Sunday, February 28, 2021

Syeik Soleh Al Jafari








SYEIKH SOLEH AL-JA'FARI AL-HUSAINI (RAH) 

(Wali Allah al-Azhar) 

Pendahuluan

Nama beliau ialah Soleh bin Muhammad bin Soleh bin Muhammad bin Rifai’e yang bersambung keturunannya dengan Saiyidina Jaafar As-Sodiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Imam Husain bin Saidina Ali bin Abi Talib suami Saidatina Fatimah Az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w.

Kelebihan Syeikh Soleh di sini ialah beliau berasal dari keturunan Saidina Husain manakala sanad tariqatnya dari Saidina Hasan, Masya Allah! Nur ‘ala nur!


Bondanya

Selama lapan tahun ayah dan bonda Syeikh Soleh berkahwin namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Keluarga bapanya bercadang untuk mengahwinkan ayahanda Syeikh Soleh dengan wanita lain kerana mengandaikan pasangan tersebut tiada rezeki. Dengan perasaan agak dukacita, bonda Syeikh Soleh pergi menziarahi makam Sayyid ‘Abdul ‘Ali bin Ahmad bin Idris (anak kepada Sayyid Ahmad bin Idris,wali qutub dunia, pengasas Tariqat Ahmadiyah Idrisiyah) lalu beliau berdoa dan bernazar, “Jika Allah mengurniakan aku seorang anak pada tahun ini,akan aku berpuasa dan akan aku hadiahkan pahala puasaku kepadamu (wahai Sayyid Abdul Ali) dan akan aku sedekahkan wang pada hari maulidmu kepada orang fakir”.

Hajat bondanya tadi dimakbulkan Allah iaitu pada hari Khamis bersamaan 10 Jamadil Akhir tahun 1328 Hijrah, lahirlah bayi lelaki yang diberi nama Soleh di sebuah desa di wilayah Dunqula,Sudan. Keluarganya berasal dari Mesir tetapi berhijrah dan menetap di Sudan.

Datuknya, Syeikh Soleh bin Muhammad

Datuknya, (juga bernama Soleh), Syeikh Soleh bin Muhammad adalah dari kalangan ulama’ Al-Azhar dan menubuhkan kumpulan hafiz Al-Quran dan pengajian di salah sebuah masjid di Dunqula. Perjalanan hidup datuknya ini membawa kesan yang amat mendalam kepada kehidupan Syeikh Soleh dan mewarisi sikap sukakan ilmu,beribadat dan meninggalkan perhiasan dunia yang sementara ini. Beliau banyak belajar ilmu tajwid dan menghafaz Al-Quran dari datuknya dan guru-

guru di sekitar Dunqula.

Dalam satu syairnya, beliau melahirkan rasa kasih dengan memuji datuknya serta melahirkan syukur kepada Allah kerana datuknya menamakan “Soleh” iaitu nama datuknya sendiri. Beliau juga mendoakan kesejahteraan datuknya yang banyak mencurahkan bakti kepada masyarakat dengan mengajar masyarakat mengenali Al-Quran.

Ayahnya, Muhammad bin Soleh

Ayahnya, Syeikh Muhammad pula seorang peladang yang bekerja menguruskan ladang di siangnya manakala bangun malam dan beribadat hingga hampir waktu subuh. Beliau pergi ke masjid lebih awal dan membuka pintu masjid,menghidupkan lampu-lampu dan mengimami solat jemaah.Setelah itu,beliau pulang ke rumah untuk mengejutkan keluarga sebelum terbit matahari dan bersiap ke kebun selepas menikmati sedikit juadah sarapan yang disediakan isterinya. Begitulah rutin harian Syeikh Muhammad.

Keturunan Rasulullah

Syeikh Soleh Jaafari telah dikurniakan oleh Allah zuriat dan nasab yang paling mulia iaitu dari Rasulullah s.a.w. Pada permulaannya beliau tidak mengetahui dengan jelas tentang keturunannya ini hinggalah beliau menemui kertas-kertas yang menunjukkan keturunan bapanya dari Saidina Jaafar As-Sodiq.

