Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, November 28, 2013

Giptis kemuka 5 resolusi bahaya Wahabi

LAPORAN SINAR HARIAN  :

ALOR SETAR - Gabungan Institusi Pondok, Maahad Tahfiz dan Ilmuan Sunni (Giptis) Kedah memutuskan lima resolusi untuk disampaikan kepada kerajaan Kedah dalam usaha menyekat fahaman Wahabi daripada berkembang.

Resolusi itu yang akan disampaikan dalam masa terdekat akan turut diserahkan kepada Majlis Fatwa Negeri, Majlis Agama Islam Kedah (Maik) dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk diambil tindakan.

Pengkaji fahaman Wahabi dan Syiah, Abu Syafiq Mohd Rasyaq Mohd Alwi berkata lima resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat khas Giptis untuk menangani isu ajaran sesat dan pengaruh fahaman Wahabi di Kedah itu adalah:

* memperkukuhkan akidah Ahli Sunnah menerusi pengajian agama di pondok secara bersistem;

* menetapkan silibus kitab yang diajar di masjid dan surau;

* memperbanyakkan seminar dan forum berkaitan bahaya Wahabi dan Syiah;

* meminta Majlis Fatwa Negeri menjelaskan perkaitan fahaman Wahabi dan Syiah;

* menyetujui pandangan Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad dengan melarang tokoh agama yang diketahui menganut fahaman Wahabi dan Syiah daripada menyampaikan ceramah atau mengajar di negeri ini.

Abu Syafiq Mohd Rasyaq, yang menjadi anggota panel jemputan mesyuarat khas menangani isu kekalutan khilafiyah tokoh-tokoh agama dan menangani isu ajaran sesat serta pengaruh fahaman Wahabi di sini hari ini, berkata kedua-dua fahaman ini jelas merosakan akidah umat Islam selain mengganggu perpaduan.

Beliau berkata tokoh berfahaman Wahabi juga tidak layak memberi penerangan kepada orang ramai mengenai bahaya Syiah kerana mereka dikhuatiri memberi pandangan yang boleh memesongkan akidah orang Islam.

Sebaliknya, katanya, ulama dan guru-guru institusi pondok yang diketahui mempunyai ilmu yang cukup tinggi seharusnya diberi ruang untuk menerangkan isu Syiah dan Wahabi.

Sementara Pengerusi Giptis, Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi berkata pihaknya bersedia menjadi perantara antara Syeikh Baderudin dengan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin membincangkan isu Wahabi. Dr Mohd Asri sebelum itu mencabar Syeikh Baderudin bermuhabalah atau sumpah laknat selepas timbul rakaman dalam Youtube bahawa Syeikh Baderudin menuduh bekas Mufti itu menganuti fahaman Wahabi.

Dr Abdul Aziz berkata perkara yang disampaikan Syeikh Baderudin hanyalah satu peringatan kepada masyarakat Islam agar tidak terjebak dengan fahaman Syiah yang diharamkan di negara ini 30 tahun lepas dan fahaman Wahabi yang menyimpang jauh daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. - Bernama

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Ramai yang tidak sedar mereka telah terjebak dengan fahaman wahabi. Untuk memahami lebih lanjut tentang fahaman wahabi, sila ke blog - http://aswj-wahhabi.blogspot.com

    ReplyDelete