Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Friday, January 9, 2015

100 tahun kitab Bakurah - Ulama Pondok Kedah dan Pattani berhimpun pertahankan Syeikh Wan Ismail ( Pak Da Eil Makkah )
















Pendahuluan
Sejak dimulakan oleh Syaikh Daud bin Abdullah Al-Fatani pada paruh bahagian pertama abad kesembilan belas, tradisi permukiman dan kegiatan ilmu (belajar, mengajar, dan mengarang kitab) di kota suci Makkah diikuti oleh beberapa orang ulama Patani yang datang selepasnya seperti Syaikh Nik Dir al-Fathani, Syaikh Nik Mat Kecik Al-Fathoni, Syaikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zin Al-Fathoni dan ayahandanya Syaikh Wan Muhammad Zain bin Wan Mustafha Al-Fathoni, Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad Ali atau lebih dimasyhurkan dengan nama “Tok Gudang” dan lain-lain.
Boleh dikatakan hampir kesemua pelajar tanah Jawi yang datang menuntut ilmu di kota Makkah pada suku akhir abad kesembilan belas dan suku pertama abad kedua puluh sempat belajar dengan mereka, atau sekurang-kurangnya mendengar nama mereka. Tidak sedikit daripada para pelajar ini, kelak kemudiannya setelah pulang ke negerinya masing-masing, muncul menjadi tokoh-tokoh ulama’ atau guru-guru agama yang terkemuka di negeri mereka pula.
Kemudian, takdirlah yang menentukan, bahawa mulai dekad terakhir abad kesembilan belas sehingga beberapa tahun sebelum dan selepas Perang Dunia Pertama, seorang demi seorang ulama Patani ini dipanggil menemui Tuhannya. Dimulai dengan Syeikh Nik Dir Al-Fathoni yang meniggal dunia pada bulan April 1898, siri “menghadap ilahi” kemudiannya disusul secara berturut-turut oleh Syaikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad  Zain Al-Fathoni (14 Januari 1908), ayahandanya Syaikh Wan Muhammad Zin bin Wan Mustafa Al-Fathoni (21 Januari 1908), Tok Gudang (24 Februari 1915) dan Syaikh Nik Mat Kechik Al-Fathoni (6 Mac 1915). Turut berpulang disela-sela kematian ulama Patani ini ialah Tok Wan Ali Kutan daro Kelantan (1913), Syaikh Ahmad Khatib dari Minangkabau (13 Mac 1916), Syaikh Uthman Abdul Wahab dari Sarawak (29 Julai 1921) dan lain-lain.
Maka hampir sunyilah Kota Makkah dari kegiatan ulama Patani. Menjelang Perang Dunia Kedua, cuma tinggal empat orang sahaja lagi ulama ternama asal Patani di kota ilmu ini. Mereka ialah Pak Cik Daud bin Wan Mustafa Al-Fathoni, Cher Pak Ya Al-Ramani, Syaikh Nur bin Syaikh Nik Mat Kechik Al-Fathoni dan Syaikh Wan Ismail bin Syeikh Wan Abdul Qadir Al-Fathoni. Melalui merekalah citra ulama’ Patani berlanjut di kota Makkah, meneruskan tradisi ilmu yang  telah dimulakan sejak lebih satu abad yang silam.
Namun, tiga orang yang pertama dari mereka ditakdirkan meninggal dunia lebih awal; Pak Cik Daud pada bulan Mac 1936, Cher Pak Ya Al-Ramani (1938) dan terakhir, Syaikh Nur Al-Fathoni (1944). Lalu satu-satunya ulama kenamaan asal Patani yang tetap bermukim dan mengajar di Makkah sehingga ke tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, tidak lain ialah Syaikh Wan Ismail bin Syeikh Wan Abdul Qadir Al-Fathoni.

Gelaran Pak Da
Beliau digelar Pak Da kerana beliau anak yang ketiga (menjadi panggilan mengikut orang di Patani, Kelantan dan Baling Kedah). Ada juga riwayat mengatakan beliau digelar Pak Da kerana beliau menjadi alim pada usia muda. Beliau juga mempunyai anak-anak murid yang lebih tua dari beliau, antaranya ialah Syaikh Abdullah Fahim seorang Tuan Guru daripada Malaysia. Tuan Guru Abdul Rahman Guar Kepayang sendiri pernah belajar bersama-sama Syaikh Abdullah Fahim dengan Pak Da  ‘El. Pada suatu hari Syaikh Abdullah Fahim belajar (Kaedah belajar dengan Pak Da ‘El ialah anak murid akan baca kitab depan tok guru bukan tok guru baca kitab depan anak murid. Pernah suatu hari Pak Da ‘El lalu di tempat pengajian Syaikh Abdul Qadir Al-Mandili yang juga merupakan anak murid beliau yang selalu dihadiri di majlis pengajian beliau oleh beribu orang penuntut ilmu,kemudian Pak Da ‘El berkata”Syaikh Qadir ni yang duduk ramai-ramai ni bukan dok ngaji, yang mengaji Syaikh Qadir sorang ja”) dengan Pak Da ‘El, tiba-tiba beliau tak nampak tengok kitab dekat-dekat. Kemudian Pak Da ‘El berkata kepadanya “Haji Lah mengaji tak khabar tua”. Antara antara anak murid beliau yang lebih tua juga ialah Tok Perigi atau Tok Pose. Maka dipanggil Pak Muda kemudian lama-lama dipanggil Pak Da 
Kelahirannya
Pak Da ‘El atau nama penuhnya Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Kadir bin Wan Mustafa al Fatani dilahirkan pada tahun 1300 H bersamaan 1882 M di kampong Bendang Daya, Patani Dar al Salam. Ayah beliau iaitu Wan Abdul Kadir atau Syeikh Abdul Kadir merupakan seorang ulama’ besar  dan wali Allah di Patani pada separuh kedua abad ke-19 dan menjadi guru di sebuah pondok ternama iaitu Pondok Bendang Daya. Beliau digelar dengan “Tok Bendang Daya Kedua”. Manakala datuknya, Syaikh Wan Mustafa bin Wan Ahmad atau Tok Wan Pa digelar dengan “Tok Bendang Daya Pertama”, adalah seorang imam, tok guru pondok merangkap hulubalang Patani pada bahagian pertama abad kesembilan belas dan dipercayai pernah terlibat dalam perang “Pemberontakan Patani” menentang Siam pada tahun 1832.  Digelar juga “Tok Lailatu Al-Qadar” kerana setiap kali masuk bulan Ramadhan beliau berjumpa dengan Lailatu Al-Qadar. Beliau berdoa kepada Allah supaya 7 keturunan beliau menjadi ‘alim.
Syeikh Wan Ismail merupakan anak ketiga daripada 6 orang adik beradik:
1)    Wan Aisyah. Berkahwin dengn Wan Idris (Pak Cu Yeh Tok Raja Haji)
2)    Wan Sofiyyah. Berkahwin dengan Tok Bermin yang terkenal seorang yang alim dalam Feqah.
3)    Wan Ismail (Pak Da ‘El)
4)    Wan Aminah. Berkahwin dengan Haji Ismail dapat anak bernama Abdul Qadir Sena (seorang ulama’ besar di Patani).
5)    Wan Yusuf (Pak The Soh). ayahanda kepada Tuan Guru Haji Wan Muhammad Besing.
6)    Patani.Wan Ibrahim (Pak Chu Him). Pengasas pondok gajah mati di Pendang Kedah. Digelar juga “Sibawaih”. Beliau boleh baca matan Alfiyyah secara songsang (daripada akhir matan hingga awal matan). Orang tidak berani baca barzanji dihadapan beliau sebab beliau mahir baca barzanji dengan pelbagai wajah. Diantara anak murid beliau ialah Syaikh Abdul Qadir Al-Mandili (Pengarang kitab Penawar Bagi Hati)
Keluarga Bendang Daya
Beliau dilahirkan dalam keluarga ulama. Selain daripada ayahnya yang merupakan ulama yang hebat, beliau juga mempunyai tiga bapa saudara yang kesemuanya alim-alim belaka. Mereka ialah Syeikh Wan Muhammad Zain al Fatani, Syeikh Wan Abdul Latif dan Syeikh Wan Daud atau Pak Cik Daud.
  1. Syeikh Wan Muhammad Zain al Fatani- sebelum beliau bermukim di Mekah, beliau membantu adiknya Syeikh Abdul kadir di Pondok Bendang Daya. Setelah menetap di Mekah kegiatan kehidupannya banyak tertumpu dalam menyalin kitab-kitab Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani. Beliau adalah bapa kepada ulama besar Syeikh Wan Ahmad (Pengarang Kitab Faridah Al-Faraid).
  2. Syeikh Wan Abdul Latif- bergiat di kota Bangkok. Kegiatan dakwahnya di kota ini disambut dan diperluaskan oleh cucunya dengan membuka pondok al Latifiyah di Ta’it, Thonburi, Bangkok.
  3. Syeikh Wan Daud (Pak Cik Daud)- seorang guru terkemuka di Masjid al Haram sebelum perang dunia kedua. Mempunyai anak-anak murid yang sangat ramai termasuklah Tok Guru Dala, Haji Hassan Mak Enggol, Haji Ahmad Pusan Al-Fathani, Tok Kenali, Tok Selehor, Tok Padang Jelapang, Tok Seridik, Haji Abdullah Tahir Bunut Payung (Kelantan), Haji Wan Abdul Latif (Besut, Terengganu) dan lain-lain. Beliau merupakan bapa saudara merangkap bapa mertua kepada Pak Da ‘El. Masyhur disapa dengan Pak Cik Daud dan jugs digelar “Sibawaih Melayu”. Tuan Guru Abdul Rahman Guar Kepayang pernah berjumpa dengan Pak Cik Daud walaupun tak pernah mengaji dengan beliau. Tuan Guru Abdul Rahman berkata Pak Cik Daud membaca Al-Quran yang tidak ada baris dengan tidak ada titik. Pak Cik Daud berkata “Kami mengaji kitab bukan sahaja kitab yang taka da baris tapi mengaji juga kitab yang tak ada huruf yang bertitik”. Dengan beliaulah Pak Da ‘El belajar ilmu tatabahasa Arab sekaligus menjadikan Pak Da ‘El seorang yang ‘alim dengan ilmu Tatabahasa Arab (Alim Ilmu Alat).
Manakala itu, sepupunya iaitu Haji Wan Ahmad (anak kepada Wan Muhammad Zain) seorang ulama besar yang disegani malah beliau dianggap bintang atau pemegang obor ilmu dalam keluarga “Bendang Daya” ini.
Sewaktu Pak Da ‘El lahir, ayah beliau masih menetap di Patani – menjadi Syaikh di pondoknya. Manakala dua orang bapa saudaranya – Syaikh Wan Muhammad Zain dan Pak Cik Daud – sudah lama bermukim dan bergiat di Makkah. Demikian juga sepupunya, Syaikh Wan Ahmad.
Inilah lingkungan keluarga yang melatari kehidupan awal Pak Da ‘El. Maka tidak hairanlah jika selepas beliau mendapat ilmu asas daripada ayahnya di kampung, juga dari seorang ulama berdekatan bernama Haji Abdul Samad bin Muhamad Saman Al-Naufi Al-Fathoni,  Pak Da ‘El  diberangkatkan ke mekah ketika mana beliau baru berusia 13 tahun pada tahun
Belajar Di Mekah
Pak Da ‘el naik ke Makkah pada 1895. Kebetulan pada tahun berkenaan ayahnya diminta oleh kerabat diraja Patani untuk menghaji dan mengumrahkan beberapa orang keluarga diraja Patani yang telah meninggal dunia tetapi tanpa sempat menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Mengambil peluang ini, ayahnya membawa Pak Da ‘El yang masih kecil untuk diserahkan kepada dua orang bapa saudara dan seorang sepupunya yang pada waktu itu sudah menempa nama sebagai Ulama Tanah Jawi yang terkemuka di Makkah. Tidak lama selepas penyerahan ini sempurna dilakukan, ayahnya ditakdirkan meninggal dunia di Makkah pada bulan Jun 1895, iaitu sebaik-baik sahaja selepas beliau menunaikan ibadat haji musim berkenaan.
Maka tinggallah Pak Da ‘El yang masih kecil di bawah jagaan dan didikan  bapa saudaranya Haji Wan Muhammad Zain, Pak Cik Daud, dan juga sepupunya Haji Wan Ahmad. Kepada beliau-beliau inilah Pak Da ‘El menumpang hidup, belajar dan bersiap menjadi orang alim seperti yang diharapkan oleh ayahnya. Selain dari dua orang bapa saudaranya dan sepupunya ini, Pak Da ‘El juga, di peringkat yang lebih kemudian, belajar kepada Haji Nuh bin Haji Abdul Majid, Tuan Mokhtar Atarid Bogor dan seorang guru dari India, di samping guru-guru bangsa Arab yang lain.
Setelah berapa lama di Mekah beliau sepertinya tidak berniat untuk pulang semula ke tanah airnya dan mengikuti jejak langkah bapa saudara dan sepupunya. Sejak ke Mekah beliau hanya dua kali sahaja turun ke Jawi. Tambahan pula, beliau diambil menjadi menantu oleh bapa saudaranya yang merangkap gurunya iaitu Pak Cik Daud. Dikahwinkan beliau dengan anaknya yang bernama Wan Maimunah.
“Sejak naik ke Makkah, Pak Da ‘El Cuma dua kali turun ke Jawi” beritahu menantu beliau, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng kepada saya. “Sekali pada waktu beliau berumur tiga puluh tahun (tahun 1912 Miladiyyah) dan sekali lagi saya tidak pasti, tetapi diperkirakan sebelum Perang Dunia Kedua”. Lanjutnya.

Mengajar Di Mekah
Pak Da ‘el adalah kira-kira seangkatan dengan ulama-ulama Patani yang lain seperti Haji Ahmad Palwan, Tok Balur dan lain-lain. Bezanya mereka pulang semula ke tanah air dan beliau memilih untuk berada di Mekah al Mukarramah.
Adalah diperkirakan bahawa Pak Da ‘El mula mengambil bahagian mengajar secara aktif selepas beliau berumur 30 tahun. Nama beliau mula timbul antara penama-penama ulama tanah jawi yang berrada di kota Mekah pada waktu itu. Pada tahun 1920 ramai ulama-ulama nusantara yang berada di Mekah telah wafat dan meliau merupakan pewaris mereka bagi menyuburkan cahaya kepada mereka yang masih hidup.
Antara ulama Semenanjung Melayu (khususnya Patani dan Kelantan) yang sempat belajar kepada beliau pada tahap awal (dekad 1920-an), termasuklah Tok Guru Dala, Haji Hassan Mak Enggol, Haji Ahmad Abdul Wahab Al-Fusani, Datuk Haji Muhammad Nur Ibrahim (Kemudiannya Mufti Kerajaan Kelantan), Haji Awang Lambur (Wakaf Baharu), Tuan Guru Haji Daud Geting (Tumpat) dan lain-lain.

Kemashuran Pak Da ‘el
Pak Da ‘el merupakan seorang yang alim dalam bidang Usuluddin. Ia adalah suatu yang makruf. Bahkan kerana inilah nama beliau mashur di kalangan ulama-ulama Nusantara yang berada di Mekah. Selain daripada itu beliau juga mahir dalam segenap bidang ilmu. Antaranya ialah ilmu mantik, falsafah, fiqh, tafsir dan tata Bahasa Arab.
Dimaklumkan oleh menantu beliau bahawa selain beliau mengajar kitab-kitab usuluddin, Pak Da ‘el juga mengajar kitab fiqh besar seperti Fath al Wahhab, al Mahalli dan Iqna’. Kitab tafsir seperti Tafsir Jalalain dan kitab-kitab tasauf seperti Minhaj al A’bidin.
Antara kitab-kitab Usuluddin Jawi yang seri beliau baca sebagai teks ialah Faridah Al-Faraid (bagi sepupunya Syaikh Wan Ahmad Al-Fathoni), Siraj Al-Huda (Syaikh Zainuddin Sumbawa) , Matan Jauharah Al-Tauhid (Al-Laqani) dan sebuah kitab karangannya sendiri berjudul Bakuroh Al-Amani. Dua buah kitab pertama yang disebut dan terakhir adalah “kitab wirid” beliau yang sentiasa beliau ulangi setiap kali khatam, manakala Kitab Usuluddin Arab  termasuklah Bajuri, Hasyiah Al-Amir, Matan Sanusi Al-Kubra, dan Dusuqi.
Pak Da ‘el juga mengajar ilmu bahasa arab kepada anak-muridnya seperti kitab Matan Azhari, al Faqihi, Ibn Aqil dan Hasyiah Al-Sibyan (semuanya kitab  nahu) dan Syuruh Talkhis (Sebuah kitab balaghah). Manakala dua kitab mantik yang beliau pegang iaitu Isaghuji dan Syarh Tahzib.
Beliau tidak mempunyai anak-anak murid yang ramai dalam satu-satu masa. Hal ini kerana anak-anak murid beliau terdiri daripada orang-orang alim dan beliau lebih banyak mengajar di rumah daripada di Masjid al Haram. Ada juga ketika beliau mengajar di masjid pada waktu malam kepaa anak-anak murid beliau yang tertentu.
Beliau pantang sekiranya ditanya soalan-soalan yang untuk menguji beliau. Beliau sangat sensitif. Namun sekiranya anak muridnya tidak bertanya kepadanya soalan-solan yang mereka tidak tahu, beliau akan menjawab: “mengapa belajar sekiranya sudah tahu.” Manakala sekiranya ada yang bertanya soalan yang tidak sepatutnya ditanya maka beliau akan menjawab: “itu sahaja yang kamu tanya?”
Seorang anak muridnya Haji Nik Ismail bin Nik Abdul Rahman Khatib mengatakan beliau sangat tegas ketika mengajar namun ramai yang masih mahu berguru dengannya.
Guru-gurunya
  1. Syaikh Wan Abdul Kadir (Ayah beliau)
  2. Haji Abdul Samad bin Muhamad Saman Al-Naufi Al-Fathoni
  3. Haji Wan Muhammad Zain (Pak Cik beliau)
  4. Pak Cik Daud  (Pak Cik beliau)
  5. Haji Wan Ahmad (Sepupu beliau)
  6. Haji Nuh bin Haji Abdul Majid
  7. Tuan Mokhtar Atarid Bogor
  8. Syaikh Muhammad Ali Al-Maliki
Pak Da ‘El dan Gurunya Syaikh Muhammad Ali Al-Maliki
Nama guru yang paling banyak disebut oleh Pak Da ‘El ialah Syaikh Muhammad Ali Al-Maliki merupakan Syaikhul Masyaikh guru kepada segala ulama-ulama pada ketika itu. Digelar dengan “Sibawaih Zamanih” yakni ulama’ yang alim ilmu tatabahasa arab yang terdiri daripada Nahu dan Sorof pada zamannya dan “Sakaki Awanih” yakni ulama yang ‘alim dalam ilmu Balaghah.
Syaikh Ali Al-Maliki pernah berkata “selama aku dok mengajar anak-anak muridku yang ramai-ramai ni tak pernah aku bertemu anak murid yang paling alim dan paling bijak seperti Syaikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir, baik Arab atau ajam”.Syaikh Ali Al-Maliki seorang yang alim 4 mazhab dan pelbagai bidang ilmu. Tanyalah apa-apapun mesti beliau boleh jawab. Tetapi kalau soalan daripada Pak Da ‘El, Syaikh Ali Al-Maliki akan berkata “natawaqqaf “. Beliau tak dapat jawab soalan Pak Da ‘El ketika itu dan beliau akan jawab soalan itu pada pengajian beliau yang akan datang.
Kitab Bakuroh dikarang dengan sebab jaminan dan sokongan daripada Syaikh Muhammad Ali Al-Maliki. Di Malaysia terdapat ramai anak murid Syaikh Muhammad Ali Al-Maliki, antaranya ialah Syaikh Abdullah Fahim dan Syaikh Zubair Bukit Changgang. Boleh dikatakan kebanyakan ulama-ulama’ nusantara pada zaman itu merupakan anak murid kepada Syaikh Muhammad Ali Al-Maliki. Syaikh Ali berkata kepada Pak Da ‘El “Kamu nak mengarang kitab ini aku duduk dibelakang kamu sekiranya ada orang yang mengkritik kamu”.

Murid-muridnya
Seperti yang dikatakan tadi beliau seorang guru yang tidak lokek dengan anak-anak murid. Sejak beliau mula mengajar pada usianya 30 tahun sehingga beliau meninggal (penghujung tahun 1965) lebih kurang setengah abad, Pak Da ‘el telah berjaya mencetak ramai anak murid menjadi alim ulama dan guru agama yang berwibawa serta dihormati.
Berikut merupakan beberapa anak murid beliau:-
Di Patani:
  1. Haji Abdul Rahman Saghir (Kuala Beruas)
  2. Haji Abdul Rahman Bin Muhammad Arshad (Tok Guru Dala)
  3. Haji Hassan (Mak Enggol)
  4. Haji Ahmad bin Haji Abdul Wahab (Kampung Pusan Perigi) – digelar Tok Pose/ Tok Perigi.
  5. Haji Ahmad (Tembesu, Binjai Lama)
  6. Haji Abdul Wahab (Pangkalan Enam, Pujud)
  7. Haji Abdullah (Pondok Jambatan Kuda, Teluban)
  8. Haji Wan Nik (Pulau Mati, Bandar)
  9. Haji Wan Abdul Rahman (Jakar)
10. Haji Abdullah (Bendang Kebun)
11. Haji Muhammad Zain (Balur, Kekabu)
12. Haji Yusuf (Pondok Melayu Bangkok, Yala)
13. Haji Nik Mat (Pondok Comel, Teluban)
14. Haji Abdul Rashid (Pondok Sesayap)
15. Haji Ismail atau Pak Teh ‘El (Pondok Getah Tambah)
17. Haji Abdullah Mayo (Rakak)
18. Haji Hassan (Lubuk Topeng, Jeringa).
19. Haji Abdul Rahman, Beraul (ayahanda kepada Dr. Ismail Lutfi)
20. Haji Yaakob (Langgar, Palas)
21. Haji Abdul Kadir (Nad Tok Embong) – anak saudara beliau sendiri
22. Haji Pak Cu atau Haji Idris (Cembar)
23. Haji Waman (Gajah Mati, Cempaka)
24. Haji Abdullah (Tanah Periuk, Kekabu)
25. Haji Nik Abdullah Ahmad (Nibong Baru, Yala)
26.  Baba Li (Sekam, Palas)
27. Tok Perigi



Di Luar Patani:
  1. Syaikh Abdul Rahim Al-Kalantani (Makkah)
  2. Haji Awang (Lambur, Wakaf Baharu)
  3. Syaikh Abdul Qadir Al-Mandili (Makkah)
  4. Haji Cik Hassan (Lemal, Pasir Mas)
  5. Haji Daud Said (Kampung Getting, Tumpat)
  6. Haji Hassan (Ketereh, Kota Bharu)
  7. Haji Ahmad (Batu Tiga, Repek, Pasir Mas)
  8. Haji Abdullah (Pondok Lati, Pasir Mas)
  9. Haji Harun (Batu Tiga, Repek, Mas)
10. Haji Abdullah (Pondol Lati, Pasir Mas)
11. Haji Wan Yusuf Che Tengah (Kemuning, Machang)
12. Haji Wan Yaakob Che Tengah (Kweng Hitam, Machang)
13. Datuk Haji Muhammad Nur Ibrahim (Mufti Kerajaan Kelantan)
14. Haji Shu’aib Daud (Kampung Menuang, Kota Bharu)
15. Haji Yaakob Saleh (Kampung Nipah, Bachok)
16. Haji Daud Jambul (Kampung Perakap, Bunut Susu, Pasir Mas)
17. Haji Abdul Rahman Sulaiman (Pondok Sungai Durian, Kuala Krai)
18. Haji Wan Hussain bin Wan Mustafa (Alor Keladi, Jerteh)
19. Haji Ismail Ahmad (Imam Besar Pertama Masjid Negeri, Negeri Sembilan)
20. Haji Muhammad Haji Yusof (Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti, Negeri Sembilan)
21. Haji Ghazali (Perak) – Tokoh Ma’al Hijrah
22. TG Mahmud Zuhdi (Pondok Lanai, Kedah)
23. Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar (Alor Setar, Kedah)
24. Haji Abdullah (Kuala Ibai, Terengganu)
25. Haji Wan Abdul Rahman Long (bekas Kadi Besar Terengganu – bergelar Datuk Purba Diraja)
26. Haji Abdul Latif “Gelok Getah” bin Awang (Alor Keladi, Jerteh)
27. Tuan Guru Hj Abd Rahman Bin Awang, Pondok Guar Kepayang, Pendang (meninggal pada 1996M)
Personaliti Beliau
Dalam kehidupan seharian beliau adalah seorang yang pendiam, tenang dan kelihatan sangat berwibawa. Sikapnya yang sebegini menyebabkan orang menjadi gerun tetapi hormat kepada beliau. Sehingga pernah diceritakan perempuan-perempuan tidak berani melihat wajah anak-anak perempuannya apatah lagi yang lelaki.
Beliau seorang yang tidak terpengaruh dengan pakaian orang arab meskipun telah menetap di sana sejak kecil. Pakaian beliau tetap seperti orang melayu, kain sarung dengan baju potongan teluk belangga atau baju panas berleher bulat. Sangat jarang beliau kelihatan berjubah arab.
Kehebatan Pak Da ‘El
          Pak Da ‘El alim dalam pelbagai bidang ilmu tetapi yang paling menonjol ialah ilmu Tauhid. Sehingga beliau digelar oleh orang-orang Arab sebagai “Amirul Mu’minin” di dalam ilmu Tauhid. Beliau begitu digeruni oleh ulama’-ulama Arab sehingga mereka tidak berani bagi fatwa dihadapan Pak Da ‘El.

