Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, March 19, 2015

Hudud lebih penting daripada pakatan - Dato Haron Din


KUALA LUMPUR 19 Mac – Pas meletakkan perjuangan menegakkan hukuman hudud sebagai ketetapan yang jauh lebih penting daripada kerjasama pakatan pembangkang.
Pendirian itu dinyatakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang menegaskan bahawa Pas tidak akan berganjak daripada prinsip asal perjuangannya.
Menurut beliau, agenda hukum hudud sudah sebati dengan Pas dan parti itu akan tetap meneruskannya walaupun mendapat tentangan daripada sekutunya dalam pakatan pembangkang.
“Seluruh ahli Pas terutamanya para pemimpin menyedari bahawa pada satu ketika akan berlaku pertembungan di antara Pas yang hendak menegakkan prinsipnya dengan rakan-rakan kongsinya yang mungkin beralah lalu menyokong atau berkeras menentang.
“Kalau Pas teragak-agak atau le­bih mementingkan sekutunya yang menentang atau terlampau sayang dengan pakatan sehingga sanggup mengorbankan prinsipnya, maka Pas tidak akan membentangkan rang pindaan hukum hudud yang sedang berlaku di Kelantan.
“Pas telah menyatakan kesungguhannya, Pas tidak bercakap sahaja, Pas melaksanakannya, Pas lebih mengutamakan hukum Allah lebih daripada hukum manusia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 atau hukum hudud diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan walaupun Pas mendapat tentangan daripada sekutunya, DAP.
Hubungan antara Pas dengan DAP kini semakin tegang selepas Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke mendakwa Pas menikam DAP dari belakang apabila tidak menghiraukan amaran untuk tidak membentangkan pindaan enakmen itu dalam sidang DUN Kelantan.
Menurut Haron, Pas tidak pernah membelakangkan DAP mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana perjuangan Pas menegakkan hukum hudud telah diterangkan berulang kali sehingga seluruh dunia mengetahui mengenainya.
“Kalau perbuatan (memben­tang­­kan enakmen) itu dikatakan tikam belakang, kenapa tidak kata tikam hadapan sahaja, kita sudah beritahu dan terangkan berulang-ulang kali sampai masyarakat pun muak, Pas bukan sahaja beritahu DAP tetapi telah beritahu seluruh Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.
Ketika ditanya sama ada keputusan Pas melaksanakan hukuman hudud akan menjejaskan undi daripada bukan Islam, Haron berkata, Pas lebih bimbangkan kemurkaan Allah daripada bimbang tidak mendapat sokongan manusia.
“Dengan lain perkataan, Pas lebih mengharapkan bantuan Allah daripada bantuan manusia,” ka­tanya.

1 comment:

ampuni kami