilmu dan amal ummat Islam serta penceramah - penceramah inilah pula menjadi "agen" untuk menyelamatkan aqidah ummat Islam dari musibah murtad yang melanda negara.

7.  Murtad yang berlaku dalam negara kita mempunyai beberapa faktor pendorong yang ketara. Samaada faktor itu kecil atau besar, ianya perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak khasnya pihak berkuasa negara dan juga pihak berkuasa negeri. Zaman ini adalah zaman yang disebut oleh ulamak sebagai zaman "Riddah wa Laa Aba Bakrin Laha"  iaitu : Gejala Riddah dan Tiada Abu Bakar Menanganinya"

8. Sejarah Islam telah melakarkan format tindakan Abu Bakar as Siddiq Rha dalam memerangi murtad di hari pertama musibah murtad ini tercetus. Begitu juga di sepanjang zaman khulafa' ar Rasyidin yang mendapat petunjuk daripada Allah swt. Maka kesimpulan yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui mesyuaratnya yang berlangsung pada 13 August 2011  ialah :

a ] mendesak Akta Murtad dilulus oleh Parlimen Malaysia dan dilaksanakan dalam negara kita.  [ Pada 25 Mac 1988, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi malangnya ditolak. Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru sekali lagi tidak dibenarkan membentang rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad.  Demikian juga pada sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, Yb Salahudin Ayub Ahli Parlimen Kubang Kerian telah mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad. ]

b ] mengusulkan agar Kementerian Pelajaran mewajibkan silibus pengajian agama sebagai silibus wajib ambil dan wajib lulus dalam semua jenis dan peringkat sijil peperiksaan.

c ] menggesa supaya agensi seperti Pusat Pungutan Zakat, Baitul Maal dan lainnya dapat membuat agihan yang adil dan tepat kepada golongan yang memerlukannya termasuk membantu menaikkan taraf kehidupan mereka.

d ] mencadangkan supaya agensi berikut membiayai atau mengeluarkan peruntukan untuk menghantar pendakwah Islam ke kawasan perlu seperti pendalaman, perkampungan orang asal, Sabah dan Sarawak.

e ] mendesak supaya pihak berkenaan dan berwajib membuat tambahan pegawai agama di semua sektor agar dakwah Islam dapat digerakkan secara sistematik dalam negara kita.

f ] mendesak kerajaan menukar kembali cuti hari Ahad kepada hari Jumaat seperti di negeri Johor dan Perlis sebagai hari kebesaran ummat Islam.

g ] mengekang sebarang aktiviti yang melemahkan iman, akhlak dan pemikiran ummat Islam seperti hiburan keterlaluan, pergaulan bebas dan apa jua aktiviti maksiat dan mungkar.

9. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga tidak mahu berlakunya pelanggaran hak non muslim yang telah dipelihara oleh syara' seperti menafikan hak mereka melaksanakan aktiviti agama mereka termasuk melakukan pencerobohan terhadap hak non muslim.

10. Ummat Islam mestilah peka dan sensitif dengan sebarang bentuk aktiviti yang boleh merosakkan nilai aqidah dan keperibadian mereka sebagai seorang muslim. Serentak itu menjadi tanggungjawab setiap individu muslim mendalami agama Islam melalui sumbernya yang betul agar keyakinan atau pegangan agamanya tidak mudah tergugat dan tercemar.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

.....................................................




Sidang Meja Bulat Ngo - Ngo Islam
Anjuran : Ikatan Ilmuan Malaysia [ILMUAN]
Tajuk : Isu Aqidah Ummah : Apa Sikap dan Peranan Kita ?

Resolusi Sidang Meja Bulat
Shah Alam 13 Ramadhan 1432


Sidang Meja Bulat NGO-NGO Islam yang diadakan di Kompleks Perumahan Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 13 Ogos 2011  bersamaan 13 Ramadhan 1432 [sabtu] telah mengambil pendirian-pendirian berikut:

1. Kami bersepakat dan beriltizam untuk mempertahankan pegangan akidah umat Islam di negara ini daripada dicerobohi selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Peruntukan Undang-undang yang sedia ada termasuk menguatkuasakan undang-undang murtad.

2. Kami mendokong dan menyokong usaha mana-mana pihak untuk memperkukuh akidah umat Islam melalui program-program pendidikan dan kebajikan serta menuntut diperkasakan program-program tersebut termasuklah dengan mengembalikan semula bantuan yang secukupnya kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

3. Kami menggesa supaya JAIS dan pihak-pihak berwajib yang lain segera membuat tindakan dan pendakwaan jika benar terdapat usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam dari pegangan akidah mereka sebagaimana tuntutan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.