Ia dikuatkan lagi dengan mimpi beliau bersama Rasulullah. Ceritanya dalam sebuah kitab beliau, “Mimpi pertamaku ialah aku melihat Sayidah Zainab binti Saidina Ali. Ketika itu beliau berada di belakang tabir lalu beliau bertanya kepadaku, “Bagaimana keadaanmu dan keluarga Jaafari?”

Satu ketika lain, beliau bermimpi melihat Rasulullah s.a.w bersama empat khalifah Ar-Rasyidin yang lain. Cerita Syeikh Soleh lagi: “Aku bersalam dengan Saidina Ali lalu dia memegang tanganku dan aku berkata kepadanya “Aku adalah dari zuriatmu dan bersambung keturunan dengan Jaafar As-Sodiq. Lantas Nabi s.a.w ketika itu menganggukkan kepala sebagai isyarat membenarkan kalimahku. Apabila terjaga dari tidur aku merasakan mimpi aku ini lebih aku sukai dari dunia dan seisinya”.

Nisbah “Al-Jaafari” kepada Syeikh Soleh diberikan sendiri oleh Saidina Husain ibn Saidina ‘Ali melalui mimpi yang beliau ceritakan sendiri dalam kitabnya. Kata Syeikh Soleh: “Sebelum pemergian aku menunaikan fardu haji pada tahun 1393H, aku bermimpi dengan Saidina Husain di makamnya, setelah memberikan salam, aku bertanya, “Siapakah diriku ini?” Jawab Saidina Husain, “Jaafari.” Kata Syeikh Soleh lagi, “Kalau begitu, aku ini dari zuriatmu.” Saidina Husain berkata dengan nada suara yang tinggi, “Sam, Ham dan Yafis adalah zuriat Nuh (a.s), aku mengenali mereka dan dia (Nuh) mengenali mereka.” Kata Syeikh Soleh iaitu tentunya Saidina Husain mengenali zuriatnya.

Alam Remaja dan Perkahwinan

Sejak kecil, beliau mendapat didikan langsung dari kedua orang tuanya dan datuknya yang amat kuat berpegang pada agama. Pada usia 14 tahun,beliau telahpun menghafaz Al-Quran di masjid Dunqula yang padanya terdapat makam Sayyid ‘Abdul Ali bin Ahmad bin Idris. Syeikh Soleh sering menziarahi makam Syeikh Abdul ‘Ali bin Ahmad bin Idris di masjid Dunqula.Beliau telah mengambil tariqat Ahmadiyah Idrisiyah pada usia 19 tahun daripada guru murabbinya, Sayyid Muhammad As-Syarif bin Sayyid Abdul Ali bin Ahmad bin Idris (cucu kepada Maulana Sayyid Ahmad bin Idris).

Syeikh Soleh telah mendirikan rumah tangga setelah usia beliau melewati 14 tahun. Ketika berusia 20 tahun, beliau dikurniakan seorang puteri bernama Fathiyah dan putera bernama Abdul Ghani. Syeikh Soleh kemudian telah mengembara menuntut ilmu hingga ke Universiti Al-Azhar. Kedua-dua cahaya matanya dipelihara oleh datuk dan nenda mereka di Dunqula.


Pengajian di Al-Azhar

Syeikh Soleh telah menuntut dari ramai para syeikh ketika tempoh pengajian di Al-Azhar. Antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim As-Samaluti. Setelah beberapa bulan mengaji, Syeikh Soleh merasa amat kecewa dan dukacita dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang berleluasa dan suasana hidup bandar yang amat berbeza dengan kehidupannya di kampung. Lalu terdetik dihatinya untuk pulang ke kampung sahaja bagi mengelak maksiat di depan mata.

Pada satu hari, Syeikh Muhammad Ibrahim As-Samaluti telah membincangkan masalah ini dengan Syeikh Soleh sambil berkata: "Jangan kamu sangka para wali itu hidup dalam khalwat (lari dari masyarakat)sahaja. Tapi wali yang sebenar ialah mereka yang hidup 'dalam kala jengking tapi ia tidak mampu menyengat kamu'. Duduklah di sini (bandar) dan bermujahadahlah".


