Anakanda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Ashman Shah Sultan Azlan Shah, 54, mangkat akibat serangan asma di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, kirakira jam 1.30 pagi semalam. Jenazah Almarhum dibawa pulang ke Kuala Kangsar dan ditempatkan di ruang khas tingkat dua bangunan Istana Iskandariah.
Kemudian dibawa ke Masjid Ubudiah, Bukit Chandan untuk disembahyangkan sebelum istiadat pemakaman dijalankan selepas Asar. Bacaan talkin disempurnakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.Lebih 1,000 kerabat diraja dan orang kenamaan serta rakyat mula menziarahi jenazah Almarhum sejak jam 11 pagi.
Sultan Azlan Shah mendahului keluarga diraja menjirus air mawar dan menabur bunga di makam anakandanya itu diikuti Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun. Ini diikuti Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara; Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan kerabat diraja lain.
Balu baginda Datin Seri Noraini Jane Kamarul Ariffin dan putera mereka Datuk Raja Ahmad Nazim Azlan Shah, 20, serta dua puteri, Raja Eminah Alliyah, 18, dan Raja Bainunisa Safia, 17, turut menjirus air mawar dan menabur bunga mawar di makam baginda. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menziarahi kira-kira jam 3.40 petang.
Raja Ashman yang terkenal dengan sifat mesra rakyat, diputerakan pada 28 Disember 1958 di Pulau Pinang sebelum dilantik sebagai Raja Kechil Bongsu Perak pada 11 Mei 1987 diikuti Raja Kechil Tengah Perak pada 10 Mac 1998 dan Raja Kechil Sulung Perak pada 16 Mac 2010.
Baginda anakanda ketiga Sultan Perak daripada lima beradik iaitu Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Datuk Seri Raja Azureen, Datuk Seri Raja Eleena dan Datuk Seri Yong Sofia. Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari University of Nottingham, Britain pada 1981 diikuti Diploma Pentadbiran Undang-Undang Perniagaan University of London serta Sarjana Undang-Undang dari Cambridge University pada 1985.
Sepanjang hayat Almarhum aktif dalam sektor korporat dan memegang pelbagai jawatan penting dalam beberapa syarikat antaranya Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di KKB Engineering Bhd dan Kian Joo Can Factory Bhd., Pengarah Eksekutif Kanzen Berhad, Pengerusi Dwitasik Sdn Bhd dan Pengarah Sanyo Industries Malaysia. Raja Ashman penyokong setia pasukan hoki negara selain aktif dalam aktiviti sosial dan kebajikan terutama di bawah Yayasan Sultan Azlan Shah. – BH
No comments:
Post a Comment