Karyanya
Disebabkan beliau ahli dalam bidang Usuluddin maka tidak hairanlah kitab-kitab beliau pun dalam bidang usuluddin juga. Kitab beliau yang berjudul “Bakurah al Amani” yang beliau tulis semula dengan niat mempermudah bahasa kitab “Faridat al Faraid” di samping untuk menghidupkan lahjah Patani. Asal nama kitab Bakuroh ialah Bakuroh Al-Amani Li Isyarati ‘Awwam Ahl Al-Fathoni. Kerana Kitab ini menjadi masyhur di Fathoni, Malaysia, dan Indonesia maka nama kitab ini dibuang dibelakang dan dikekalkan hanya nama Bakuroh Al-Amani kerana nama yang asal seakan-akan bersifat ‘ashobiyyah. Kitab ini begitu digeruni dikalangan penuntut-penuntut ilmu di pondok kerana sesiapa yang tidak pernah belajar thoriq Pak Da ‘El walaupun Tok Guru maka dia tidak berani baca kitab Bakuroh Al-Amani ini. Maksud Bakuroh Al-Amani ialah permulaan segala yang dicita. Bakuroh dari segi bahasa ialah awwal al-fakihah yakni buah mula-mula.
Selain kitab ini yang berserta syarahnya “Tabsirah al Amani”, pak Da ‘el pernah menulis ta’liq atau ulasan mengenai dua buah kitab nahu iaitu al Abniya’ al Asma’ wa al Af’al dan al Risalah al Fataniah karangan sepupunya Syeikh Wan Ahmad. Ta’liq ini beliau muatkan di bawah kitab berkenaan yang seperti menjadi nota kaki. Selain itu, beliau menulis kitab syarah Faridat al Faraid, sebuah kitab usuluddin karangan sepupunya
bakuratul-amani













Asal Usul Bakuroh Al-Amani
Pada 1335H, Pak Da ‘El ziarah ke negeri Kedah di daerah Pendang, Kampung Tobir dan menjadi tetamu di rumah Hj Ahmad Pauh Bendang Jelapang Al-Fathoni (Tok Pauh) salah seorang murid beliau ketika belajar di Makkah. Hj Ahmad ada seorang sahabat yang bernama Hj Hassan yang belajar di Pondok sekitar Pendang. Hj Hassan kurang faham dan tidak dapat menguasai ilmu tauhid dengan sempurna kerana kurang faham dengan pembahasan kitab-kitab lama dulu.

