Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Tuesday, October 21, 2014

Membangun Bersama Islam: Islam mentadbir, bukan ditadbir



Firman Allah yang bermaksud: Berkata Nabi Sulaiman, "Wahai Tuhanku! ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak ada taranya, Sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa melimpah kurnia. Lalu Kami permudahkan permohonannya dan Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang dikehendaki. (Surah Shod: 35-36 )

Saya memulakan perutusan ini dengan memetik dua ayat Al-Quran yang menceritakan tentang Nabi Allah Sulaiman a.s. yang sentiasa memohon maghfirah keampunan daripada Allah SWT ketika mana memegang tampok pemerintahan.

Dasar yang dibawa oleh Nabi Sulaiman ialah ‘dasar sifar dosa’ dengan meninggikan syiar ‘Islam’ iaitu patuh menyerah diri kepada Allah SWT, ini kerana hanya dengan dasar ini sahaja akan membuahkan keberkatan serta kemakmuran kepada sesebuah pentadbiran. Dengan itulah, Allah telah mengurniakan kepadanya pemerintahan yang makmur serta dikagumi kekuasaannya oleh pemerintah lain ketika itu.

Inilah juga hasrat dan impian saya ketika memacu pentadbiran kerajaan Kelantan dengan berbekalkan sedikit pengalaman ketika bersama YB Tok Guru mentadbir Kerajaan sebelum ini. Hakikatnya, pembangunan Negeri Kelantan yang berteraskan Islam telah kita laksanakan sejak dua dekad lalu. Pendekatan aqidah Islamiah adalah kunci utama yang menaungi seluruh aspek perancangan dan pelaksanaan pembangunan negeri ini.

Bagi saya, melalui kefahaman aqidah Islamiah ini, ia berupaya membawa ke arah pengukuhan dasar pentadbiran yang berteraskan Islam di Kelantan. Ini kerana pendekatan aqidah adalah pra-syarat utama dalam membangunkan diri dan masyarakat dan sudah tentulah masyarakat yang berjaya ialah masyarakat yang berjaya pasakkan aqidah yang kukuh dalam jiwa dan pemikiran mereka.

Dalam konteks kuasa politik, sesebuah kerajaan hendaklah sedia melaksanakan cara-cara pentadbiran yang menurut lunas-lunas ajaran agama Islam. Barulah kerajaan tersebut dilihat telah mengambil kira matlamat pentadbiran berteraskan agama iaitu dengan memenuhi maqasid al-syariah. Di sebalik maqasid itulah akan berlaku jagaan dan jaminan terhadap lima keperluan asasi, iaitu terjaganya agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta.

Manakala aspek kedua yang diberi perhatian oleh saya selaku yang diamanahkan sebagai peneraju Kerajaan, saya ingin pastikan penerapan prinsip pentadbiran kerajaan berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan. Apa jua kerja yang kita lakukan mesti diletakkan gambaran dosa pahala dihadapan dan kerja yang dilakukan adalah berteras masuliyah atau tanggungjawab kita serta dilakukan dengan penuh itqan atau berkualiti. Setiap kali kita lakukan kerja, setiap itulah kita telah melakukan ibadat kepada Allah.

Dasar Membangun Bersama Islam yang telah terbukti berjaya mendidik minda bukan sahaja rakyat negeri ini bahkan seluruh masyarakat Malaysia. Islam yang menjadi teras di dalam pentabiran kerajaan tidak lagi dilihat sebagai agama yang disebut-sebut di masjid atau madrasah semata-mata, tetapi ia dibawa ke meja pentadbiran. Islam dilihat mampu mentadbir dan bukan ditadbir, Islam dilihat sebagai syariat yang memerintah dan bukannya syariat yang diperintah.

Kini dasar Membangun Bersama Islam terus diperkukuh dengan pelancaran Pelan Strategik Merakyatkan Membangun Bersama Islam pada 6 Mei 2014 yang lalu agar dasar ini hidup di hati-hati rakyat dengan memastikan berlakunya nilai keberkatan, kemakmuran dan kebajikan. Justeru pelan ’merakyatkan’ ini adalah suatu perancangan program bersepadu untuk memastikan persoalan teras cara hidup warga Kelantan agar bertambah mantap berpandukan prinsip hidup beragama.

Fokus utama kerajaan ialah membudayakan aktiviti solat sebagai tiang agama. Ia boleh dijayakan menerusi aktiviti yang menggalakkan amalan solat berjemaah, menyegerakan bersolat seawal waktu walau di mana berada serta meningkatkan penghayatan dengan syiar-syiar yang membantu orang ramai sentiasa mengingati solat.

Selain itu aspek meningkatkan amalan kebersihan dengan objektifnya bagi mewujudkan Kelantan Bersih (Kelantan Go Green) serta melahirkan masyarakat cakna kebersihan dan amalan kebersihan sebagai budaya unggul juga diberi keutamaan.

Kerajaan negeri juga amat menitik beratkan pembangunan komunikasi massa dan kerajaan negeri melalui Urusetia Penerangan akan mempertingkatkan usaha bagi melaksanakan jaringan komunikasi kepada rakyat. Buletin-buletin yang telah dikeluarkan seumpama Buletin Darulnaim, Fajar Islam, Serambi serta sebaran VCD maklumat berkaitan program-program kerajaan perlu disalurkan kepada rakyat dengan pelbagai cara yang sesuai.

Saya juga di sini ingin mempertegaskan demi kesejahteraan rakyat dan keberkatan negeri kita, bahawa:

Pertama, kerajaan terus komited untuk memastikan tahun 2015 sebagai tahun pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan. Pelaksanaan Qanun jenayah Islam yang kita tumpukan ini adalah semata-mata kita inginkan keredhaan Allah di bumi Kelantan kita dan kita ingin didik seluruh rakyat agar menerima dan menggemblengkan tenaga untuk menjayakan pelaksanaannya. Peruntukan RM1 juta sebagaimana bajet lepas diteruskan untuk menjayakan pelaksanaan tersebut.

Kedua, kerajaan negeri akan tetap meneruskan dengan segala ruang yang ada bagi memastikan tuntutan royalti minyak dan petroleum akan mendapat hasilnya dan hak rakyat Kelantan dikembalikan. Semoga segala usaha yang telah diperjuangkan oleh pemimpin kerajaan negeri sebelum ini, NGO dan seluruh rakyat diberi ganjaran besar oleh Allah SWT dan akan usaha ini akan berjaya nanti, insya-Allah. -HARAKAHDAILY 22/10/2014

Rencana di atas ialah perutusan Menteri Besar Kelantan sempena Sambutan Tahun ke-24 Pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan, semalam.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami