Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, October 30, 2014

Hijrah Pemangkin rapatkan sof umat Islam


Kita kini berada dalam bulan Muharam tahun baru 1436 Hijrah. Umum mengetahui Maal Hijrah ialah antara peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Tarikh ini disambut setiap tahun bagi memperingati perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat demi menegakkan panji Islam sejak 1,436 tahun lalu.
Hijrah ditafsirkan sebagai perpindahan Rasulullah SAW dari Kota Makkah ke Madinah. Peristiwa besar ini berlaku pada tahun ke-13 Baginda dilantik menjadi Rasul. Pada hari ini kalimah ‘hijrah’ lebih merujuk kepada perubahan diri individu ke arah lebih bermakna.
Pelbagai program positif diadakan bagi membuka minda masyarakat Islam hari ini mengenai konsep hijrah yang sekali gus mengenang kembali peristiwa telah berlaku sehingga mendorong kepada penghijrahan Rasulullah SAW.
Hubungan ukhuwah
Sesungguhnya bagi setiap diri Muslim yang berhijrah, Allah SWT janjikan mereka peluang kebaikan dan beroleh keredaan yang berpanjangan diatas pengorbanan dilakukan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)
Islam agama wasatiyyah iaitu agama yang komprehensif dan pertengahan. Sentiasa relevan, tanpa sempadan, tidak melampaui had dan bersesuaian dengan jiwa manusia sepanjang masa walau dalam apa keadaan sekalipun.
Malah Allah SWT meletakkan umat Islam sebagai umat yang punya sifat wasatiyyah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam) sebagai umat yang pertengahan (umat pilihan dan adil) supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad SAW) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)
Sejarah menyebut Islam mempunyai nilai toleransi yang tinggi dan memberi kebebasan kepada individu untuk beragama sejak dari awal tertegaknya agama Islam di muka bumi ini. Rasulullah SAW sendiri apabila berdakwah lebih banyak mengambil pendekatan sederhana dan tidak memaksa.
Baginda SAW memperlihatkan semangat toleransi beragama menerusi Piagam Madinah di mana orang Islam dan bukan Islam boleh saling memahami, bekerjasama serta hidup secara harmoni. Piagam Madinah telah digubal oleh Rasulullah SAW sendiri pada tahun pertama hijrah.
Perlembagaan Madinah jelas mempertahankan kebebasan beragama untuk semua, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti untuk mengamalkan pegangan serta budaya mereka.
Hijrah Rasulullah SAW dan sahabatnya pada masa itu bertujuan untuk menyelamatkan akidah, meluaskan medan dakwah dan membangunkan pemerintahan berteraskan tauhid kepada Allah SWT. Peristiwa hijrah ketika itu banyak mengajar erti ukhuwah dan kesatuan malah turut mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.
Sesungguhnya Rasulullah SAW memperlihatkan kepada kita bahawa umat Islam itu walau di manapun berada adalah bersaudara dan bukan bermusuh, apatah lagi jika hubungan ukhuwah sesama ahli keluarga yang memang saling memerlukan.
Rasulullah SAW yakin jika konsep persaudaraan mampu diwujudkan, maka segala urusan akan menjadi mudah dan teratur. Dalam sektor ekonomi juga perlu ada rasa persaudaraan supaya ekonomi Islam menjadi lebih utuh dan tidak dimonopoli oleh orang kafir semata-mata.
Umat Islam terdahulu walau setiap masa diasak dengan ujian dan halangan, tetap kuat dan teguh keimanannya kerana mereka yakin apa juga yang dilakukan adalah demi mencapai reda Allah SWT kerana kehidupan di dunia hanya sementara sebagai persinggahan sebelum sampai ke akhirat yang kekal.
Umat Islam hari ini pula sentiasa diuji dengan pelbagai fitnah dan masalah penyakit hati. Banyak penyakit hati menyerang umat Islam menyebabkan ikatan ukhuwah semakin rapuh dan tiada lagi rasa ‘kekitaan’ dalam diri.
Semakin tamak
Masing-masing tamak kerana memfokuskan kepada kejayaan individu dan mementingkan kepuasan hati sendiri, malah sentiasa berprasangka negatif terhadap satu sama lain, kerap berselisih faham di atas perkara remeh.
Kewujudan gajet canggih memudahkan lagi api perbalahan ‘merebak’ dengan pantas. Walaupun terkadang perkara itu hanya berkisarkan perbezaan mazhab, furu’ atau adat, ia boleh menimbulkan kebencian yang kekal di dalam hati.
Inilah masalah akhir zaman yang sedang kita lihat dan alami. Maka menjadi peranan semua pihak dalam menyedarkan ahli masyarakat supaya jangan terleka dan harus sentiasa ingat bahawa Muslim itu perlu sentiasa bersatu.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami