Thursday, May 12, 2011

Politik lucah: Ulama muda diseru tinggal Umno

KUALA LUMPUR, 12 Mei: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa ulama muda Umno menilai semula penglibatan mereka dalam Umno ekoran amalan politik lucah dan kotor pemimpin parti itu.
Katanya, ulama muda di dalam Umno tersebut perlu sedar amalan politik yang bercanggah dengan Islam itu telah menjadi budaya dalam Umno sejak sekian lama.
Bagaimanapun katanya, beliau menyambut baik usaha untuk menegur sikap Umno itu malah mencadangkan agar mereka meninggalkan parti itu jika gagal merubahnya.
"Hakikatnya itulah budaya Umno. Harapan saya agar ulama muda Umno terus menegur budaya politik Umno yang keji dan songsang ini.
"Jika tidak mampu ubah, fikirkan semula adakah tepat berada di dalam Umno?" soalnya melalui responsnya di Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terbaru ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahya yang mengakui rakaman video seks mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dilakukan.
Ini kerana perkara tersebut menurutnya bertentangan dengan prinsip Islam yang mengharamkan umatnya mengaibkan orang lain.
Fathul Bari berkata, hukum mengaibkan seseorang seperti itu merupakan salah satu daripada dosa besar di sisi Islam dan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh Umno.
Beliau berkata demikian pada satu forum yang diadakan sempena ulangtahun Umno ke-65 di ibu pejabat parti itu semalam.

Umno dan akhbarnya, Utusan Malaysia sebelum ini dikecam banyak pihak termasuk oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ekoran mengaibkan Anwar dalam isu video seks yang didedahkan trio Umno iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.
Akhbar itu tanpa memikirkan hukum hakam agama, telah melapor dan menyiarkan gambar dan berita berunsur lucah berhubung video seks tersebut.
Fitnah tersebut juga, digunakan Umno dalam siri kempen mereka pada pilihan raya negeri Sarawak April lalu.
Harussani dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan, adalah fitnah dan dosa besar membuka rahsia orang tanpa ada bukti yang jelas menurut Islam seperti yang dilakukan terhadap Anwar.
"Kita buka rahsia orang ini adalah haram, benda yang tidak betul tapi didedahkan adalah satu fitnah, dosa besar dan tidak bermoral.
“Rakaman video seks itu betulkah Anwar? Laporan juga belum dapat dipastikan lagi... ini adalah fitnah dan dosa besar,” katanya.
Selain mengecam tindakan mengaibkan Anwar itu, beliau juga kesal dengan tindakan Utusan yang dakwanya tidak menyiarkan pandangan penuhnya itu malah hanya mengambil sekerat sahaja.
“Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja, mereka tidak keluarkan secara keseluruhan apa yang saya katakan... yang tertulis ia (video seks) hanya fitnah, itu sahaja... yang lain-lain tidak keluar,” katanya

Fitnah: Pimpinan Umno langgar Waadat Melayu
   
Dakwaan fitnah ke atas pemimpin politik Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui penyebaran rakaman video seks, mengaibkan, dan menjijikan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan prinsip Islam dan juga melanggar Waadat Melayu yang telah dimenterai sekian lama.

Dalam prinsip Waadat Melayu yang terkandung dalam buku sastera sejarah Sulalatus Salatin, perjanjian yang berlaku antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana mencerminkan politik orang Melayu tradisional sangat menitik beratkan agar pihak pemerintah atau raja-rajanya tidak sesekali mengaibkan rakyatnya.

Namun, pekara ini dilihat berlaku sebaliknya, Umno telah melanggar perinsip pertama muafakat antara kerajaan dengan rakyat ini.

Hal ini jelas terkandung dalam teks sejarah Melayu hasil karya Tun Sri Lanang, seperti dalam petikan dibawah:

  • "Seperkara lagi. Perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah Duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu itu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan janganlah ia difadihatkan. Dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan tuanku aibi".
  • Maka titah Seri Teri Buana, "Kabullah hamba akan janji paman itu: tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman."
  • Maka sembah Demang Lebar Daun," Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.
  • Maka titah Seri Teri Buana, "Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba  Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga."
  • Maka sembah Demang Lebar Daun,"Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku."
  • Maka titah Seri Teri Buana " Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu."

Gambaran yang tedapat dalam teks tersebut adalah kontrak sosial antara pemerintah dan rakyat yang boleh juga dipandang sebagai dialog tentang
demokrasi dan pendemokrasian dalam masyarakat feudal Melayu masa silam.

Gambaran dalam dialog ini penting kerana mempunyai banyak implikasi kepada sistem pengurusan negara, masa dahulu dan zaman pemerintahan pimpinan Umno sekarang ini.

Pekara ini tidak mungkin ada tanpa kepercayaan satu pihak dengan yang lain tidak seperti kolonialisasi yang diamalkan oleh pimpinan Umno yang hanya mempercayai dan berkomplot dengan pihaknya sahaja tetapi perlu adanya satu pihak lain seperti Pakatan Rakyat.

Justeru itu, pekara lain yang terdapat dalam dialog itu adalah sudah mempunyai jaminan kebebasan bersuara dalam masyarakat itu dan bukannya dikawal seperti Umno mengawal "suara" akhbar Utusan untuk menabur fitnah kepada rakyat.

Moralnya dalam dialog itu adalah pihak pimpinan Umno seharusnya mematuhi waadat tersebut dan sekiranya melanggari waadat tersebut pihak pimpinan Umno boleh melihat kepada kejatuhan kerajaan Melayu di Melaka.

Ia bukan sahaja kerana serangan Portugis pada 1511, tetapi yang memberi tamparan maut kepada kerajaan Melayu itu sebenarnya adalah yang sudah reput dari dalam kerana rebutan kuasa, fitnah-memfitnah, perbuatan curang dan lain-lain yang memecahkan perpaduan dan kharmonian dalam masyarakatnya sendiri.

Sebagai pihak pemerintah dan juga pihak yang diperintah, perlulah saling mengawal agar tidak melampaui batasan yang dipersetujui.

Kawalan semacam itu diperlukan memandangkan kedua-dua pihak mempunyai kelemahan selain kekuatan yang mungkin tidak dipunyai pihak yang lain.

Daripada pelbagai episod yang diceritakan dalam Sejarah Melayu, pimpinan Umno harus mengambil nasihat dan saranan dalam buku tersebut.

Hal ini kerana fitnah, hasutan, penyelewengan kuasa, pilih kasih, kezaliman pemerintahan, perbuatan rasuah, perjanjian longgar yang dilakukan oleh pimpinan Umno telah menimbulkan banyak konflik dan perbuatan ini yang sudah mereputkan barisan pimpinan Umno itu sendiri.

Sehubungan itu, jelas betapa pentingnya falsafah dan kepercayaan dalam sastera Melayu lama dalam kehidupan masyarakat dewasa ini seterusnya penghayatannya dapat memberi keadilan dan faedahnya dinikmati sesama insan.

Karya kesusasteraan Melayu tradisional bukan hanya sekadar khazanah atau warisan bangsa tatapi merupakan titik permulaan peradaban kepada tamadun bangsa.

Segala pemikiran di dalamnya terkandung nilai sejagat yang harus dicerapkan ke dalam masyarakat kini

No comments:

Post a Comment