Thursday, December 9, 2010

جنازة فضيلة الشيخ محمد متولي الشعراوي Jenazah mulia Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi




Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dilahirkan pada 15 April 1911 di Daqadus, daerah Mit Ghamir, Negeri Daqaliyyah, Mesir. Beliau tamat menghafaz al-Quran ketika berusia 11 tahun. Pada tahun 1916, beliau telah memasuki Sekolah Rendah Zaqaziq dan berjaya memperolehi Sijil Sekolah Rendah pada tahun 1923 dan kemudiannya memasuki sekolah peringkat menengah. Beliau terkenal dengan seorang yang sukakan syair dan kesusasteraan Arab sehingga rakan-rakannya melantik beliau menjadi Ketua Persatuan Pelajar dan Ketua Persatuan Kesusasteraan di daerah Zaqaziq.

Syeikh Mutawalli mengambarkan kampungnya yang begitu indah dengan pemandangan, subur dengan tanaman hijau-hijauan di perlembahan Sungai. Nil. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Mutawalli al-Sya’rawi al-Husaini yang nasab keturunan bapanya sampai kepada Imam Husain bin Ali k.w.

Satu peristiwa yang terpenting dalam hidupnya yang berubah segala-galanya apabila keinginan bapanya untuk meminta beliau melanjutkan pelajaran ke al-Azhar di Kaherah sedangkan beliau hanya ingin tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani. Menurutnya, tidak ada bagi seorang kanak-kanak cita-cita atau keinginan tertentu. Baginya hanya apa yang ada di sekeliling iaitu untuk menjadi petani dan bekerja di situ. Tetapi keinginan ayahnya yang inginkan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau telah tamat menghafaz al-Quran. Namun keinginan beliau untuk menjadi petani menjadikannya membuat berbagai helah agar tidak masuk ke Kolej al-Azhar. Beliau telah memasukkan habuk tanah ke dalam matanya agar menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan. Namun helah ini juga tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta. Helah kedua ialah gagap dan berbuat lupa ketika ujian hafalan al-Quran. Namun guru tersebut tetap menerimanya sebagai pelajar. Helah ketiga ialah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej. Lalu dibeli oleh ayahnya. Apabila pulang ayahnya berkata : “ Wahai Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka aku lupa bahawa semua buku-buku tersebut bukanlah silibus untuk kamu. Harga buku silibus kamu tidak sampai 37 Qurus sahaja. Tetapi, wahai anakku, semoga Allah memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini.”
Inilah peristiwa yang merubah hidupnya untuk mendalami ilmu dan membaca buku-buku yang muktabar. Beliau telah memasuki Kolej Agama Zaqaziq pada tahun 1930an dan mendapat sijil agama pada tahun 1936
Beliau telah memasuki Kuliah Bahasa Arab pada tahun 1937 dan beliau aktif dalam persatuan pelajar di Universiti al-Azhar. Beliau menjadi graduan pada tahun 1941 dan menyambung pelajaran dalam Pengkhususan Bahasa Arab (peringkat M.A) dan berjaya dalam tahun 1943. Beliau pernah dipenjara ketika beliau menuntut di Ma'had Zaqaziq selama sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul, seorang ulamak al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan. Apabila ia tamat graduan, beliau bertugas sebagai guru agama di Kolej Tanta, kemudian berpindah di Kolej Zaqaziq, kemudian berpindah ke Kolej Agama Iskandariah. Pada tahun 1950, beliau menjadi guru di Kolej al-Anjal di Arab Saudi dan kemudian menjadi pensyarah syariah di Universiti Ummul Qura, Mekkah. Beliau mengajar di situ sehingga tahun 1963. Al-Sya’rawi mengambarkan bahawa kuliah Syariah ini terletak berhampiran dengan Masjidil Haram. Ketika saya mengajar, saya dapat melihat dengan jelas Kaabah dan ini memberi kesan yang besar terhadap jiwa saya, jiwa para guru dan pelajar-pelajar di situ. Pada waktu itu, tidak terlepas seditikpun dari mengingati Allah dan rasul-Nya.

Pada tahun 1963, apabila berlaku krisis antara Gamal Abdul Naser. Presiden Mesir dengan Raja Saud, maka Gamal Abdul Naser melarang beliau untuk ke Arab Saudi dan melantik beliau menjadi Pengarah di Pejabat Syeikh al-Azhar Syeikh Hassan Makmun. Kemudian beliau bertugas di Algeria sebagai Wakil al-Azhar dan menetap di sana selama tujuh tahun. Apabila beliau pulang ke Mesir, beliau dilantik menjadi Pengarah Kementerian Wakaf, Negeri Gharbiyyah kemudian menjadi wakil bahagian Dakwah dan Pemikiran dan kemudian menjadi wakil al-Azhar. Selepas itu, beliau pergi ke Arab Saudi untuk mengajar dui Universiti Raja Abdul Aziz. Pada November 1976, Mamduh Salim menjadi Perdana Menteri Mesir dan melantik beliau menjadi Menteri Wakaf dan Pentadbiran Al-Azhar. Beliau menjadi menteri sehingga tahun 1978 selama dua tahun. Beliau memegang jawatan ini bukan kerana kepentingan dunia dan dikenali sebagai seorang menteri yang mudah berinteraksi dan bertanggungjawab. Pintu pejabatnya sentiasa untuk para ulamak, kawan-kawan dan pelajar-pelajar untuk berbincang dengannya. Walaupun menjawat jawatan menteri, jawatan tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah dan menafkahkan gajinya kepada para pelajar dan orang miskin.

Dalam satu temuramah oleh Fatimah al-Sahrawi mengenai kenapa beliau menerima jawatan Menteri Wakaf dan kemudian meninggalkannya. Beliau menjawab : “ saya menerima kerana saya berpendapat saya telah lama meninggalkan Mesir sejak tahun 1950 dan berada di luar negeri. Saya tidak mempunyai hubungan dengan pemerintah dan pegawai-pegawainya. Dan apabila saya berdakwah saya dapati diri saya jauh dari mereka. Saya berfikir kenapa mereka meminta saya untuk memegang jawatan tersebut sedangkan saya berjauhan dengan mereka. Ini menandakan bahawa mereka memilih untuk melakukan sesuatu tugas yang mulia. Sekiranya saya tidak menerimanya, maka mereka akan mengatakan saya tamakkan harta kerana saya dibayar gaji di Arab Saudi sebanyak 2000 ribu sebulan sementara menjadi Menteri di Mesir sebanyak 250 Junaih tetapi saya perlu berkorban.” Dalam satu pertemuan yang lain mengenai isu ini juga, beliau mengatakan syukur kepada Allah kerana jawatan menteri itu bukan sesuatu yang diminta-minta tetapi ditawar kemudian beliau menerimanya.

Pada tahun 1980, beliau dilantik menjadi anggota Majma’ al-Buhuth al-Islamiah ( badan Penyelidikan Islam) di al-Azhar. Setelah itu, beliau bergiat dalam aktiviti dakwah dan menyebarkan ilmu dan menolak jawatan yang ditawarkan kepadanya.

Beliau telah dianugerah pingat darjat pertama pada tahun 1976, sebelum dilantik menjadi Menteri Wakaf dan Pingat Kebangsaan pada tahun 1983 dan 1988. Beliau juga mendapat Doktor Kehormat Kesusasteraan dari Universiti Mansurah dan Universiti Manufia. Beliau juga dipilih sebagai pemenang tokoh oleh Negeri Daqaliah pada tahun 1989. Beliau juga pernah mendapat Anugerah Dubai dan Pingat Amir Zaid Ali Nahyan. Duit yang beliau dapat dari pingat itu disedekahlam kepada al-Azhar dan para pelajar di Bu’us Islamiah ( Asrama Pelajar al-Azhar).

