Friday, May 8, 2020

Imam Al Syazili

AL-MADRASAH AL-SYĀZILIYYAH DAN TIGA AL-JĀMI’AH TERTUA DI DUNIA ISLAM


Antara keistimewaan al-Madrasah al-Syāziliyyah, atau al-Tarīqah al-Syāziliyyah, ianya menghubungkan ketiga-tiga universiti Islam tertua di dunia Islam, bahkan di dunia secara umumnya, iaitu Jāmi’ah al-Qurawiyyīn di Fes, Maghribi, Jāmi’ah al-Zaitūnah di Tunisia, dan Jāmi’ah Al-Azhar di Mesir. Ramai ulama’ berpengaruh pada tiga Jāmi’ah ini merupakan para pengamal dan murobbi Tarīqah ini. Bahkan, dikatakan juga, ianya merupakan Madrasah Sufi para ulama', tanpa menafikan keistimewaan madrasah dan tarekat sufi yang lain.

Dari sudut perjalanan dakwah dan tarbiah al-Imām Abu al-Ḥasan al-Syāzili sendiri, ianya melibatkan tiga negara utama ini, iaitu Maghribi, Tunisia, dan Mesir. Beliau lahir di Tunisia, kemudian memulakan perjalanan tarbiah di Maghribi. Di sana, beliau bertemu dengan al-Imām Ibn Masyīsy di Maghribi, kemudian dengan isyarat al-Imām Ibn Masyīsy, beliau mengembara ke  Tunisia dan menyebarkan dakwah di sana.

Beliau turut menyebarkan aurād beliau di Jāmi’ah al-Zaitūnah dan mempunyai perhubungan dengan ulama’nya iaitu al-Imām Abu Sa’īd al-Bāji (m: 628 H), dan mengambil ilmu daripadanya. Al-Imām Al-Bāji pula ialah murid kepada Syeikh al-Syuyūkh Abu Madyan al-Ghauth(509-595 H), seorang ulama’ murobbi yang agung.

Begitu juga, al-Imām al-Syāzili mengambil daripada al-Syeikh Abu ‘Abdillah Muhammad bin ‘Ali Ibn Harāzim (Hirzihim) yang merupakan murid kepada al-Imām Abu Madyan. Al-Imām Abu Madyan  pula berguru dengan al-Imām ‘Ali bin Hirzihim al-‘Uthmāni (m: 559 H), ayah kepada Abu ‘Abdillah Muhammad Ibn Harāzim (Hirzihim) tadi, di Jāmi’ah al-Qurawiyyīn di Fes, Maghribi. Al-Imām Abu al-Ḥāsan ‘Ali bin Hirzihim ini pula ialah murid kepada al-Imām Ibn al-‘Arabi al-Ma’āfiri al-Māliki (m: 543 H), murid kepada al-Imām al-Ghazāli (450-505 H).

Setelah itu, beliau pergi Mesir dan mengembangkan dakwah di sana. Beberapa ulama’ al-Azhar sempat bertemu dengan beliau dan mengambil manfaat daripada beliau, antaranya al-Imām Izz al-Dīn bin ‘Abd al-Salām, al-Imām Ibn Daqīq al-‘Īd, dan sebagainya. Bahkan, ulama’ al-Azhar terkenal iaitu al-Imām Ibn ‘Ato’illah al-Sakandari yang merupakan ulama’ Al-Azhar, mengambil Tarīqah Syāziliyyah daripada al-Imām Abu al-‘Abbās al-Mursi, pengganti al-Imām al-Syāzili. Lalu, Madrasah al-Syāziliyyah dan Tarīqah Sufiyyah beliau dikembangkan oleh al-Imām al-Sakandari.

Begitu juga, kesepaduan antara tiga negara ini terhimpun dalam diri al-Imām Ahmad Zarrūq al-Fāsi al-Maliki (846-899 H). Beliau berguru dengan para ulama’ Maghrib seperti al-Syeikh ‘Abdullah Al-Fakhār, al-Imām al-Sibṭi dan sebagainya. Begitu juga, beliau mengambil tarbiah daripada al-‘Ārif billah al-Syeikh Muhammad al-Zaitūni, al-Syeikh ‘Abdullah al-Makki dan al-Imām al-Ḥafiz ‘Abdullah al-Qauri (m: 827 H) yang merupakan murid kepada al-Syeikh ‘Imrān al-Jānāti (m: 8390 H). Di Mesir, beliau berguru dengan al-Ḥāfiz al-Sakhāwi (831-902 H) dan mengambil Tarīqah daripada al-Syeikh Abu al-‘Abbās al-Ḥadrami al-Syāzili (m: 857 H).

Beliau juga ada mengajar di al-Jāmi’ al-Azhar dan pengajian beliau dihadiri oleh lebih enam ribu murid. Setelah itu, beliau kembali ke Tarablus, Maghrib, dan membuka kelas pengajian di sana. Antara murid al-Imām Ahmad Zarruq adalah al-Imām Ahmad al-Manjūr (m: 955 H), al-Imām ‘Ali al-Kharūbi al-Tarābulsi (m: 963 H) dan sebagainya.

Oleh itu, kita dapati, ramai para ulama’ yang berkaitan dengan tiga Jāmi’ah, bahkan berkaitan dengan tiga negara ini mengembangkan al-Ṭarīqah al-Syāziliyyah ini, dalam bidang pentarbiahan. Bahkan, ianya terus berkembang ke serata dunia. Walillahil Hamd wal Minnah.

No comments:

Post a Comment