4. Kami menuntut supaya badan-badan yang berkaitan dengan harta amanah umat Islam bertindak secara cekap bagi membantu umat Islam yang terpinggir dan tercicir supaya kehidupan mereka lebih terbela dan terjamin.

5. Kami mendesak supaya isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar-akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

6. Kami menegaskan bahawa isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam ini adalah isu yang sangat sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum, justeru kami menyeru kepada semua pihak supaya tidak bertindak menyalahi undang-undang yang termaktub.

7. Kami menuntut supaya semua pihak yang pernah terlibat merobohkan institusi-institusi Islam termasuklah meruntuhkan institusi pendidikan Islam, masjid dan surau memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia disebabkan tindakan-tindakan mereka inilah yang telah mendorong agama Islam tidak dihormati.

8. Kami menggesa supaya institusi-institusi yang mentadbir urusan umat Islam diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak dan dihormati supaya institusi-institusi ini akan dilihat sebagai benar-benar berwibawa.

9. Kami mencadangkan supaya forum-forum seperti sidang meja bulat ini dijadikan platform muzakarah yang dapat menemukan semua pihak, pelbagai jalur pemikiran yang mewakili masyarakat madani dan parti-parti politik demi meninggikan syiar Islam di negara ini. 

10. Kami NGO yang hadir hari ini bersepakat untuk bergabung dalam membela Islam.

Ngo yang terlibat :

1. PIMPINAN
2. ILMAM
3. Sekteriat Pemuda Perihatin
4. Yayasan Kepimpinan Malaysia
5. Ummah Prihatin Malaysia
6. ILMUAN
7. Pro – Guam
8. Perubatan Islam Darus Syifa’
9. PAPISMA
10. GAMIS
11. INTELEK
12. BISA - Belia Islam Ampang
13. IKATAN - Ikatan Padu Rakyat Malaysia
14. IMPROF - Pertubuhan Muslim Professional
15. I - Khidmat - Ikatan Khidmat Muslim
16. MPM - Majlis Perundingan Melayu
17. GAGASAN
18. PMRAM
19.  UKP - Usrah Kebajikan Profesional
20. FORKAD - Front Bertindak Anti Murtad
21. Umah Care
22. Terap Care
23. Tabung Kebajikan Al-Masakin.
24.  Dewan Pemuda PAS Malaysia


sekian.

Presiden Ilmuan
Dr Fuad Salleh

Friday, August 19, 2011

Cara Nabi Hidupkan Lailatul Qadar


 
RAMADAN menjanjikan ganjaran yang cukup istimewa bagi seorang Muslim ke arah mengecapi kecemerlangan hidupnya. Hal ini akan terlaksana dan tercapai dengan jayanya.Pertama; jika setiap hamba benar-benar seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa berteraskan keimanan dan muhasabah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.Kedua; yakin dengan ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT terhadap segala amalannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.(riwayat al-Bukhari dan Muslim]Memasuki detik 10 terakhir Ramadan pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW terlakar dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kupasan ringkas hadis
Para ulama berbeza pendapat dalam memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.
Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (riwayat Muslim)
Mengikat kainnya
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah ‘mengikat kainnya’.
Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua pengertian iaitu Rasulullah SAW tidak menggauli para isterinya iaitu melakukan hubungan suami isteri (jimak) dan ini digambarkan dengan istilah ‘mengikat kainnya’.
Maksud yang kedua ialah baginda SAW bersungguh-sungguh dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Kedua-dua pengertian adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Rasulullah SAW tatkala tiba malam-malam 10 akhir Ramadan. (Fath al-Bari 6:310)
Menghidupkan malam harinya
Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik kepada umatnya agar melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupkannya dengan melakukan ketaatan melalui gerak kerja ibadah.
Antaranya melakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam sewaktu manusia terlena di malam hari. (Fath al-Bari 6:310)
Membangunkan Ahli Keluarganya
Dalam hal gerak kerja beribadah (solat), baginda SAW tidak pernah melupakan atau mengabaikan keluarganya.
Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam perihal melakukan ibadah-ibadah sunat.
Perilaku baginda SAW membangunkan ahli keluargannya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab r.a di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta’ menyebutkan, bahawasanya Umar r.a melakukan solat malam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar r.a membangunkan keluarganya agar melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: “Solat! solat!”
Perkara-perkara yang dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan
1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman
Ibn Abi ‘Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a: “Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak”. (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini) Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi’en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi’en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.
2. Mencari lailatul qadr
Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud, Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari) Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu”. (Riwayat Abu Dawud).Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.  
3. Melewatkan sahur
Daripada Sahl ibn Sa’d berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)
4. Melakukan iktikaf
Iktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan).Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5) Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari”. (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)
5. Membanyakkan doa
Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak”. (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)

ampuni kami