Beliau juga terkenal sebagai seorang dermawan dan membuat kebajikan. Beliau mendirikan di kampungnya Daqadus Maahad Al-Azhar, Sekolah Tahfiz, Masjid dan Pusat Kesihatan untuk orang Miskin. Royalti buku-buku beliau didermakan untuk kebajikan. Beliau wafat pada pagi Rabu 22 Safar tahun 1419H bersamaan 17 Jun 1998.Jenazahnya telah dimandikan oleh Dr Omar Hashim dan diimamkan oleh Dr Sayyid al-Tantawi.Sebelum meninggal dunia, beliau berwasiat kepada anak-anaknya agar jangan bergaduh kerana harta dan berwasiat agar disiapkan satu juzuk terakhir tafsir al-quran yang belum disiapkan lagi dengan melihat rakaman yang dirakamkan di TV dan Radio.Malah dua hari sebelum meninggal dunia, beliau berwasiat agar mempersiapkan kuburan untuknya di kampung.

Menurut anaknya, Ahmad bahawa bapanya telah mengkhaskan daripada gajinya kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan kampungnya. Malahan wang yang diperolehi dari ceramah-ceramah, royalti buku dan majalah disedekahkan untuk orang ramai. Beliau pernah menafkah wang berjuta dolar yang dihadiahkan oleh Raja Dubai untuk aktiviti dakwah.

Mengenai kenapa beliau tidak memakai pakaian rasmi al-Azhar (iaitu berjubah dan serban Merah), beliau menjawab sememangnya beliau menyukai pakaian rasmi al-Azhar namun setelah beliau dituduh ingin merebut jawatan syeikh al-Azhar maka beliau menanggalkan pakaian tersebut untuk selamanya. Hal ini terjadi kerana beliau memberikan ciri-ciri dan syarat-syarat kelayakan untuk menjawat jawatan Syeikh al-Azhar kepada Anwar Sadat, Setelah itu orang beranggapan bahawa beliau menginginkan jawatan tersebut.Oleh kerana itu, untuk membuktikan keikhlasannya beliau menanggalkan pakaian yang amat disukainya.

Ahmad Bahjat menyifatkan Syeikh al-Sya’rawi seorang ahli tafsir semasa yang dapat menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan uslub yang mudah difahami oleh orang umum. Sementara Omar Hashim, bekas Rektor al-Azhar menyifatkannya sebagai seorang mujadid abad ini. Yusuf al-Qaradawi menyifatkan Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi seorang ahli al-Quran. Beliau merupakan seorang yang dikurniakan Allah kefahaman al-Quran dan rahsia-rahsianya serta pandangan-pandangannya mempunyai kesan kepada masyarakat umum, sama ada golongan terpelajar mahupun tidak. Tidak semua orang yang membaca al-Quran dapat menyelami makna-makna kecuali diberikan Allah kefahaman tersebut. Dan Syeikh al-Sya’rawi adalah orangnya yang diberikan Allah kurniaan tersebut. Menurut al-Qaradawi, Syeikh al-Sya’rawi keseluruhan hidupnya adalah untuk berkhidmat kepada agama Islam dan menyebarkan ilmu dan kematian ulamak merupakan satu kehilangan besar dan musibah kepada umat kerana apabila Allah menarik ilmu adalah dengan kematian ulamak. Apatah lagi dalam masa terdekat beberapa ulamak lainpun telah meninggal dunia sebelumnya seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Khalid Muhammad Khalid, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq (Syeikh al-azhar), Syeikh Abdullah bin Zayd Ali Mahmud, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghadah. Menurutnya lagi, sememanng ada yang bersepakat dengan Syeikh al-Sya’rawi dan ada yang berbeza pendapat dengannya seperti pandangannya mengenai pemindahan organ. Beliau tidak bersetuju pemindahan organ. Beliau juga tidak bersetuju untuk mengambil pendekatan menentang kerajaan dan mengambil pendekatan tadaruj sedangkan ada sesetengah golongan inginkan pendekatan kekuatan dan menentang pemerintah. Perkara ini sudah tentu berbeza dengan Syeikh al-Sya’rawi. Namun, kesemuanya bersetuju atas sumbangan dan khidmatnya dalam khidmat kepada agama Islam keseluruhannya, meninggikan kalimatnya dan berdakwah kepada masyarakat dengan bahasa yang mudah dan semasa. Al-Qaradawi menyebutkan lagi, Syeikh al-Sya’rawi merupakan gurunya dalam subjek Balaghah semasa beliau menuntut di Kolej Al-Azhar Tanta. Menurut al-Qaradawi, pada tahun 1417H, apabila beliau dianugerah Pingat Antarabangsa Syahsiyat Islam Dubai, saya telah diminta oleh pihak penganjur untuk menghadiri bagi menghormati beliau. Saya telah hadir dan apabila beliau mengetahui kehadiran saya beliau merasa sungguh seronok dan bergembira. Saya menghadiri majlis tersebut sebagai tanda menghormatinya dan sepatutnya kita sebagai seorang muslimin juga menghormati para ulamak kita seperti Syeikh al-Sya’rawi dan Muhammad al-Ghazali.

Syeikh al-Sya’rawi telah berkahwin dalam usianya yang masih muda atas permintaan bapanya yang inginkan beliau berkahwin awal dan isterinya adalah pilihan keluarga. Mereka dikurniakan 5 orang anak iaitu Sami, Abdul Rahim, Ahmad, Fatimah dan Solehah. Mengenai pendidikan anak-anak, al-Sya’rawi menyebutkan bahawa perkara yang penting ialah memberi contoh teladan dan sekiranya kita menunjukkan akhlak yang mulia sudah tentu mereka akan mengikutinya. Adalah menjadi kewajipan kita mendidik mereka dengan akhlak dan perangai yang mulia dan memelihara telinga dari mendengar perkara yang buruk, memelihara matanya dari melihat yang mungkar. Kita hendaklah mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam dalam menunaikan amalan dan kewajipan agama, tekun dalam membuat kerja dan menunaikan solat pada waktunya.
Antara buku-buku karangannya :
1. Tafsir al-Sya’rawi (Tafsir al-Sya’rawi)

2. al-Isra’ wa al-Mi’raj (Isra dan Mikraj) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Dinie Publihers

3. al-Islam wa al-Fikr al-Mu’asir (Islam dan Pemikiran Semasa )

4. al-Islam wa al-Mar’ah (Islam dan wanita)

5. al-Tariq ila Allah (Jalan Menuju Allah)

6. al-Fatawa (Fatwa-Fatwa)

7. Mu’jizat al-Qur’an (Mukjizat al-Quran) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Nasional)

8. Min Fayd al-Rahman (Dalam Limpahan al-Rahman) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Yasmeen)

9. al-Qada’ wa Qadar (Qada dan Qadar)

10. al-Salat wa Arkan al-Islam.(Solat dan Rukun-Rukun Islam)

11. Nazarat fi al-Qur’an (Pandangan-Pandangan al-Quran)

12. Hadha Huwa al-Islam (Inilah Islam)

13. al-Hayat wa al-Maut (Kehidupan dan Kematian)

14. Al-Taubat (Taubat)

15. al-zalim wa al-zalimun (Zalim dan orang-orang Zalim)

16. Sirah al-Nabawiyyah ( Sejarah Nabi Muhammad s.a.w.)

Dan masih lagi banyak lagi buku-buku beliau terutama dalam penafsiran al-Quran dan persoalan umat semasa.

Menurut al-Sya’rawi beliau tidak mengulangi mana-mana buku kecuali al-Quran. Al-Quran telah memberi ufuk yang luas kepada jiwa dan pemikirannya. Beliau menafsirkan al-Quran dengan menamakannya sebagai “Khawatir al-Imaniah”. Ia bukan semata-mata tafsiran ayat demi ayat mengikut tertib mashaf serta menerangkan kalimah dan menafsirkan ayat tersebut. Khawatir al-Imaniah ini bertujuan untuk mencapai al-Ijaz al-Quran dan menyampaikan pemikiran iman kepada masyarakat umum.Ia mengandungi beberapa keistimewaan iaitu :

1. Menghubungkan tajuk antara dua tafsir surah seperti menghubungkan surah al-Fatihah dengan surah al-Baqarah dan menerangkan makna dan matlamat. Ini dilakukan untuk menimbulkan Ijaz al-Quran, mengetuk hati dan pemikiran iman kepada orang umum. Oleh itu, beliau menerangkan dari satu surah dan berpindah ke surah yang lain kemudian barulah ditafsirkan ayat di hendak dijelaskan.

