Hadi: Pas keluar PR jika kerjasama rugi
Muka depan Sinar Harian edisi hari ini.
KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas akan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) sekiranya kerjasama antara PKR dan DAP merugikan Islam dan Melayu.

Penegasan tersebut dibuat di hadapan hampir 10,000 hadirin yang hadir dalam Program Pas Ganti Umno ketujuh (PGU 7.0) di Banggol Peradong, Kuala Nerus, di sini petang semalam.

 “Sekiranya Pakatan tersebut merugikan Islam dan Melayu, Pas keluar PR! Tidak ragu-ragu lagi,” katanya.

Bagaimanapun ketika ditemui pemberita pada majlis sama, beliau menjelaskan, sehingga kini perkara terbabit tidak berbangkit dan beliau yakin kerjasama dalam PR tidak memberi apa-apa kesan kepada kaum Melayu dan agama Islam.

Beliau berkata, keadaan semasa dalam PR tidak menimbulkan sebarang isu yang menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam apabila PR menerima Perlembagaan negara yang turut meletakkan Islam sebagai agama teras, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, mengiktiraf hak keistimewaan bumiputera dan Raja Berperlembagaan.

Mengulas lanjut katanya, kerjasama politik atau diistilahkan Pas sebagai tahalluf siyasi yang dibuat dengan PKR dan DAP masih lagi memperkasa Melayu dan Islam.

“Bahkan kita berjaya membuat anjakan paradigma dengan kemenangan calon-calon seperti Dr Siti Mariah Mahmud, Fuziah Salleh yang bertanding dengan calon-calon bukan Melayu Islam dimenangkan oleh pengundi Melayu dan bukan Islam. Itu perubahan yang besar yang dapat kita wujudkan,” katanya.