Hj Ahmad merasakan peluang paling baik untuk membantu rakannya Hj Hassan dapat kuasai ilmu tauhid dengan mantap, maka Hj Ahmad memohon perkenan dari gurunya Pak Da ‘El untuk buatkan ringkasan ilmu tauhid yang mudah untuk difahami oleh sahabatnya Hj Hassan
Maka Pak Da ‘El pun bersetuju untuk buat sedikit rumusan untuk Hj Hassan. Lebih kurang 2 ke 3 hari catatan rumusan yang dibuat oleh guru mulia selesai dengan izin Allah. Selepas Tuan Guru menulis matan /rumusan ilmu tauhid, maka catatan itu diserah kepada Hj Hassan
Hj Hassan bawa matan itu pulang ke pondok beliau. Pelajar-pelajar pondok melihat matan yang Tuan Guru tulis kepada Hj Hassan. Maka mereka berpendapat bahawa karangan Tuan Guru bertentangan dengan kitab tauhid yang pernah dikarang ulama melayu dulu di beberapa tempat, antaranya:-
  1. Nama bagi sifat-sifat Ma’ani ditukar kepada “pe” seperti pekuasa, pendengar pelihat.
  2. Sifat Salbiyyah dengan makna ternafi. Kitab lama ditulis dengan “menafi”
  3. Istihalatul Mustahil
  4. Hukum aqal kena kepada wujub, istihalah, dan jawaz bukannya wajib,mustahil, jaiz, (yang ni kena kepada muta’allaq)


Antara yang pelajar yang i’tiradh Pak Da ‘El ketika itu ialah Hj Ahmad Pauh Bendang Jelapang. Pak Da ‘El suka anak murid beliau yang melawan beliau sebab baginya itu tandanya anak murid beliau seorang yang cerdik.

Kebetulan takdir Allah Ta’ala, Tuan Guru masih berada di Kedah. Pelajar-pelajar pondok pergi mengadap Tuan Guru untuk mendapat penjelasan. Maka Tuan Guru pun menerangkan dengan terang sejelas-jelasnya kepada para pelajar tersebut. Selepas itu terpaksalah mereka membenarkan hujah Pak Da ‘El dan menjoloki tuan guru dengan gelaran TOKOH USULUDDIN TERKENAL MAKKAH “PAK DA ‘EL FATANI”

Selepas bertahun-tahun berlalu, di atas kesedaran betapa pentingnya syarahan tokoh tauhid ini. Maka pelajar-pelajar tadi memohon agar Tuan Guru menulis sebuah kitab tauhid khusus bagi mensyarahkan maksud yang Tuan Guru tulis untuk Hj Hassan tersebut. Pada ketika itu, Tuan Guru sudah berada di Makkah dan beliau menunaikan hajat permintaan tersebut. Maka kini usia kitab BAKURAH AL-AMANI (pada tahun 2013) adalah 99 tahun

Berkata Tuan Guru Hj Salleh bin Musa yang merupakan anak murid Pak Da ‘El dan pemegang sanad pengajian kitab ini, “kalau kita dapat kuasai Bakurah, Insyallah kita dapat faham ilmu tauhid kerana Bakurah serupa dengan matan yang perlu kita ambil matan itu untuk karang kitab lain. Pokoknya semua isi ilmu tauhid sudah lengkap dalam Bakurah. Kalau boleh kuasai Bakurah maka kita dalami kitab tauid lain akan mudah
Keluarganya
Setelah berkahwin dengan sepupunya Wan Maimunah, beliau dikurniakan lapan orang anak iaitu Fatimah, Aisyah, Kalthum, Aminah, Safiah, Maryam, Said dan Daud. Kesemua mereka menetap di mekah dan di Mekahlah juga Pak Da ‘el peroleh menantu-menantu.
Meninggal Dunia
Pada 3 Novenber 1965 pada usianya 83 tahun, beliau dijemput menemui kekasihnya berbanding dengan sahabat-sahabat seperjuangan beliau yang ditakdirkan hidup lebih lama. Setelah mana beliau wafat, masih ada lagi yang meneruskan khidmat keilmuan beliau di tanah Mekah antaranya Syeikh Daud Sulaiman al Kalantani, Syeikh Muhammad Salleh Kenali dan seorang ulama tanah jawi yang terkemuka iaitu Syeikh Muhammad Yasin al Fadani (Musnid Dunia).

No comments:

Post a Comment

ampuni kami