Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Friday, March 22, 2013

Ramadhan al-Buti, ulamak pencerah ummah- Presiden PAS


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pemergian tokoh ulama terkenal Syria, al-Syeikh al-Allamah Dr. Said Ramadhan al-Buti sebagai kehilangan besar buat umat Islam seluruh dunia.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kematian ulamak itu tentunya dirasai oleh ummah yang dahagakan ilmu dari insan sepertinya.

"Kitabnya dan muridnya berjumlah jutaan di seluruh dunia. Lebih setengah abad usianya dimanfaatkan kepada ilmu dalam mencerahkan ummah di seluruh dunia. 

"Pemergian beliau adalah satu kehilangan mutiara ummah. Bagi pihak PAS, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan seluruh ummat Islam diatas pemergiannya," katanya kepada Harakahdaily.

Difahamkan Dr. Said Ramadhan al-Buti terbunuh dalam satu serangan bom ketika beliau sedang menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Iman, Damsyik, Syria semalam.

Dalam pada itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut menyatakan pendirian PAS mengecam sekeras-kerasnya pihak yang terlibat dalam serangan terhadap ulamak itu semalam.

"PAS mengecam pembunuhan yang berlaku. Ia merupakan satu tragedi yang sukar dilupakan seumpama pembunuhan Assyahid Sheikh Ahmad Yasin pada tarikh yang sama tahun 2004 yang lalu.

"Semoga seluruh ahli keluarga beliau dan ummat Islam seluruh dunia bersabar diatas kematian ini. Semoga Allah SWT menempatkan beliau bersama dengan orang-orang yang soleh yang berjuang bagi menegakkan agamanya," katanya.

No comments:

Post a Comment