Kesusahan

Syeikh Soleh Jaafari juga banyak melalui kesusahan sepanjang tempoh pengajiannya di Al-Azhar. Beliau hidup berbekalkan duit perbelanjaan yang dikirim oleh ayahnya sebanyak 10 pound (junaih) sebulan. Beliau pernah tidak makan beberapa hari kerana kehabisan wang. Syeikh bercerita: “Acapkali aku tidur dalam keadaan lapar bahkan pernah 4 hari aku tidak makan apa-apa. Hingga satu malam,kerana terlalu lapar beliau menangis lalu terlelap. Dalam mimpinya,beliau bermimpi menemui Sayyid Ahmad Badawi (seorang wali Qutub, keturunan Rasulullah yang makamnya berada di Tanta) dalam keadaan mukanya tertutup kemudiannya dia membuka wajahnya dan aku dapati wajahnya berseri-seri seperti bulan purnama. Lalu dia bertanya "Hai Soleh, kenapa kau menangis?". Aku jawab "Kerana terlalu lapar". Lalu Sayyid Ahmad Badawi berdoa, "Semoga Allah luaskan rezeki untuk kamu tapi pesanku jangan kamu lupa nasib saudara-saudara mu yang lain".


Gurunya

Antara guru Syeikh Soleh ialah:

Syeikh Muhammad Bakhit Al-Mut’ie (usianya mencecah 103 tahun)

Syeikh Habibullah As-Syanqiti

Syeikh ‘Allamah Yusof Ad-Dijwi ('alim tafsir dan hadith,merupakan anggota Jemaah Ulama' Al-Azhar)

Syeikh Ali As-Syaib

Syeikh Hasan Madzkur

Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf Al-’Adawi (bekas Mufti Mesir)

Syeikh Muhammad Al-Halab

Syeikh Abdul Khaliq As-Syubrawi

Sayyid Ahmad As-Syarif Al-Ghumari (ulama' Maghribi)


Tamat Pengajian

Setelah menimba ilmu di Al-Azhar hingga mendapat sijil "Alamiyah Al-'Aliyah" yang setaraf dengan Phd. zaman ini,beliau pulang ke kampungnya di Dunqula. Keluarganya amat bergembira dengan kepulangan Syeikh Soleh.

Beliau tinggal bersama keluarganya selama 3 bulan hingga satu malam beliau bermimpi Sayyidah Sukainah dan Zainab (kedua-duanya Ahli Bait Rasulullah). Mereka berdua berkata, "Sesungguhnya Soleh telah meninggalkan kami dan sibuk dengan isteri dan anak-anaknya di kampung." Apabila terjaga dari tidur, Syeikh Soleh terus bergegas ke Kaherah.

Imam Masjid Al-Azhar

Syeikh Soleh telah dilantik sebagai Imam dan Khatib di Masjid Al-Azhar. Sepanjang bertugas sebagai imam, beliau telah banyak mewakafkan diri dalam bidang dakwah dengan menyampaikan ilmunya kepada masyarakat.

Beliau juga masyhur dengan 'syeikh pengajian Jumaat' kerana selepas solat Jumaat beliau akan mengadakan pengajian tafsir dan hadith di Masjid Al-Azhar bermula lepas solat Jumaat hingga masuk waktu Asar. Semasa bertugas sebagai imam, beliau menghantar wang sebanyak 50 sen kepada bondanya di kampung hasil pendapatannya sebanyak 3.75 sen sebulan (kadar gaji ketika tahun 40-an).


Sanad Tariqat

Tariqat ialah jalan bagi mendekatkan diri seorang hamba dengan Allah melalui jalan yang jelas iaitu berguru. Syarat utama sebelum seseorang mengangkat janji (bai’ah) dengan syeikhnya ialah ikhlas,melazimi wirid dan bermujahadah. Seseorang yang merasakan dirinya lemah pasti memerlukan bimbingan dalam hidupnya. Sebagai contoh seseorang yang rasa dirinya tidak mahir komputer, pasti dia akan mencari seorang yang pakar dalam bidang tersebut mengajar hingga dia mahir dalam bidang tersebut.

Begitu juga bab kerohanian dan hati. Syeikh memimpin tariqat dipanggil “syeikh murabbi” manakala yang dipimpin dipanggil “murid”. Sebaik-baik syeikh yang bergelar murabbi ialah yang mengikuti Rasulullah s.a.w sama ada cara berpakaian, bercakap, makan, minum. Semuanya mengikuti Rasulullah s.a.w kerana syeikh itu sebagai pembimbing. Tentunya ramai anak muridnya memerhatikan pergerakan syeikh.

Syeikh Soleh telah membai’ah dengan gurunya di Sudan iaitu Syeikh Sayyidi ‘Abdul ‘Ali, Syeikh Soleh menyebut sanad tariqatnya: “Telah mengijazahkan kepada aku guruku yang juga murabbiku Sayyid Muhammad Abdul ‘Ali dari ayahnya Sayyidi Abdul ‘Ali dari gurunya ‘Allamah Sayyid Muhammad bin ‘Ali As-Sanusi dari gurunya Sayyid Ahmad bin Idris.”

Pengasas Tariqat Jaafariyyah

Diceritakan sewaktu Syeikh Abdul Ghani berada di Sudan, beliau menulis surat kepada Syeikh Soleh,ayahnya. Beliau menulis : “Bismillahirrahmanirrahim..Kepada Syeikh Soleh Jaafari, syeikh bagi Tariqat Jaafariyah….” Beliau mengirim surat itu kepada salah seorang kawannya yang ingin bermusafir ke Kaherah. Kata Syeikh Abdul Ghani, “Bila Syeikh Soleh baca suratku ini, kau perhatikan wajahnya.” Bila Syeikh Soleh baca surat dari anaknya Syeikh Abdul Ghani menyatakan dia sebagai “SYEIKH TARIQAT JAAFARIYAH” Syeikh Soleh tersenyum. Lelaki tadi yang melihat Syeikh Soleh tersenyum, memberitahu Syeikh Abdul Ghani bahawa ayahnya tersenyum bila membaca surat itu. Tahulah Syeikh Abdul Ghani bahawa ayahnya meredainya.

Selepas kewafatan Syeikh Soleh, seorang anak muridnya menemui surat wasiat Syeikh Soleh yang mengizinkan tariqatnya diberi nama Tariqat Jaafariyah Al-Ahmadiyah Al-Muhammadiyah. Al-Jaafariyah (dinisbahkan kepada beliau), Al-Ahmadiyah (nisbah kepada Sayyidi Ahmad Idris) manakala Muhammadiyah (nisbah kepada Nabi Muhammad s.a.w). Asas kepada tariqat ini ialah Al-Quran,hadith dan memuji nabi (madaih nabawi). Sebenarnya Tariqat Jaafariyah yang dibawa oleh Syeikh Soleh lahir, membesar dan dewasa dalam Masjid Al-Azhar.

Hubungan Akrab Dengan Al-Azhar

Hubungan beliau dengan Al-Azhar amatlah kuat dan dapat dilihat sewaktu hayatnya. Syeikh Soleh tidak keluar dari Masjid Al-Azhar selama lebih 50 tahun kecuali bagi menunaikan haji serta menziarahi ahli Bait Rasulullah s.a.w. Menurut cerita, tempat beliau berkhalwat di Masjid Al-Azhar ketika itu, pernah menjadi tempat khalwat bagi Sayyidi Ahmad Zaruq, seorang ahli sufi masyhur. Selepas kewafatan beliau, bilik tersebut dikunci dan tidak digunakan hingga apabila kedatangan Syeikh Soleh ke Al-Azhar 500 tahun kemudian. Ketinggian ilmu dan amal yang ada pada Syeikh Soleh Jaafari tiada siapa mampu pertikai lagi. Kebanyakan ulamak Al-Azhar mengiktiraf kealiman Syeikh Soleh termasuk Dr. Abdul Halim Mahmud, Syeikh Al-Azhar ketika itu.

Dr.Abdul Halim Mahmud seorang ahli tasawuf yang 'alim,tawaduk dan zuhud yang bertariqat Syazuliyyah.

