Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Showing posts with label tuan guru nik aziz. Show all posts
Showing posts with label tuan guru nik aziz. Show all posts

Tuesday, May 14, 2013

TG Nik Aziz berjaya tumpulkan keris nasionalis

Harakahdaily,14 Mei 2013




 Antara kejayaan besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah berjaya menonjolkan nilai Islam yang menolak perkauman dan tidak sesekali menzalimi kaum-kaum lain.

Menurut Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub, pendekatan Tuan Guru Nik Aziz itu telah menyebabkan bukan sahaja Islam itu dipandang tinggi, malah orang bukan Islam juga menyambut baik perjuangan Islam itu sendiri.

"Saya yakin, misi dakwah yang merentasi bentang perkauman dan darah bangsa yang dibawa oleh Tuan Guru telah berhasil menumpulkan keris nasionalis yang diasah oleh golongan-golongan tertentu.

"Hasilnya, non muslim begitu menyambut baik perjuangan Islam dan tanpa segan silu mengangkat panji-panji perjuangan Islam kerana yakin bahawa Islam tidak pernah menzalimi penganut agama lain sebagaimana yang telah terbukti di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Serah Tugas Menteri Besar di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim hari ini.

Selain itu juga kata Ahmad, 23 tahun memerintah Kelantan Tuan Guru juga telah membuktikan bahawa golongan ulamak juga mampu mengurus tadbir negeri.

Katanya, bekas Menteri Besar Kelantan itu telah berjaya memecahkan persepsi sebahagian besar rakyat Kelantan bahkan seluruh negara khususnya terhadap golongan ulama.

"Jika sebelum ini, persepsi rakyat terhadap golongan ulama ialah ulama tidak boleh mentadbir dan hanya layak berada di beranda madrasah atau masjid membelek kitab kuning untuk dibaca di dalam kuliah, tetapi hari ini dengan kejayaan YB Tuan Guru mentadbir negeri Kelantan lebih daripada dua dekad, persepsi ini telah berjaya diranapkan," katanya.

Tuan Guru ujarnya telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah itu sejak tahun 1990 lalu.

Ianya boleh diukur denga pelbagai saranan dan pembaharuan dibuat sehingga membuka mata ramai pihak bahawa sebenarnya Islam lebih layak untuk mentadbir berbanding syariat ciptaan manusia.

Menurut Ahmad lagi, kejayaan pentadbiran Tuan Guru yang memandu masyarakat dengan agama, lebih penting dari kejayaan membina bangunan yang tinggi dan jalan raya yang bersimpang siur.

Umum maklum katanya, bahawa Tuan Guru memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk perjuangan parti bahkan beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya.

Tuan Guru juga sering memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan malah beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

"Sungguh ketara sekali, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka.

"Hasilnya, sekalipun silih berganti pemimpin di peringkat kerajaan pusat, kerajaan Kelantan alhamdulillah gagal dijatuhkan dalam enam kali pilihanraya umum berturut-turut, satu tempoh yang cukup lama bagi sebuah kerajaan negeri seperti Kelantan untuk bertahan sekalipun diasak dengan pelbagai serangan," kata Ahmad.

TG Nik Aziz serah tugas secara rasmi kepada MB baru




14 Mei 2013

(Tg Nik Aziz menyerahkan tugas sebagai MB secara rasmi kepada Datuk Ahmad Yaacob hari ini)

KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyerahkan tugas secara rasmi kepada Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yaacob hari ini.

Penyerahan tugas itu diadakan sempena majlis jamuan perpisahan 'Jasamu Dikenang', khusus untuk Tuan Guru setelah mentadbir Kelantan hampir 23 tahun lalu.

Majlis berkenaan anjuran kerajaan negeri diadakan di Dewan Jamuan Utama Kota Darulnaim.

Semua anggota exco, pegawai kanan kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Adun serta kakitangan kerajaan negeri hadir pada majlis tersebut.

Selepas PRU 13 lalu, Tuan Guru tidak lagi bersedia untuk meneruskan tanggungjawab itu kerana keletihan serta masaalah kesihatan.

(Bergambar kenangan selepas selesai majlis)

Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, Tuan Guru merupakan seorang pemimpin serta role model yang cukup istimewa.

Ini kerana, katanya Tuan Guru telah berjaya mencipta tugu perpaduan khususnya bersama masyarakat bukan  Islam yang sebelum ini digambarkan imej yang buruk bagi mereka.

“Dengan kehebatan Tuan Guru, beliau telah berjaya menyatu padukan semua bangsa di negara ini sehingga mereka tidak lagi menganggap Islam sebagai agama ekstrem.

“Ianya dibuktikan lagi dengan penterjemahan sikap Tuan Guru sendiri yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum di negara ini,”ujarnya.

Beliau turut mengakui tanggungjawab memikul amanah sebagai Menteri Besar begitu besar dan bukan mudah untuk dilaksanakan.

