Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Tuesday, September 18, 2012

Tokoh Ulama Sunni penyeri Masjidil Haram


ULAMA SUNNI  PENYERI  MASJIDIL HARAM  SATU  KETIKA  DULU

(DARI kiri) Sayyid Alawi al-Maliki, Syeikh Hasan al-Sya'ir dan anaknya Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.
SAYYID Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani dilahirkan di Mekah pada 1328 Hijrah bersamaan 1910 Masihi. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang penuh dengan ketakwaan dan keimanan daripada jaluran keturunan Sayyiduna Hasan bin Ali dan Sayyidah Fatimah al-Zahra' binti Rasulullah.
Bapa dan datuknya adalah ulama terkemuka di Masjid al-Haram di mana nenek moyangnya berhijrah dari Maghribi ke sana lantas mengharumkan buminya dengan ilmu, amal dan takwa.
Sayyid Alawi menghafaz al-Quran ketika berusia 10 tahun dan mendapat pendidikan di Madrasah al-Falah dan menamatkannya pada 1346 Hijrah. Pada tahun berikutnya beliau dilantik sebagai tenaga pengajar di madrasah tersebut.
Kehadiran Sayyid Alawi di Mekah memberikannya peluang untuk menuntut ilmu dari ulama-ulama unggul pada ketika itu. Antara guru terbabit ialah bapanya Sayyid Abbas al Maliki, Muhaddith al-Haramain Syeikh Umar Hamdan al-Mahrisi, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki, Al-Allamah Sayyid Muhammad al-Arabi al-Tabbani al-Hasani, Syeikh Muhammad Yahya Aman al-Hanafi dan ramai lagi.
Demikian juga kehadiran ulama-ulama dari seluruh dunia ke Kota Suci Mekah untuk menunaikan haji memberi kesempatan buat beliau memohon ijazah dan sanad-sanad ilmu yang bernilai dan mereka telah berbesar mengijazahkannya kepada ulama yang merupakan permata Masjid al-Haram itu.
Antara ulama dunia Islam yang mengijazahkannya ialah Syeikh Ulama Mesir al-Allamah al-Mufti Muhammad Bakhit al-Muti'i, al-Muhaddith Sayyid Alawi bin Tahir al-Haddad (bekas Mufti Kerajaan Johor), Sayyid Muhammad Abdul Hayy al-Kattani, Syeikh Muhammad Zahid al-Kauthari, al-Qadhi Syeikh Yusuf al-Nabhani, al-Imam Sayyid Ahmad al-Syarif al-Sanusi al Mujahid dan lain-lain lagi.
Sayyid Alawi adalah lambang kemuliaan akhlak dan keluhuran budi pekerti pada zamannya. Beliau adalah seorang mursyid yang berjiwa besar dan memiliki keazaman yang tinggi. Keberadaannya disenangi dan disukai oleh para ulama dan penuntut ilmu atas sifat belas kasih dan ihsan yang dipersembahkannya.
Sayyid Alawi juga amat mengasihi para penuntut ilmu terutama dari luar Mekah. Ramai di kalangan murid-muridnya terdiri daripada alim ulama dari Tanah Melayu Nusantara.
Mereka pulang membawa ilmu yang dibekalkan olehnya dan menjadi tuan-tuan guru yang disegani serta menjawat jawatan yang besar dan utama di negeri masing-masing selaku mufti, pegawai agama dan guru-guru pengajian Islam di sekolah-sekolah agama dan madrasah-madrasah tradisional.
Kesungguhan berdakwah
Sayyid Alawi memiliki kesungguhan yang luar biasa dalam menyampaikan ilmu dan berdakwah ke jalan Allah. Jarang-jarang sekali beliau bercuti dan meninggalkan kuliah pengajiannya walaupun dalam keadaan sakit.
Beliau pernah dinasihatkan berehar oleh doktor kerana dilanda keuzuran tetapi beliau tetap meneruskan kuliah pengajiannya. Baginya ilmu adalah penawar kesakitan dan kerehatan yang hakiki.
Begitu juga apabila beliau pulang daripada musafir, beliau tidak terus mengambil cuti tetapi terus menyambung tugasnya sebagai tenaga pengajar di Madrasah al-Falah.
Malah kemudian, beliau menyambung pula kuliah yang diadakan di rumahnya. Diriwayatkan setiap hari Sayyid Alawi akan mengajar lebih kurang 40 subjek pengajian Islam tanpa merasa lemah dan jemu.
Ilmu dan kemahiran
Beliau adalah tiang penyangga Masjid al-Haram. Ilmu yang disampaikannya adalah ilmu yang dinaqalkan daripada al-Quran dan sunnah.
Kemahirannya dalam ilmu-ilmu Islam seperti tafsir, hadis, feqah, nahu, balaghah dan lain-lain ilmu Islam tidak dipertikaikan lagi. Tidak hairanlah jika beliau telah ditauliahkan menyampaikan ilmu di halaqah Masjid al-Haram ketika usianya belum mencecah 20 tahun.
Beliau telah mencurahkan bakti mengajar di Masjid al-Haram serta telah dilantik sebagai jurunikah bertauliah oleh kerajaan Arab Saudi pada ketika itu.
Beliau juga telah menulis lebih kurang 10 buah buku yang kebanyakkannya telah dicetak di dunia Islam antaranya, al 'Iqd al-Munazzam fi Aqsam al-Wahyi al-Mu'azzam, al-Manhal al-Latif fi Ahkam al-Hadith al-Dha'if dan banyak lagi.
Koleksi sanadnya telah diterbitkan oleh anaknya al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki di bawah tajuk al-'Uqud al-Lu'lu'iyyah bi al-Asanid al-Alawiyyah dan Ittihaf zawi al-Himam al-'Aliyyah bi Raf'i Asanid Walidi al-Saniyyah.
Sayyid Alawi juga memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh ramai ulama pada zamannya. Beliau adalah seorang penyair dan ahli sastera yang masyhur serta mampu melontarkan syair Arab dalam keadaan bersahaja dan spontan.
Keistimewaan ini diistilahkan dalam Bahasa Arab sebagai Hadhir al-Badihah. Sebahagian koleksi syairnya itu boleh didapati dalam biografinya yang bertajukSafahat Musyriqah Min Hayah al-Imam al-Sayyid al-Syarif Alawi ibn Abbas al-Maliki al-Hasani.
Antara kemahiran lainnya ialah dalam ilmu Sejarah Isla,m di mana beliau adalah antara mereka yang dilantik dan diberi kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menentukan had dan sempadan Tanah Haram di Mekah.
Kebolehan dan kemahirannya turut dikenal pasti dalam memberi ceramah dan tazkirah apabila beliau sering menerima jemputan keudara di radio Arab Saudi menyampaikani tazkirah pada hari-hari kebesaran Islam terutama pada musim haji.
Sayyid Alawi kembali menemui Ilahi pada 25 Safar 1391 Hijrah bersamaan 21 April 1971 Masihi. Jenazahnya diiringi oleh lautan manusia di mana sejarah merakamkan bahawa dalam tempoh 200 tahun semenjak kelahirannya, tidak pernah berlaku peristiwa manusia yang begitu ramai mengiringi jenazahnya.
Benarlah kata Imam Ahmad bin Hanbal bahawa yang membezakan di antara seorang ahli sunnah dan ahli bidaah ialah hari diusung jenazahnya ke perkuburan. Jasadnya disemadikan di Tanah Perkuburan al Ma'la Mekah di sisi kubur neneknya, Sayyidah Khadijah binti Khuwailid

No comments:

Post a Comment

ampuni kami