Dr. Abdul Halim Mahmud telah menggelarkan Syeikh Soleh dengan "Kiblat Ilmu" kerana ketinggian ilmu Syeikh Soleh dan sebagai balasannya Syeikh Soleh menggelarkan Al-Azhar di bawah pentadbiran Dr.Abdul Halim ketika itu sebagai "Kaabah Ilmu".

Pesan beliau, "Al-Quran dan Hadis adalah dua mukjizat agung. Menjadi kewajipan Al-Azhar memelihara mukjizat tersebut". Kata Syeikh Soleh: “Al-Azhar diambil nama dari anakanda tersayang Rasulullah s.a.w iaitu Fatimah Az-Zahra’. Yang memelihara Al-Azhar iaitu Rasulullah s.a.w sendiri.”

Kitab Susunan dan Tulisannya

Sejarah Diwan Jaafari:

Syeikh Soleh telah mengarang qasidah hingga dibukukan menjadi 12 jilid. Salah seorang anak murid beliau, Haji Abdul Rauf memberitahu, selepas kewafatan Syeikh Soleh, salah seorang anak murid Syeikh Soleh bermimpi bertemu Syeikh Soleh, lalu syeikh berkata kepadanya “Buka peti ini!” sambil mengisyaratkan jari telunjuknya kepada satu peti. Keesokannya, anak muridnya memberitahu Syeikh Abdul Ghani keadaan mimpinya, lalu setelah dibuka peti tadi didapati terdapat helaian kertas yang tertulis syair dan qasidah yang ditulis syeikh sewaktu hayatnya. Syeikh Abdul Ghani memerintahkan supaya dibuku dan dicetak semua helaian syairnya. Hingga kini, qasidah karangan Syeikh Soleh masih dibaca setiap kali diadakan hadrah.

Pembukuan ‘Durus Jumaah’

Di Maktabah Jawami’ul Kalim juga terdapat 10 jilid buku pengajian Syeikh Soleh sewaktu menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar setiap Jumaat. Penulisan pengajian tersebut ditulis oleh anak murid beliau dan dibukukan hari ini.

Selain itu, antara kitab Syeikh Soleh yang lain antaranya:

Risalah Fil-Haj (menerangkan tentang Haji dan Umrah)

Fataha Wa Faidha Wa Fadhlum mina Allah fi Syarhi Kalimah Lailahaillah Muhammadur Rasulullah

Syarah Matan Al-Ajrumiah (Nahu)


Keramat


Keramat paling besar kepada Syeikh Soleh ialah anak-anak muridnya yang kini berada di serata Mesir bahkan dunia. Tariqatnya juga kini tersebar luas di seluruh dunia terutama di Mesir hingga masjid serta markaznya terdapat di mana-mana. Paling menarik, setiap masjid dan markaznya akan dipelbagaikan aktiviti. Masjid tidak sebagai tempat solat sahaja. Bahkan masjidnya juga terdapat hospital, kelas tahfiz, maktabah, tempat penginapan dan muassasah bagi jemaah haji.

Satu masa,diceritakan daripada seorang ulama' Al-Azhar bernama Syeikh Tahir Al-Kharashi bahawa gurunya pergi menunaikan haji tahun 1954.Ketika beliau menziarahi makam Rasulullah di Madinah,beliau bersandar di salah satu tiang dalam masjid Nabawi lalu terlena. Dalam tidur itu beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah lalu Baginda bersabda "Apabila kamu ke Mesir nanti, sampaikan salamku kepada Soleh Jaafari". Pada masa itu, guru Syeikh Tahir itu tidak mengenali lagi siapa dia Syeikh Soleh Jaafari. Setibanya di bumi Mesir,guru Syeikh Tahir itu mencari di mana Syeikh Soleh lalu ditemui dan beliau menceritakan kepada Syeikh Soleh apa yang dimimpinya.Syeikh Soleh pun menangis apabila mendengar Rasulullah memberi salam kepadanya.