2. Setiap tafsiran dikuatkan dengan ayat-ayat berkaitan al-Kawniyyah ( kejadian alam semesta) dalam al-Quran dan hubungan dengan hakikat ilmiah semasa, menghubungkan antara Quran dan iman, antara iman dan ilmu dengan tafsiran yang seimbang.

3. Setiap tafsiran itu diberi perumpamaan semasa dan realiti kehidupan semasa dengan contoh-contoh yang berlaku di sekeliling orang awam. Ini dilakukan untuk mendekatkan orang ramai dengan al-Quran dan menambahkan seorang mukmin bahawa al-Quran adalah sesuatu yang benar dan kitab fitrah iaitu kitab yang bersesuaian dengan jiwa manusia dan kemanusiaan.
Al-Sya’rawi juga seorang yang terkenal bersyair. Antara tema-tema syairnya adalah bertemakan kemanusiaan dan ketuhanan. Menurutnya, dalam bidang syair ini beliau mengikut manhaj Shawqi. Bapa saya apabila selesai solat Fajar dan ia akan menunggu surat khabar. Jika ia dapati ada syair Shawi, ia akan menyuruh saya membaca dan menghafaz. Dia akan memberi wang apabila saya dapat menghafaznya pada sebelah petang syair tersebut.
Mengenai peranan al-Azhar, beliau berharap al-Azhar dapat menjadi tempat memelihara ilmu-ilmu Islam dan Bahasa Arab. Beliau menyebutkan bahawa peranan al-Azhar bukan hanya terhenti dalam 10 kurun yang lalu. Dalam masa tersebut. Al-Azhar telah berperanan memelihara ilmu-ilmu Islam dan memelihara Bahasa Arab dari hilang ketika mana berlaku serangan pemikiran dari golongan penjajah. Al-Azhar harus berperanan menyedarkan umat Islam dan memelihara ilmu-ilmu Islam dan Bahasa Arab. Di samping itu, membawa manusia ke arah risalah ilmu dan iman dan menyedarkan anak-anak Muslim untuk bangun dan berusaha ke arah kemuliaan dan kebanggaan bagi diri dan negara mereka. Menurut Syeikh al-Sya’rawi lagi, kebanyakkan orang memahami peranan al-Azhar dengan kefahaman yang silap. Peranan al-Azhar sekadar untuk menyedarkan manusia untuk melaksanakan hukum dan beramal dengan hukum Islam sementara pelaksanaannya bukanlah tanggungjawab al-Azhar kerana sesetengah orang beringinkan ulamak al-Azhar memikul senjata untuk melaksanakan hukum-hukum Allah. Jelas di sini, peranan al-Azhar adalah memberi risalah ilmu kepada umat Islam dan melahirkan para duat yang ikhlas dan berwibawa.

Mengenai ibadat pula, Omar Hashim menyebutkan Syeikh al-Sya’rawi seorang yang banyak beribadat dan bersolat. Beliau menjadikan rumahnya sebagai masjid apabila beliau dalam keadaan uzur dan tidak mampu untuk pergi ke masjid untuk solat berjamaah. Pada suatu hari saya pergi ke rumahnya dan beliau masih lagi bersolat sedangkan jamaah lain telah habis menunaikan solat Isya’, solat sunat badiah dan witir. Sedangkan Syeikh al-Mutawalli terus menunaikan solat-solat sunat. Syeikh al-Sya’rawi menyebutkan bahawa beliau mempelajari dari ayahnya dua perkara :

i. Pertama bahawa ayahnya pernah menyebutkan kepada beliau : “Jagalah dan peliharalah tawaduk kerana rahsia-rahsia ilmu tidak akan diperolehi oleh orang-orang yang sombong.”

ii. Ayahnya pernah mengatakan : “ Ikatkanlah diri kamu dengan Allah selalu dan tidak takut selain Allah.”

