Haul Tok Ku Paloh 2015
Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Ayahnda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu.
Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Sayyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).
Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.
Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
Tokku Paloh adalah generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW dan beliau datang dari kabilah Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah SAW. lbu Tokku Paloh, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayyid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar.
Dengan itu nyatalah Tokku Paloh itu bukan saja berketurunan Rasulullah SAW yang mulia malah mendapat didikan dan asuhan dalam keluarga yang kuat beragama. Semua adik-beradiknya juga mempunyai keahlian dalam hal-ehwal agama dan di antara yang terkenal ialah Sayyid Zain (dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 1864 oleh Sultan Omar), Sayyid Ahmad (bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh) dan Sayyid Mustaffa (seorang ulama yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negeri; merupakan salah seorang dan empat pembesar yang pernah diwakilkan memegang pemerintahan negeri sewaktu Sultan Zainal Abidin III melawat Siam pada Ogos 1896.
Pendidikan[sunting | sunting sumber]
Tok Ku Paloh telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri yang merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Beliau juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung. Tok Ku Paloh kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Antara yang menjadi gurunya disana ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
Semasa melanjutkan pelajarannya di Mekah, Tok Ku Paloh telah bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi.
Perjuangan Dakwah[sunting | sunting sumber]
Setelah Tok Ku Paloh pulang dari Mekah, beliau memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani. Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III.
Kontroversi Syahadat Tokku[sunting | sunting sumber]
Amalan Syahadat Tokku ini pernah menjadi kontroversi apabila salah seorang pembawa amalan ini dihadap ke mahkamah kerana dituduh sesat. Peristiwa ini berlaku kepada Tuan Haji Hussein Haji Mat yang mengembangkan amalan ini di Kampung Gong Ubi Keling, Besut di mana dalam masa yang singkat saja sudah meriah dengan ramai pengikut.
Tuan Haji Hussein tidak menolak kemungkinan tindakan yang dikenakan ke atas dirinya itu didorong oleh iri hati dan hasad dengki orang-orang tertentu kerana surau yang baru beliau bangunkan lebih meriah berbanding dengan surau-surau lain. Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau (Haji Hussein) atas alasan yang batil dan fitnah.
Mengenang peristiwa pahit yang berlaku pada sekitar tahun 1950 itu, Haji Hussein bercerita: "Hampir seribu orang yang berada di Mahkamah Kadhi Besut untuk mendengar keputusan perbicaraan saya yang dituduh sesat kerana mengamalkan Syahadat Tokku ini."
Orang ramai nampak cemas kerana peristiwa ini besar dan kali pertama berlaku di Besut. Menurut Haji Hussein, sewaktu perbicaraan, beliau disuruh membaca segala amalan yang diamalkannya selama ini.
"Saya pun membaca habis satu persatu bermula dengan ratib Al-Hadad, Burdah dan akhirnya Syahadat Tokku. Selesai saya membaca sernuanya, Hakim Cik Awing yang juga Kadhi Besut itu berkata: "Apa yang Tuan Haji baca itu ada pada saya".
"Rupa-rupanya Tuan Hakim Cik Awing juga mengamalkan Ratib Al-Hadad dan Syahadat Tokku. Kemudian saya dibebaskan tanpa sebarang tindakan yang dikenakan malah nampaknya tuan hakim itu pula yang seolah-olahnya menggalakkan amalan ini diteruskan. Mendengarkan keputusan yang benar itu maka oriang ramai di luar mahkamah turut bersyukur dan ada yang menitiskan air mata gembira", cerita Haji Hussein lagi. Sehingga kini Haji Hussein terus mengamalkan Syahadat Tokku ini bersama-sama sahabat-sahabatnya, amalan yang pada setengah orang jahil dikatakan 'syahadat tambahan'.
Syahadat Tokku yang disusun oleh wali Allah itu terus popular di kalangan orang yang arif di banyak tempat dalam negeri Terengganu. Amalan yang menjelaskan unsur-unsur tauhid dan pembersihan hati yang amat diperlukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, Allah SWT.
Kegiatan Anti-Penjajah[sunting | sunting sumber]
Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Ada riwayat mengatakan Haji Abdur Rahman Limbong dan Tok Janggut yang terlibat mengetuai kegiatan anti-penjajah juga adalah murid Tok Ku Paloh.
Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar. Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan. “ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. “Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.”
No comments:
Post a Comment