Satu ketika sewaktu menyampaikan pengajian Jumaatnya, seorang lelaki bertanya kepada Syeikh Soleh, “Wahai syeikh! Bolehkah Nabi Khaidir (a.s) menyerupai sifat seorang lelaki atau ia bersifat dengan sifat-sifat tertentu?” Belum sempat syeikh menjawab, datang seorang lelaki. Nampak padanya seorang yang mempunyai hajat maka syeikh mendahulukannya. Setelah lelaki tadi beredar, syeikh berpaling kepada orang yang bertanya soalan tadi lalu bertanya, “Apakah yang kamu tanya tadi?” Lalu lelaki tadi mengulangi soalan dan jawab syeikh, “Lelaki yang bertanya aku selepas kau tadi itu ialah Nabi Khaidir (a.s).” Terkejut dengan jawapan syeikh, lelaki tadi mencari-cari kiri dan kanan akan tapi tidak menemuinya!

Syeikh Nabil pernah menceritakan salah seorang anak murid Syeikh Soleh berhadas besar tapi terlupa untuk mandi wajib. Kisah ini berlaku selepas kewafatan Syeikh Soleh. Malamnya lelaki tadi bermimpi bertemu Syeikh Soleh memegang satu timba air. Lalu Syeikh Soleh menjiruskan air tadi kepada lelaki tadi. Bila tersedar dari mimpi tahulah bahawa dia belum mengangkat hadas besarnya.

Dr.Atiyah, imam Masjid Syeikh Soleh Jaafari di Darrasah pernah menceritakan bahawa Syeikh Soleh Jaafari bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w. Di sebelah kanan Baginda s.a.w ialah Saidina Abu Bakar, Umar dan beberapa sahabat yang lain (r.anhum). Di sebelah kiri Baginda s.a.w pula terdapat seorang yang beliau tidak kenali. Syeikh Soleh bersalam dan mencium tangan Rasulullah s.a.w dan kesemua sahabat di sebelah kanan Baginda tapi tidak bersalam dengan lelaki di sebelah kiri itu kerana tidak dikenalinya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Wahai Soleh! Kamu tidak mengenali lelaki ini?” Jawab Syeikh Soleh “Tidak,” “Inilah dia Busairi (Imam Busairi),” Ini bagi menunjukkan kelebihan mereka yang suka memuji Rasulullah s.a.w sesungguhnya fadhilatnya amatlah besar di sisi Allah dan Rasulullah s.a.w.

Syeikh Soleh dikurniakan menunaikan fardhu haji serta menziarahi datuknya, Rasulullah s.a.w di Madinah sebanyak 27 kali sewaktu hayatnya.

Keramatnya Dengan Saidina Husain ibn Saidina ‘Ali

Hubungan rohani beliau dengan datuknya Saidina Husain amatlah kuat. Beliau pernah menyebut, “Jika tidak kerana adanya Saidina Husain, aku tidak akan menetap di Mesir walau sedetik waktu.”

Seorang anak murid Syeikh Soleh bernama Haji ‘Aid telah berkahwin beberapa tahun tapi belum dikurniakan zuriat, beliau bertemu Syeikh Soleh menyatakan hasratnya untuk menimang cahaya mata. Syeikh Soleh berkata, “Sekarang kau pergi kepada Saidina Husain, cakap kepadanya seperti apa yang kamu beritahu aku tadi.” Lalu beliau pergi di sisi makam Saidina Husain dan menyebut seperti yang diberitahu kepada Syeikh Soleh tadi. Alhamdulillah, tidak berapa lama Allah kurniakan kepada zuriat.

Satu kisah, setelah sempurna Syeikh Soleh mengarang sebuah burdah, akan tetapi burdah tersebut hanya memuji Saidina Husain sahaja. Maka datang Saidina Husain dalam mimpinya dalam keadaan yang marah lalu berkata, “Kamu memuji aku dan meninggalkan abangku, Hasan?” Lalu Syeikh Soleh menyambung lagi burdahnya memuji kedua-dua cucu Rasulullah s.a.w. dan menamakan burdah itu “Burdah Al-Hasaniyah Wal Husainiyyah” (burdah yang dinisbah kepada Hasan dan Husain.)