Kedua-dua aspek ini jelas dipratikkan oleh Syeikh al-Sya’rawi aiitu beliau seorang yang tawaduk dengan ilmunya dan sentiasa beribadat dan berzikir mengingati Allah.

Antara fatwa-fatwanya :
i)Adakah mayat mendapat manfaat dari sedekah dan mempunyai perasaan terhadap orang hidup dan adab ziarah Kubur?
Dalam menjawab persoalan perkara syeikh al-Sya’rawi menyebutkan bahawa mayat akan mendapat manfaat dari sedekah-sedekah yang dilakukan kepadanya. Disebutkan oleh Syeikh al-Adawi dalam kitabnya “Masyariq al-Anwar” bahawa telah bersepakat para ulamak bahawa pahala sedekah akan sampai kepada mayat sama ada kubur itu dekat atau jauh. Begitu juga istighfar dan berdoa kepadanya. Berkata Imam al-Qurtubi lagi bahawa ulamak telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada si mayat. Begitu juga kata-kata dalam membaca al-Quran dan berdoa dan beristighfar kepadanya. Ini berdasarkan kepada hadith yang menyebutkan bahawa mayat itu sentiasa menanti-nanti doa dari saudaranya atau bersedekah untuknya, sekiranya ia memperolehi perkara tersebut, itu adalah yang terlebih baik dari dunia dan segala isinya. Berkata Imam al-Syarani bahawa dalil sampai pahala tersebut adalah sabda Rasulullah yang menyebutkan apabila kamu melalui kubur hendaklah membaca Qul Huwa Allah ahad sebanyak 11 kali dan kemudian bersedekah kepada ahli kubur tersebut, maka mayat-mayat tersebut akan mendapat pahala darinya. Disebutkan juga oleh Imam Ahmad bahawa apabila kamu berada di kubur maka bacalah al-Fatihah dan dua surah ma’uzatain (surah al-Nas dan surah al-Falaq) dan Qul Hu Allah ahad (Surah al-Ikhlas) dan jadikanlah ia sebagai sedekah kepada ahli kubur kerana ia akan sampai kepada mereka.

ii)Adakah mayat dapat merasai apa yang dilakukan orang-orang hidup.?

Telah sabit dalam hadith bahawa mayat mempunyai perasaan dan merasai dengan apa yang berlaku diluar kuburnya. Dalam hadith al-Bukhari menyebutkan bahawa mayat akan datang dua malaikat yang akan bertanya kepadanya dan dia akan mendengar tapak-tapak kasut orang yang beredar dari kuburnya .Begitu juga dinyatakan oleh Muslim.

Dalam Fatawa Ibn Taimiyah ada nas seperti berikut : apakah yang dikatakan oleh orang hidup apabila menziarahi mayat. Adakah ia mengetahui orang yang menziarahi mereka dan adakah mayat mengetahui apabila matinya saudara mereka atau bukan saudara mereka.? Maka Ibn Taimiyah menjawab : “ Telah tersebut dalam Athar bahawa si mayat akan bertanya tentang perjumpaan dan amalan –amalan orang-orang hidup kepada orang yang baru mati. Ibn Qaiyyim dalam Zad al-Ma’ad menyebutkan bahawa mereka akan mengetahui sesiapa yang menziarahi mereka terutama pada hari Jumaat.

Telah terbukti bahawa nabi pernah memanggil orang yang mati dalam peperangan Badar dari golongan musyrikin, Dan beliau berkata kepada Umar apabila Umar bertanya “Sesungguhnya Allah telah mengutuskan aku dengan kebenaran, sesunguhnya engkau sahaja yang tidak mendengar dari mereka dan mereka lebih mendengar dari engkau.”