Tegasnya, beliau memerlukan bantuan semua pihak untuk membantu rakyat melalui kepimpinan yang ada.

“Saya juga berharap ilmu dan idea dapat lagi disumbangkan oleh Tuan Guru walaupun tidak lagi sebagai menteri besar,”ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru mengakui hatinya begitu tenang mentadbir Kelantan kerana tidak ada  masaalah yang ditimpakan ke atasnya.

Sambungnya, hasil kerjasama kakitangan kerajaan negeri, orang politik serta rakyat Kelantan sendiri yang baik membuatkan tugasnya begitu mudah diurus.

“Cuma yang sukar nak berhadapan dengan pihak lawan kita ni, dia ni teruk sangat, bukan setakat Islam dia lawan, demokrasipun dilawannya,”ujarnya.

Sambungnya, apa yang berlaku kerana tiadanya roh Islam dalam jiwa menyebabkan peranan pemimpin sedemikian akan ikut acuan yang tidak berlandaskan Islam.

Misi Saya Ialah Berpegang Kepada Islam | TGNA


Tuesday, May 7, 2013

YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat , Murabbi yang ku Cintai - Helmi Assyafie

YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
pada 6.5.2013 melepaskan jawatan MB Kelantan , 
secara peribadi (Helmi Assyafie) Tn Guru Nik Aziz merupakan tokoh Murabbi yang berjaya mentarbiah jiwa saya berjuang demi Islam . Beliau merupakan tokoh yang saya kira sukar dicari ganti . 
Beliau Tegas , Wara , berwatak sederhana , mudah didekati , amanah , zuhud ...
Apabila merenung sirah Rasulullah saya melihat 23 tahun Rasulullah SAW berdakwah , 13 tahun di Makkah, 10 tahun di Madinah Islam sudah sempurna maka Baginda Wafat .....
Apabila melihat sejarah Tn Guru Nik Aziz apabila sampai masa 22 tahun hampir 23 tahun perintah Kelantan maka Tuan Guru lepaskan jawatan ditengah jemaah PAS sedang kuat gelombang kebangkitan rakyat sedang bergelora .....ALLAHUAKBAR ...
jika Tn Guru tiada .................??? (Saya tak dapat gambarkan terlalu amat sedih , kasih saya pada Murabbi seperti kasih saya pada ibu bapa . Moga Allah panjangkan usia Tn Guru Nik Aziz ,sentaisa sihat , berkati usia Tn Guru , moga Allah sentiasa merahmati Tn Guru di dunia akhirat Ameen Ya Rabb.)







TAHNIAH dan TERIMA KASIH TOK GURU PIMPIN KELANTAN 
Tok Guru berjaya didik rakyat dan bakal pemimpin pelapis . 
Tahniah kepada MB Kelantan yang baru 

(Gambar terkini MB Kelantan yang baru angkat sumpah dan Ziarah Tok Guru Nik Aziz)



Mungkin ramai tidak tahu, ketokohan Datuk Ahmad Yakob sebenarnya diwarisi daripada ayahnya, Tok Guru Haji Yaakob Ishak, pengasas Pondok Berangan.

Haji Yaakob pernah ditahan di bawah ISA bersama Nik Abdullah Arshad kerana lantang memperjuangkan Islam.

Hari ini Ahmad yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Mad menggantikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Muhamad V di Istana Negeri di Kubang Kerian, petang semalam.

Ustaz Mad dilahirkan pada 1 Febuari 1950. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Berangan pada 1957. Di peringkat menengah belajar di Maahad Muhammadi.

Pada 1977 melanjut pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir. Selepas menamatkan peringkat ijazah dalam bidang Syariah menyambung pula di peringkat Diploma pendidikan di Ain Shams University.

Memulakan kerjaya awal sebagai pendidik di Sekolah Menengah Dato’ Bentara Dalam, Segamat. Pernah mengajar di Sekolah Menengah Dabong, Kuala Krai.

Pada 1986 dipindah pula ke Sekolah Menengah Perempuan di Pasir Mas. Sekolah terakhir iaitu Sekolah Menengah Rantau Panjang sebelum meletak jawatan dan bertanding di Dun Pasir Pekan pada pilihan raya umum 1995.

Perwatakannya sederhana, tiada protokol yang menjadi penghalang biar pun mempunyai kedudukan tinggi dalam kerajaan.

Rumahnya masih lama, rumah kayu. Hasil perkahwinan dengan Datin Siti Zabidah Abdul Hamid, seorang pendidik mereka dikurniakan 12 orang.

Rumahnya tidak jauh berbeza dengan rumah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka.

Sekarang beliau dipilih Tuan Guru Nik Abdul Aziz menggantikan tempatnya.


































































Biodata YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan :

Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik :

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah :

Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan :

Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan :

Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan :

Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited :

Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :

Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.


ampuni kami