Terdapat risalah yang diedar di Aswan bertajuk “Keramat Syeikh Soleh Jaafari Dengan Saidina Husain bin Saidina ‘Ali”. Risalah ini memuatkan terdapat 65 kisah keramat Syeikh Soleh dengan datuknya itu iaitu Saidina Husain.

Syeikh Soleh menceritakan lagi, satu hari beliau bersarapan bersama anak-anak muridnya yang membawa ikan perkasam dan bawang. Selepas bersarapan, Syeikh Soleh pergi menziarahi Saidina Husain dan duduk di barisan pertama di hadapan makam. Tidak lama kemudian beliau terlelap. Dalam mimpi itu, datang Rasulullah s.a.w kepadanya dan berkata, “Kamu makan seperti ini (iaitu bawang dan ikan perkasam) dan kamu datang kepada Husain?” Sejak itu, beliau tidak lagi makan bawang dan ikan perkasam. Jika makan pun, beliau tidak akan terus menziarahi Saidina Husain. Kata Syeikh Soleh, “Itulah tarbiyah Nabi Muhammad s.a.w kepadaku.”

Syeikh Soleh pernah berkata, “Sesiapa (iaitu yang berada di Mesir) yang merindui Rasulullah s.a.w maka ziarahlah Saidina Husain, sesiapa yang rohnya merindui Sayyidah Fatimah Az-Zahra’ binti Rasulullah, maka ziarahlah Sayyidah Zainab.”


Kewafatan

Setelah sekian lama berkhidmat dan mencurahkan ilmu di jalan Allah, Syeikh Soleh telah dijemput mengadap Allah pada petang Isnin, 18 Jamadil Awal tahun 1399 hijrah (sekitar tahun 1979 masihi) ketika berusia 71 tahun. Jasad beliau telah dikebumikan di masjid yang dibina sebelum kewafatannya di Hayyul Khailidin, Darrasah, Kaherah. Jenazah beliau dise mbahyangkan di Masjid Al-Azhar.

Antara anak murid beliau ialah Al-Marhum Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki Al-Hasani, seorang 'alim dari Mekah yang berketurunan Rasulullah dari cucu Baginda Saidina Hasan bin Imam Ali. Semoga Allah meredhai Syeikh Soleh Jaafari dengan keredhaan dan kerahmatan-Nya serta membalas segala kerja baik beliau dengan sebaik-baik balasan.

Tariqat Jaafariyah Pasca- Syeikh Soleh

Menurut cerita dari Haji Abu Bakar, seorang anak murid beliau, pada permulaan pengajian di Masjid Al-Azhar, Syeikh Soleh tidak akan mengijazahkan tariqatnya kepada seseorang yang masih belajar, jika sudah tamat pengajian, tidak akan diberikan tariqat kecuali setelah berkahwin. Namun syarat ini tidak lagi digunapakai di akhir hayatnya hingga kini. Tariqat ini terus berkembang di bawah pentadbiran putera serta pewaris Syeikh Soleh, Syeikh Abdul Ghani. Beliau menggunakan gelaran “Syeikh Umum Tariqat”. Seorang anak murid Syeikh Soleh memberitahu, Syeikh Abdul Ghani dipilih atas arahan dari Rasulullah s.a.w kepada Syeikh Soleh. Lalu, di akhir hayat Syeikh Soleh, Syeikh Abdul Ghani telah diangkat sebagai bakal pengganti Syeikh Soleh yang berlangsung di tanah suci Mekah. (Berdasarkan qasidah karangan Syeikh Abdul Ghani).

Syeikh Abdul Ghani banyak menghabiskan masa bersama datuk dan keluarganya di Sudan. Ini kerana Syeikh Soleh meninggalkan Syeikh Abdul Ghani bersama keluarganya ketika beliau berhijrah ke Mesir untuk bertugas sebagai tenaga pengajar di Al-Azhar. Ketika berusia 10 tahun, Syeikh Abdul Ghani mengambil tariqat dari ayahnya, Syeikh Soleh. Seawal usia 14 tahun, Syeikh Abdul Ghani telah mengarang qasidah Hijrah yang masyhur yang dibaca hingga hari ini setiap kali menjelang sambutan Awal Hijrah.