Mengenai siksa kubur, Syeikh al-Syarawi berpendapat sememang benar ada, iaitu dengan diperlihatkan kepada mayat dalam kuburnya, apa-apa yang dialami kelak dari seksa neraka. Allah menjelaskan berapa seksa yang dialami fir’aun dalam kehidupan dalam kubur atau alam barzah. Firman allah yang bermaksud : “ kepada mereka dinampakkan neraka pagi dan petang.dan pada hari kiamat diperintahkan kepada malaikat: “ masukkanlah Fir’aun dan kaumnya itu dalam azab yang sangat keras.” (al-Mukmin, ayat 46)
Hadith-hadith Rasulullah juga menerangkan tentang siksa kubur diantaranya, tanah-tanah merangkul dan menghimpit tubuh sehingga tulang rusuk yang kanan beradu dengan tulang rusuk yang kiri. Jika bertanya tentang benar atau tidak adanya siksa kubur, tentu sudah yakin benar akan adanya siksa akhirat (neraka) sebab ini menyangkut rukun iman. Kalau ada yang bertanya, mengapa kelak manusia di akhirat diadili dan dihisab untuk ditentukan tempatnya di syurga atau neraka? Jawapannya, boleh kita ambil contoh di dunia ini. Orang yang bersalah sebelum diadili dan diputuskan hukumnya lebih dulu diperiksa oleh polis. Dibuat laporan dan diserahkan kepada pendakwaraya lalu dibawa ke mahkamah. Mungkin juga dilakukan penahanan. Proses seperti itu sudah merupakan seksaan bagi si tertuduh.

Nasihat kepada para da’i
Kejayaan dakwah pada permulaan Islam kerana disebabkan contoh teladan yang baik dari para da’i dan berbudi mulia.Mereka merupakan orang-orang kuat bukan dari segi material tetapi dari segi akidah, ibadah dan akhlak. Mereka menjadi pemimpin yang disenangi. Sesuatu organisasi dakwah yang tidak memiliki orang yang berwibawa sebagai pemimpin dan contoh yang baik tidak akan maju dan berhasil. Menurutnya, dakwah kepada Allah dan agama wajib ditempuh dengan lapang dada, ucapan lemah lembut, nasihat yang baik, bukti-bukti yang penuh bijaksana dan kekuatan dalil.

Sekiranya dakwah yang disampaikan tidak memuaskan lawan, maka mereka akan menyedari bahawa para da’i adalah orang yang kurang berpendidikan dan belum mengamalkan ajaran Allah dengan baik. Untuk mengajak orang lain meninggalkan satu tradisi yang biasa dilakukan, janganlah menggunakan ucapan atau kata-kata yang menyinggung perasaannya.

Dengan berbuat demikian para pendakwah menghadapi dua kesulitan pertama, kesulitan mereka meninggalkan amalan-amalan tradisional yang sudah lama lakukan. Kedua, kesulitan menempuh jalan kesedaran bagi orang yang sudah tersinggung perasaannya.

Oleh itu Syeikh al-Syarawi menyeru agar jangan menggunakan emosi dengan cara mencaci kerana kewajipan pendakwah adalah menyampaikan seruan dan ajaran Allah dan bukan seruan dan ajaran peribadinya. Bagaimana keadaan dunia ini jika kebatilan sudah berkuasa, maka masyarakat akan bertambah rosak. Adalah menjadi kewajipan para pendakwah untuk mengemukakan perbandingan antara yang hak dan yang batil dengan mengemukakan hujah-hujah yang baik dan bijaksana kerana Islam disebarkan dengan kebijaksanaan dan beradab dan bukan dengan perang atau kekerasan.

