Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Showing posts with label sultan. Show all posts
Showing posts with label sultan. Show all posts

Wednesday, April 11, 2012

Tuanku Abdul Halim selamat ditabal Yang di-Pertuan Agong

Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu "Perang" bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu "Negaraku" dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Lt Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua Diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan Duta.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima, perdana menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain, yang merupakan perdana menteri kedua negara.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disiar secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Belayar" oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah.

Keberangkatan masuk pasangan Diraja itu didahului pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini, serta diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak yang merupakan sebahagian alat kebesaran Diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.

Tuanku Abdul Halim berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat (seperti kot hitam labuh) yang bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok "Dendam Tak Sudah".

Baginda juga memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengah-tengahnya bersama-sama tali bengkung yang diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga-bunga.

Di pinggang Seri Paduka tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.

Tuanku Hajah Haminah pula memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja yang merupakan pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian dan mengenakan persalinan baju panjang sedondon.

Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.

Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah Al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu "Palu".

Nashkah Al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.

Baginda lalu mencium Al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.

Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan itu.

Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.

Keris itu kemudian diletakkan Seri Paduka di atas meja di hadapan nashkah Al-Quran.

Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sebaik sahaja selesai warkah ikrar dilafazkan, nafiri ditiup dan lagu nobat "Perang" dimainkan, diikuti laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin di dalam Balairong Seri, serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu "Negaraku" dimainkan.

Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap sebagai mewakili kerajaan dan rakyat mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan baginda, diikuti dengan Tuanku Abdul Halim menyampaikan Titah Diraja.

Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob kemudian membacakan doa selamat.

Selepas itu, pahar berisi Al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 selamat disempurnakan.

Seterusnya, Balairong Seri bergema sekali lagi dengan tiupan nafiri dan paluan nobat yang memainkan lagu "Belayar" mengiringi Seri Paduka berdua meninggalkan istiadat dengan didahului pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja dan panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.

Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-226 pada 14 Okt 2011 bagi menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada 12 Dis 2011.

Pada tanggal 13 Dis 2011, sempena Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-227, Tuanku Abdul Halim dengan rasminya diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi memerintah negara buat kali yang kedua.

Bernama

Friday, October 14, 2011

Sultan Kedah dipilih Yang di-Pertuan Agong baru


Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya hari ini bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.
    
Sementara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini.








SINAR BARU RAKYAT MALAYSIA....   "ALLAHU AKHBAR" DAULAT TUANKU"
Sultan Kedah Darul Aman, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah telah diisytihar sebagai yang Yang Di-Pertuan Agong ke-14 berkuatkuasa 13 Disember 2011 sementara Sultan Kelantan Darul Naim, Sultan Muhammad Faris Petra diisytihar sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.



` Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya pada Jumaat bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun, demikian lapor Bernama.




Gambar: Kiri, Sultan kedah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru sementara Sultan Kelantan (sebelah kanan) sebagai Timbalan Yang di-Petuan Agong

Sementara, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan di sini hari ini.

Ini adalah kali kedua, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong dan merupakan satu sejarah di negara ini kerana sebelum ini belum ada seorang sultan terpilih menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama Sultan Andul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah pada 1970-1975 iaitu Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kelima.

Baginda diputerakan di Alor Setar, Kedah dan pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan juga merupakan Sultan Kedah yang ke-27.

Baginda diputerakan sebagai Tunku Abdul Halim, baginda merupakan anak kedua Tunku Badlishah, yang kemudian menjadi Raja Muda Kedah oleh Tunku Safiah binti Tunku Mahmud.

Baginda merupakan lepasan pelajar Wadham College, Oxford, dan mewarisi takhta ayahanda baginda pada 1958. Apabila dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1970, baginda menyaksikan pertukaran kali pertama ketua kerajaan iaitu apabila ayahanda saudara baginda, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memberikan jawatannya kepada timbalannya Tun Abdul Razak.

Raja-raja berikut pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini:

1. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.
2. Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.
3. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000
4. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979
5. Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 1970-1975
6. Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979
7. Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984
8. Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989, mangkat pada 22 Januari 2010
9. Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994
10. Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2009
11. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001
12. Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006
13. Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006-2011

Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara.

Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Negeri Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Manakala Negeri Melayu tidak bersekutu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Sementara itu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak berpeluang walaupun mereka menganggotai Majlis Raja-Raja.

Selepas kitaran pertama sembilan Yang di-Pertuan Agong (1957-1994), aturan menurut Pemerintah negeri adalah menurut kitaran yang telah digunakan sebelum itu, iaitu:

1. Negeri Sembilan
2. Selangor
3. Perlis
4. Terengganu
5. Kedah
6. Kelantan
7. Pahang
8. Johor
9. Perak

Yang di-Pertuan Agong akan melantik sebagai istiadat iaitu Yang di-Pertua Negeri, atau Gabenor, kepada 4 buah negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah and Sarawak.

Kuasa sebagai Raja Berperlembagaan

Perkara 181 (1), Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan dan kuasa raja terus berkekalan. Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong. Antaranya ialah baginda diberi kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain. Baginda juga berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Di samping itu, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara.

Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan penting yang lain dalam kerajaan termasuklah:

1. Melantik seorang Perdana Menteri
2. Menangguhkan pembubaran parlimen
3. Meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tujuan membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran raja-raja.

ampuni kami