Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Friday, February 22, 2019

Syeikh Tajuddin Al Jarumi Melele

DATO SYEIKH TAJUDDIN ABD RAHMAN AL- JARUMI..

Dato’ Syeikh Tajuddin Abdul Rahman bin Syeikh Abdul Rahman, atau gelar pada pingat kebesarannya ialah Dato’ Mursyid DiRaja merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan 1995 – 1999.

Madrasah Nahdhah Hasanah di Melele telah diasaskan oleh beliau pada 1946 setelah pulang ke Kedah apabila menamatkan pengajiannya di Mekah pada usianya 21 tahun ketika itu. Penduduk setempat juga telah mengangkat beliau sebagai Mudir pertama madrasah berkenaan.

  Beliau dilahirkan pada 1924, merupakan anak kelapan daripada 11 orang adik beradik. Pendidikan awal di zaman kanak-kanak ialah di pondok ayahnya sendiri, Pondok Batu 1.

 Ilmu al-Quran pula dipelajari melalui ibunya, Nik Doh. Ibu Dato’ Syeikh Tajuddin ialah Nik Rahmah (Nik Doh) binti Nik Abdul Manaf, merupakan kerabat Raja Teluban di Patani.

 Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Wan Idris (Tok Syeikh Jarum), ayah Dato Syeikh Tajuddin, merupakan pengasas Pondok Batu 1 (Jalan Sungai Korok, Alor Star) dan juga merupakan guru kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badli Shah serta kerabat istana Kedah.

 Ketika usia Dato’ Syeikh Tajuddin berusia 10 tahun, bapanya telah menghantar beliau untuk melanjutkan pengajian menengah dan tinggi di Mekah. Di Darul Ulum Mekah, beliau Bahasa Arab dan pelajaran lain seperti Mantik, Matematik dan Sains. Pelajaran agama yang beliau pelajari pula termasuklah Ilmu Feqah, Faraid, Usul Feqah, Qawaid Feqah, Tafsir, Ulum Quran, Hadith, Mustolah, Tauhid, dan Sejarah Islam. Manakala Bahasa ilmu Arab seperti Nahu, Sorof, Insyak, Mutolaah, ‘Arudh, Nusus, Adab dan Balaghah, dipelajari di Darul Ulum.

Pada 1943 – 1945, beliau mendalami ilmu Feqah, Usul Feqah, Tauhid, Tafsir, Hadith dan Tasawuf di Masjil Haram.

  Antara guru-guru beliau di Mekah ialah Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (merupakan guru utamanya yang juga seorang ulama hadith yang sangat masyhur di Makkah), Syeikh Hasan al-Masyalt, Syeikh Ali al-Maliki, Syeikh Husain al-Maliki, Muhaddith Hijaz al-Hafiz Syeikh Omar Hamdan al-Mahrisi, Syeikh Shafie Kedah, Syeikh Ismail Abdul Qadir al-Fathani, Sayyid Muhammad Amin al-Qurtubi, Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas al-Hasani, Syeikh Zain al-Boyani, Syeikh Yaakub bin Abdul Qadir al-Mandili dan Syeikh Husain Abdul Ghani al-Falimbani.

  Dato’ Syeikh Tajuddin kembali ke Kedah setelah menamatkan pengajiannya di Mekah selama 12 tahun (1933 – 1945). Ayahnya, Syeikh Abdul Rahman, sentiasa memberi tunjuk ajar dan dorongan supaya beliau terus berjuang di dalam bidang dakwah sehinggalah ke penghujung hayat. Pondok Melele (Madrasah Nahdhah Hasanah) dibuka atas dorongan bapanya sendiri sekembalinya beliau dari Mekah. Semasa ayahnya meninggal dunia tahun 1954, Dato’ Syeikh Tajuddin telah pun berkahwin dan memperolehi beberapa orang anak.

 Datuk kepada Syeikh Tajuddin, Syeikh Wan Idris (Haji Wan Muhammad Idris bin Haji Wan Jamal) atau lebih dikenali dengan gelaran Tok Syeikh Jarum. Beliau ialah seorang ulama besar dan mempunyai ramai murid di seluruh Nusantara. Tok Syeikh Jarum dilahirkan pada 1849 di Kampung Bendang, Jaha di dalam negeri Jala di Patani. Beliau adalah ulama besar Patani serta mengajar di Pondok Tuan Minal di Bendang Dalam,Patani. Kedatangan Tok Syeikh Jarum ke Kedah adalah atas jemputan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, yang meminta beliau terus menetap di Kedah.

Ayah Tok Syeikh Jarum pula ialah Haji Syeikh Wan Jamaluddin  (Syeikh Wan Jamal) bin Syeikh Wan Abdul Latif. Syeikh Wan Jamaluddin ialah hulubalang Patani di bawah pimpinan Haji Syeikh Wan Mustaffa (Tok Bendang Daya I) bin Syeikh Wan Zainal Abidin al-Fathani di zaman Dato’ Pengkalan, Raja Patani 1791 – 1808 dan Tuan Sulong, Raja Patani 1810 – 1832.

 Salasilah lengkap Dato’ Syeikh Tajuddin ialah Syeikh Tajuddin bin Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Wan Muhammad Idris (Tok Syeikh Jarum) bin Syeikh Wan Jamaluddin (Hulubalang Wan Jamal) bin Syeikh wan Abdul Latif bin Syeikh wan Muhammad Shamsuddin bin Syeikh Wan Muhammad Faqih bin Syeikh Wan Muhammad Yassin bin Syeikh Ibrahim al-Hadrami bin Syeikh Jamadil Kubro.

 Syeikh Ibrahim al-Hadrami bin Syeikh Jamadil Kubro ialah Sayyid Ibrahim Zain al-Akbar. Banyak gelar dan pangilan lain terhadap Syeikh Ibrahim al-Hadrami seperti Ibrahim Asmaro atau Maulana Ibrahim Asmarakandi. Manakala bapanya Syeikh Jamadil Kubro ialah Syeikh Ibar al-Jarimi atau Sayyid Jamaluddin Hussein al-Akbar (Sayyid Hussein Jamadil Kubro).

   Sayyid Ali Nurul Alam (Sultan Qunbul) adalah adik Syeikh Ibrahim al-Hadrami. Manakala Maulana Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel) juga adalah salah seorang anak Syeikh Ibrahim al-Hadrami. Sunan Ampel adalah anggota Wali Songo (Wali Sembilan) yang mempunyai hubungan sepupu dan lebih muda daripada Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik – Ketua Wali Songo) bin Sayyid Barakat Zainul Alam bin Sayyid Hussein Jamadil Kubro.

Begitulah keturunan Dato’ Syeikh Tajuddin yang merupakan dari Sayyid Jamaluddin Hussin, dari keluarga ulama besar dari Patani. Dato’ Syeikh Tajuddin meninggal dunia pada 11 Mei, tahun 2000 dengan meningalkan 9 orang anak. (Ketika tulisan ini telah terdapat anak Dato’ Syeikh Tajuddin yang telah pulang ke Rahmatullah).

No comments:

Post a Comment

ampuni kami