Wednesday, May 11, 2011

Hukum Menggantung Foto ?


Menggantung gambar-gambar foto adalah satu kelaziman dalam masyarakat kita. Barang mana tempat kita pergi, baik pejabat, sekolah maupun rumah kediaman, kita akan melihat foto-foto digantung atau diletak di sana sini, baik foto para pemimpin negara atau foto-foto ahli keluarga. Jadi perbuatan menggantungkan gambar-gambar fotografi ini telah diterima oleh masyarakat kita, tanpa menafikan wujudnya perselisihan pendapat mengenainya. Apa yang zahir bahawa kebanyakan umat Islam di negara ini menerima pendapat yang mengharuskan gambar-gambar fotografi yang munasabah dan yang tidak menimbulkan fitnah. Pendapat yang mengharamkan secara mutlak akan gambar-gambar fotografi nampaknya tidak diikuti oleh masyarakat kita.

Di antara ulama yang memfatwakan keharusan memotret atau merakam gambar-gambar fotografi adalah mantan mufti Mesir, al-'Alim al-'Allaamah Syaikh Muhammad Bakhit al-Muthi`ie rahimahUllah dan pandangan beliau ini diutarakannya dalam karyanya berjodol "al-Jawaabul Kaafi fi ibahaatit tashwiiril futughafi." Fatwa beliau juga diikuti oleh ramai ulama terbilang dahulu dan sekarang termasuklah Dr. Yusuf al-Qardhawi hafizahUllah. Sebaliknya, fatwa yang mengharamkannya pula juga didukung oleh sekelompok ulama dari berbagai aliran mazhab, baik dari benua kecil IndoPak maupun dari Timur Tengah. Setiap pihak mempunyai dalil dan hujjah masing-masing.

Oleh itu jika dihukumkan gambar foto itu harus dan bukannya haram, maka menggantungkannya pun diharuskan pada hukum asal. Namun jika ianya digantung untuk dipuja - umpamanya:- gantung pastu letak kalung bunga pastu kasi colok pastu mengadap simayang - pasti tiada kesangsian pada kejinya perbuatan tersebut dan haramnya, bahkan suatu kesyirikan atau yang menjurus kepada syirik. Namun kalau semata-mata menggantung, bukan dengan niat memuja atau memuliakannya, sebab yang menggantungnya itu orang Islam yang beriman, yang tidak sewajarnya kita berprasangka buruk kepadanya, kenapa harus ada prasangka jahat dalam benak kita untuk menuduh bahawa saudara kita yang beriman ini memuja gambar???? Jika begitu, apakah harus kita berprasangka bahawa setiap mukmin yang menggantung gambar pemimpin, baik pemimpin negara maupun parti, akan dianggap sebagai memuja-muja mereka melebihi Allah dan rasulNya? Sebenarnya, ia terpulanglah dengan niat dan tujuan masing-masing, jika baik niatnya maka baiklah balasannya dan jika jahat maka jahatlah pula jadinya, dengan mengambilkira keadaan foto tersebut juga.

Shohibus Samahah, Dr. 'Ali Jum`ah hafizahUllah, mufti Mesir ditanyai mengenai hukum bagi seseorang menggantung foto ayah ibunya yang sudah wafat di tempat masuk apartment kediamannya agar sesiapa memasuki kediamannya dan melihat gambar tersebut akan mendoakan kedua mereka. Untuk melihat kepada pertanyaan dan fatwa tersebut silalah layari Darul Ifta` Mishriyyah di mana ianya telah dijawab oleh Shahibus Samahah Mufti dengan:-
Link
Tidak mengapa (yakni HARUS) hukumnya mengedar gambar-gambar fotografi atau menggantungkannya, samada gambar manusia maupun haiwan. Ini adalah kerana gambar fotografi hanyalah suatu upaya penahanan atau perakaman imej (yakni imej sesuatu itu ditangkap atau hanya dirakam dengan sejenis alat seperti kamera umpamanya). Maka tidaklah ada padanya usaha untuk menyaingi penciptaan Allah yang mana warid amaran bagi orang yang membuat lukisan (yakni imej yang ditahan atau dirakam itu tetap imej ciptaan Allah dan bukannya sesuatu yang dibuat oleh seseorang. Maka tidak timbul rekayasa si pelukis untuk mencipta sesuatu seolah-olah hendak menyaingi ciptaan Allah SWT). Ini adalah apabila foto tersebut bukannya foto bogel atau foto yang boleh menimbulkan fitnah. Yang dimaksudkan dengan "tashwir @ membuat gambar" yang diancam dalam hadits adalah pembuatan patung-patung yang sempurna bentuknya, di mana terdapat padanya upaya untuk seolah-olah menyaingi ciptaan Allah ta`ala. Oleh itu merakam gambar secara fotografi walaupun juga dinamakan sebagai "tashwir" tidaklah haram kerana tidak wujud `illah tersebut padanya dan sesuatu hukum itu bersama dengan illahnya sama ada wujud atau tidak. Merakam gambar fotografi pada hakikatnya hanyalah penahanan @ rakaman imej dan ianya tidaklah dinamakan sebagai "tashwir" melainkan secara majaz sahaja. Ketetapan bagi sesuatu hukum adalah berdasarkan kepada yang dinamakan dan bukannya pada namanya.

Dibina atas yang sedemikian dan sebagaimana yang ditanya, maka sesungguhnya perbuatan menggantung foto ayah dan ibumu tersebut menurut Hukum Syarak adalah HARUS kerana tujuan yang murni tersebut selagi mana foto ibumu itu layak dan sopan (yakni tidak mendedahkan aurat). Tidak menjadi masalah sama ada foto tersebut, foto imej yang sempurna ataupun tidak. Yang sedemikian itu bukanlah sesuatu yang diharamkan, jadi ianya tidaklah sebagaimana dikhabarkan sebahagian orang kepadamu.
Mudah-mudahan kita dapat faedah daripada fatwa Shohibus Samahah Mufti hafizahUllah. Kepada yang merasakan ianya tidak sebagaimana difatwakan, maka mereka berhak dengan pendapat mereka sebagaimana kita juga berhak untuk mengikut pendapat mana yang hendak kita jadikan pegangan kerana persoalan ini hanyalah berkaitan isu furu` fiqhiyyah yang tidak lepas daripada khilaf. Berlapang dadalah wahai saudara-saudara seagama, moga kita semua dirahmatiNya dan dapat beramal sholeh dengan aman tanpa gangguan suara-suara sumbang

1 comment:

  1. LANTARDZO ANKA .................HATTA.....!

    POLITIK DMOKRASI EKONOMI RIBA KAPITALIS SOSIAL SEKULARISM....TAKHTA HARTA WANITA...MAN TASYABBAHA BI QOUMIN FAHUA MIN HUM......

    WARGA AKHIRAT MENJUNJUNG "IMAN ISLAM IHSAN QIAMAT DAN 'ALAMATULQIAAMAH"
    THOHA[20]
    ...LAA NAS ALUKA RIZQANN NAHNUNAR ZUQUKA !

    ReplyDelete