Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Tuesday, June 4, 2013

Tanda kiamat amat banyak


SAYID Qutub berkata: “Berdasarkan sistem hidup yang soleh yang diumumkan oleh beliau selaku pemerintah yang soleh iaitu menentang kerosakan di bumi, maka beliau telah menolak tawaran upah malah sanggup membina tembok itu secara sukarela. Cara yang paling mudah mengikut pandangan beliau ialah menutup dan menambak jalan laluan yang terletak di antara dua tembok semula jadi (bukit/gunung) itu. Oleh itu, beliau meminta daripada kaum yang mundur itu supaya membantu dengan kekuatan kebendaan dan tenaga fizikal.”
Pada ayat ke-95 surah diatas juga, Ibnu Kathir berkata: “Sesungguhnya kekuasaan dan kekuatan yang diberikan Allah SWT kepadaku adalah lebih baik bagiku daripada apa yang kalian kumpulkan itu.”
Demikian halnya yang dikemukakan oleh Zulkarnain, di mana dia berkata: Apa yang ada padaku adalah lebih baik daripada apa yang kalian berikan itu. Tetapi hendaklah kalian menolongku dengan kekuatan iaitu dengan perbuatan kalian dan alat-alat bangunan.
Al-Maraghi berkata: “Zulkarnain berkata, apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadaku iaitu kerajaan yang luas, kekuasaan dan harta yang banyak sudah memadai berbanding upah yang hendak di berikan. Oleh itu, aku tidak memerlukan upah tersebut.”
Pada ayat ke-96 pula, Ibnu Kathir berkata: “Kata al-Zubar merupakan jamak daripada kata Zabrah yang bererti potongan. Demikian yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Mujahid dan Qatadah yang dia berbentuk seperti bata. Iaitu sebahagian diletakkan pada sebahagian posisi lainnya sehingga tumpukan itu menyamai puncak dua gunung baik panjang mahupun lebar. Namun para ulama masih berbeza pendapat mengenai luas, panjang dan lebarnyat.”
Zulkarnain berkata: “Tiuplah. Maksudnya, nyalakan api di atasnya sehingga semuanya menjadi api.”
Tembaga mendidih
Al-Maraghi berkata: “Beliau meminta menyediakan potongan besi dan segera membina tembok itu sedikit demi sedikit. Sehinggakan kedudukan tembok itu menjadi sama rata dengan kedua-dua gunung itu. Beliau berkata kepada para pekerjanya: Tiuplah dengan peniup api, potonglah batu besar dan letakkan di antara dua tepi gunung.”
Mereka patuh dengan arahan itu dan melakukannya sehingga api membara dan menyala. Kemudian tembaga yang mendidih itu dicurahkan ke atas besi yang membara, sehingga melekat dan berjaya menutup lubang di antara besi sehingga menjadi gunung yang utuh dan licin.
Sayid Qutub berkata: “Lalu mereka mengumpul ketul-ketul besi dan menimbunkannya di jalan yang terbuka di antara dua banjaran bukit itu. Ini menjadikan dua banjaran bukit itu seolah-olah kulit luar yang membalut tembok-tembok besi yang disusun di antara keduanya, iaitu tembaga cair yang menyerap ke celah-celah besi dan bercampur dengannya untuk menjadikan bertambah kuat dan kukuh.”
Cara ini telah digunakan di zaman moden untuk menguatkan besi kerana tambahan satu nisbah tembaga kepada besi dapat menambahkan ketahanan dan kekuatannya. Inilah rahsia yang telah ditunjukkan Allah SWT kepada Zulkarnain dan terakam dalam kitab suci-Nya yang kekal mendahului ilmu pengetahuan manusia.
Dengan itu kedua-dua bukit itu tertangkup dan menjadi sedaging dan tertutuplah jalan yang dilalui Yakjuj dan Makjuj itu.
Pada ayat ke-97, Ibnu Kathir berkata: “Yakjuj dan Makjuj tidak sanggup menaiki bahagian atas dinding ini dan tidak pula mampu melubanginya pada bahagian bawahnya. Ketika menaikinya lebih mudah berbanding melubanginya. Yang demikian itu merupakan dalil yang menunjukkan bahawa mereka tidak sanggup berbuat sesuatu terhadapnya.”
Al-Maraghi berkata: “Tindakan tersebut menyebabkan Yakjuj dan Makjuj tidak mampu mendaki tembok kerana tembok itu terlalu tinggi dan licin serta tidak dapat melubanginya kerana keras dan tebal.”
Sayid Qutub berkata: “Mereka tidak dapat memanjat dan menembusi tembok itu. Mereka tidak dapat lagi menyerang kaum yang lemah dan mundur dan membolehkan mereka menikmati keamanan dan ketenteraman.”
Biarpun Zulkarnain melihat hasil usahanya yang amat besar itu tetapi beliau tidak mabuk dengan perasaan angkuh dan bangga. kerana mempunyai ilmu dan kekuatan. Beliau sentiasa mengingati dan bersyukur kepada-Nya serta memulangkan segala hasil usahanya yang baik itu kepada pertolongan dan taufik Allah SWT.
Zulkarnain menolak kekuatan dirinya dan mengakui kekuatan Allah dan menyerahkan teraju urusan kepada Allah SWT. Kemudian beliau mengumumkan hakikat yang dipercayainya iaitu gunung-ganang, kota-kota dan tembok-tembok akan dihancurkan belaka sebelum hari kiamat dan permukaan bumi akan kembali menjadi licin dan rata

No comments:

Post a Comment

ampuni kami