Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu "Perang" bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.
Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu "Negaraku" dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Lt Sabri Abdullah.
Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.
Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua Diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.
Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan Duta.
Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.
Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima, perdana menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain, yang merupakan perdana menteri kedua negara.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disiar secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Belayar" oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah.
Keberangkatan masuk pasangan Diraja itu didahului pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini, serta diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.
Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak yang merupakan sebahagian alat kebesaran Diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.
Tuanku Abdul Halim berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat (seperti kot hitam labuh) yang bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok "Dendam Tak Sudah".
Baginda juga memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengah-tengahnya bersama-sama tali bengkung yang diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga-bunga.
Di pinggang Seri Paduka tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.
Tuanku Hajah Haminah pula memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja yang merupakan pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian dan mengenakan persalinan baju panjang sedondon.
Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.
Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah Al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu "Palu".
Nashkah Al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.
Baginda lalu mencium Al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.
Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan itu.
Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.
Keris itu kemudian diletakkan Seri Paduka di atas meja di hadapan nashkah Al-Quran.
Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.
Sebaik sahaja selesai warkah ikrar dilafazkan, nafiri ditiup dan lagu nobat "Perang" dimainkan, diikuti laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin di dalam Balairong Seri, serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu "Negaraku" dimainkan.
Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap sebagai mewakili kerajaan dan rakyat mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan baginda, diikuti dengan Tuanku Abdul Halim menyampaikan Titah Diraja.
Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob kemudian membacakan doa selamat.
Selepas itu, pahar berisi Al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 selamat disempurnakan.
Seterusnya, Balairong Seri bergema sekali lagi dengan tiupan nafiri dan paluan nobat yang memainkan lagu "Belayar" mengiringi Seri Paduka berdua meninggalkan istiadat dengan didahului pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja dan panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.
Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-226 pada 14 Okt 2011 bagi menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada 12 Dis 2011.
Pada tanggal 13 Dis 2011, sempena Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-227, Tuanku Abdul Halim dengan rasminya diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi memerintah negara buat kali yang kedua.
- Bernama

No comments:
Post a Comment