Selepas wafat Syeikh Soleh tahun 1979, langkah pertama yang diambil Syeikh Abdul Ghani ialah mendaftarkan Tariqat Jaafariyah di bawah Majlis ‘Ala Sufi Mesir (Majlis Tertinggi Tariqat Kesufian Mesir). Di zaman Syeikh Abdul Ghani lah, berkembangnya tariqat ini terutama di Mesir. Boleh dikatakan setiap muhafazah terdapat markaz Tariqat Jaafariyah. Di muhafazah Aswan sahaja terdapat hampir 20 buah markaz selain di muhafazah lain seperti Iskandariah, Helwan, Bani Suwef, Asyut, Isna, Mahalah Kubro, Qalyubiyyah, Manufiyah, Luxor dan Qina. Di Kaherah, antara markaz tariqat Jaafariyah ialah di Al-Amiriyyah, Darul Salam, Jabal Asfar. Masjid di Darrasah, Kaherah sekarang ini pula beroperasi sebagai Markaz Induk bagi Tariqat Jaafariyah.

Kini, Syeikh Abdul Ghani dalam keadaan uzur dalam usianya mencecah lebih 70 tahun. Sebelum ini, beliau sering kelihatan solat jemaah di masjidnya di Darrasah. Sesiapa yang ingin bertemunya boleh bertemunya setiap kali solat lima waktu tanpa perlu membuat temujanji terlebih dahulu. Namun, sejak tahun lalu, doktor menasihati beliau tidak boleh banyak bergerak akibat sakit yang dialami. Beliau hanya keluar ketika majlis hadrah (hari Ahad dan Khamis selepas maghrib) dan solat Jumaat sahaja.

Tiga orang anak lelakinya banyak mengambil alih urusannya, iaitu anak sulungnya bernama Sayyidi Muhammad Soleh, kedua bernama Sayyidi Husain dan ketiga bernama Sayyidi Hasan. Sayyidi Muhammad dipilih sebagai Timbalan Ketua Umum tariqat (Naib ‘umum al-Tariqah) manakala Sayyidi Husain sebagai ketua pemuda (Raid syabab)

Kelebihan tariqat ini juga berjaya melebarkan sayap kekuatan ekonominya. Penubuhan Maktabah Jawami’ul Kalim di Jalan Jaafari, Darrasah diilhamkan oleh Syeikh Abdul Ghani awal tahun 1980. Begitu juga kedai roti di sebelah masjid sekarang ini yang dimiliki oleh Sayyidi Husain.

Sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari

Hingga kini, Tariqat Jaafariyah telah berkembang dan mempunyai markaz di Libya, Sudan, Kuwait dan Malaysia. Bahkan terbaru ramai di kalangan warga Nigeria, Jordan dan Thailand mengambil tariqat dari Syeikh Abdul Ghani.

Sambutan maulid Syeikh Soleh terbahagi dua peringkat iaitu pertama:

Peringkat markaz masing-masing.

Peringkat Umum (dunia).

Setiap tahun akan diadakan majlis maulid di markaz masing-masing. Ia menjadi aktiviti tahunan dalam kalendar markaz masing-masing. Ini termasuk di muhafazah Aswan, yang akan diadakan pada musim cuti fasa 1. Sambutan maulid bagi peringkat markaz Aswan diadakan selama lima hari. Ia biasanya bermula Hari Ahad dan berakhir pada Hari Khamis. Pada malam penutup (Khamis), ia akan berlangsung di markaz besar Tariqat Jaafariyah bagi Aswan iaitu Hayyul ‘Aqad, Bandar Aswan.

Satu lagi sambutan maulid Syeikh Soleh peringkat seluruh dunia. Ia hanya diadakan sekali setahun iaitu minggu pertama dalam bulan Rejab setiap tahun bertempat di markaz induk tariqat di Darrasah. Sambutan juga selama 5 hari bermula hari Ahad dan berakhir Khamis bulan Rejab.

Salah seorang anak murid Syeikh Soleh yang tersohor ialah Syeikh Habib Muhammad bin Alawi al-Maliki dari Mekah.

AL FATIHAH 

Buat Syeikh Soleh Jafari Al Azhari.









No comments:

Post a Comment