Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Saturday, May 31, 2014

Makanan bentuk hati manusia


MENURUT Imam  Al-Ghazali, perut yang kenyang walaupun dengan makanan halal adalah satu daripada pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia. Ini kerana rasa kenyang akan menguatkan dan membangkitkan syahwat sedangkan syahwat adalah senjata utama syaitan untuk berada di hati manusia.

Banyak makan menghilangkan rasa takut kepada ALLAH SWT, menghilangkan kasih sayang sesama makhluk, berat hati untuk melaksanakan ketaatan dan menimbulkan pelbagai penyakit yang boleh menghalang kepada amal ibadah manusia.

Hati adalah raja kepada setiap tindak-tanduk manusia. Jika hati itu baik, baiklah segala tingkah lakunya dan sebaliknya. Hati yang kotor dan mati pula adalah akibat daripada makan secara berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Sudah semestinya apabila sahabat kita adalah syaitan, maka segala perbuatan dan tingkah laku akan menurut sebagaimana yang dikehendaki syaitan.

Apabila kita terlalu banyak makan, ia menguatkan nafsu dan sentiasa terarah kepada melakukan perkara jahat. Akibatnya kita malas untuk beribadah dan sentiasa berasa resah.

Makanan dimakan itu walaupun lazat tetapi tidak berkhasiat dan mengandungi bahan yang membahayakan kesihatan menyebabkan kesihatan terjejas dan membawa kepada pelbagai penyakit sekali gus, menghalang kepada amal ibadah.

Justeru, menjadi kewajipan kepada kita sebagai umat Islam memilih makanan halal lagi baik, dan sumber kewangan yang diperoleh untuk mendapatkan makanan juga adalah daripada yang halal.


Makanan berkat

Mencari keberkatan dalam soal makan dan minum penting kepada Muslim. Ini kerana keberkatan dalam makanan juga menjadikan hidup kita berkat.

Asas utama dalam soal keberkatan makanan ini semestinya lahir daripada fizikal makanan itu sendiri yang halalan tayyiba (halal lagi suci).

Meninggalkan yang haram adalah tanda takwa, manakala meninggalkan shubhah pula adalah realisasi sifat warak dalam diri Muslim.

Al-Junayd berkata, sucinya makanan, pakaian dan tempat tinggal daripada perkara yang haram akan memperelok lagi seluruh amalan dan perbuatan seseorang.

Berkat juga lahir daripada makanan yang berkhasiat, bernutrien tinggi  dan selamat tanpa mengandungi bahan yang boleh membahayakan kesihatan dan akhirnya memperkuatkan tubuh badan kita untuk mencari rezeki dan melaksanakan pelbagai ketaatan yang lain lagi. Pendek kata, rezeki yang berkat ini sentiasa mengalir pahalanya.

Menurut al-Ghazali, perlu bagi seseorang berniat apa dimakannya itu untuk takwa kepada ALLAH dan melakukan ketaatan kepada-Nya.

Bahkan beliau turut menambah seseorang itu perlu berazam dalam dirinya untuk mengurangkan makan sekiranya mereka makan hanya untuk memberikan kekuatan, maka ia adalah ibadah. Ini kerana kekenyangan akan menghalangnya daripada beribadah dan tidak mampu menguatkan ibadahnya.
 

Adab makan dalam Islam

Kita dilarang  sama sekali mencela setiap makanan yang dihidangkan kerana walau apa bentuk sekalipun makanan tersebut, ia adalah rezeki yang dikurniakan ALLAH.

Seorang sahabat meriwayatkan: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mencela makanan. Jika makanan itu menyelerakan, maka Baginda SAW memakannya, jika tidak menyelerakan, maka Baginda SAW diam”. (Riwayat Muslim)

Keberkatan juga lahir apabila kita menikmati makanan secara berjemaah dan tidak secara sendirian terutamanya untuk menjauhi sifat tamak dan rakus. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berkumpullah kamu untuk makan dan ingatlah nama ALLAH, nescaya kamu akan diberkati”. (Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah)

Secara khususnya, adab makan dimulakan dengan membasuh tangan sebelum makan jika tangan kotor, memulakan makan dengan Basmalah dan niat untuk takwa dan taat kepada ALLAH, makan menggunakan tangan kanan, duduk di atas kaki kiri  dan melipat kaki kanan ke perut, mengurangkan suapan dan memperelok kunyahan,  tidak menyuap suapan yang lain jika makanan dalam mulut belum ditelan, menelan makanan dengan sedikit untuk tidak menampakkan kerakusan, mengucapkan Hamdalah setelah selesai makan, menjilat jari jemari setelah selesai makan lalu membasuhnya, serta makan secara tidak berlebihan dan tidak terlalu sedikit sehingga mengurangkan tenaga dan zat bagi perkembangan tubuh.
 

Berlapar, Tarbiyah jiwa

Islam itu indah. Nafsu manusia diurus dan dididik dengan sempurna. Oleh kerana itulah Islam mensyariatkan kepada umatnya untuk berpuasa bagi mengekang hawa nafsu mereka.

Puasa, langkah utama mengendalikan nafsu manusia bersesuaian sekali dengan maksud puasa itu sendiri untuk menahan diri daripada makan, minum, menjaga penglihatan, memelihara pendengaran, dan menjaga anggota badan daripada berbuat dosa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan muda, jika antara kalian ada yang mampu berkahwin, maka berkahwinlah. Kerana itu sangat baik untuk memelihara penglihatan dan kemaluan. Dan sesiapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu merupakan penawar nafsu syahwat”. (Riwayat Bukhari)

Puasa atau berlapar adalah latihan jiwa dan benteng hawa nafsu yang terbaik bagi seseorang Muslim. Makan dan minum sekadar dapat membekali seseorang sehingga mampu menegakkan seluruh kewajipan yang diperintahkan. Makan dengan kadar demikian adalah wajib hukumnya.

Banyak makan selagi tidak terlebih batasan kenyang adalah dibolehkan dan berlebih-lebihan dalam makan adalah haram hukumnya. Berlapar bukan bermaksud tidak makan tetapi dengan mengurangkan kuantiti makanan dan mengurangkan waktu makan sebagaimana kebiasaannya tiga kali sehari.

Al-Ghazali menyatakan terdapat faedah yang besar daripada berlapar ini di mana antaranya ialah memecahkan syahwat dan maksiat serta menahan nafsu daripada melakukan sebarang kejahatan. Ini adalah kerana bermulanya sesuatu maksiat adalah dengan nafsu dan mengurangkan makan akan melemahkan nafsu tersebut.

Dengan berlapar juga dapat mencegah tidur dan meneruskan berjaga malam kerana orang yang banyak makan akan banyaklah tidurnya. Malahan, dengan mengurangkan makan akan menyihatkan badan dan mengelakkan penyakit  daripada menyerang.

Ini kerana punca sesuatu penyakit kebanyakannya  daripada tabiat banyak makan.

Bahkan apabila berlapar, hati juga akan mudah memiliki rasa ingin mengutamakan orang lain dan menghargai anak yatim serta orang miskin yang berada di sekelilingnya.

No comments:

Post a Comment

ampuni kami