Semasa ditanya hukum menyambut maulid nabi, Syeikh al-Syarawi menyebutkannya adalah mubah (dibolehkan) selama dilakukan dengan maksud mengambil suri teladan kehidupan beliau. Menurutnya, banyak kaum muslimin yang menyelenggarakan peringatan maulid, tetapi sedikit sekali yang dapat mengambil manfaat darinya, padahal di tiap-tiap peringatan umat Islam apabila menghidupkan satu saja syiar agama dan melaksanakannya pasti agama Islam akan jaya. Ternyata perayaan-perayaan maulid itu sekadar ikut memperingati yang disesuaikan dengan kecederungan nafsu, makan-makan yang lazat, hiasan-hiasan indah serta nyayian diiringi rebana, yang semuanya itu jauh dari agama. Peristiwa maulid nabi Muhammad s.a.w. adalah peristiwa terbesar sepanjang sejarah, bahkan lebih besar dari peristiwa terciptanya seluruh alam, sebab beliau datang dengan ajaran Allah sebagai rahmat bagi seluruh alam. Menurutnya lagi, Islam tidak perlu pada keindahan dan hiasan luar untuk menarik hati orang lain, kerana itulah peringatan maulid tidak boleh lepas dari ajaran beliau. Tidak ada salahnya jika peringatan dan perayaan maulid yang bersifat keindahan itu diselenggarakan untuk anak-anak dan remaja agar hati mereka terikat dengan kecintaan peringatan itu, juga untuk membentangi akal dan jiwa mereka sebelum diracuni oleh pemikiran yang buruk.Tetapi itu saja tidak mencukupi, hendaknya dalam setiap kesempatan mereka diberikan pelajaran rohani agar tertanam kecederungan beragama.
Mengenai tasawuf, Syeikh al-Sya’rawi menyebutkan bahawa tasawuf yang sebenar ialah hidup ditengah keramaian masyarakat dan ikut bergelut dengan kancah kehidupan. Tasawuf sebenarnya orang yang dikenal dapat hidup ditengah orang-orang berharta, suasana masyarakat yang rakus dan segala macam-macam fitnah. Seorang yang tidak ikut kasar, serong dan tidak ikut berbuat curang padahal dia hidup ditengah-tengah masyarakat seperti itu, adalah yang lebih disukai Allah. Orang seperti itu mempunyai harga dan kehormatan diri.
Tasawuf yang sejati tidak akan meninggalkan kancah kehidupan duniawi. Al-Sya’rawi menjelaskan beberapa pengertian tasawuf. Menurut, tasawuf mula dikenal pada akhir abad kedua hijrah sebagai sifat dan perilaku orang yang hidup sederhana dan menjauhi kesenangan dan kemewahan hidup duniawi. Ia juga bererti melaksanakan urusan duniawi dengan selalu menjaga diri dalam jalur perintah dan larangan Allah, mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. yang telah banyak dilupakan orang. Sementara sifat orang sufi ialah tidak ingin menonjolkan di dalam masyarakat dan tidak ingin dikenal kemasyhurannya dan tidak mencari kepentingan diri. Menurutnya lagi, sekolah dari tarikat sufiyah banyak menghasilkan ulamak besar dan terkenal, yang mempunyai kecintaan Islami yang murni. Menurutnya tidak ada perbezaan antara salafi dan sufi pada prinsipnya. Perbezaan yang ada iaitu bahawa sufi dan aliran tasawuf menempuh jalan tertentu iaitu disebut sebagai tarikat-tarikat dengan organisasi yang dipimpin oleh syeikh-syeikh. Sementara salafiyyah berpegang teguh pada ajaran masa nabi Muhammad dengan bersifat wara’ iaitu menjauhi apa yang syubhat dan khawatir masuk dalam perangkap yang haram. Mereka menggabungkan sifat wara’ dengan peningkatan ilmu pengetahuan dan melengkapi ibadah dengan mengamalkan yang sunnah-sunnah sepenuhnya.

Dalam membentuk belia dan pemuda Islam, al-Sya’rawi menjelaskan bahawa peranan keluarga amatlah penting. Malah menurutnya, Islam amat menekankan pembentukan pemuda itu sebelum ia wujud lagi iaitu ketika mana manusia berfikir untuk mendirikan rumahtangga hendaklah ia memilih isteri atau suami yang baik dan soleh. Perkara ini kerana keluarga yang baik dan persekitaran yang bagus akan melahirkan pemuda yang baik. Malah Islam menyeru agar si suami yang ingin mendatangi isterinya sentiasa membaca doa-doa agar zuriatnya dilindungi dari tipudaya syaitan. Di samping itu, ibu yang hamil hendaklah melakukan perkara yang baik, memberi nama yang elok kepada anaknya dan menyusu dengan sempurna sebagai asas kepada pembentukan para remaja yang berakhlak mulia

No comments:

Post a Comment