Sunday, September 28, 2014

Kelebihan Bulan Zulhijjah

Zulhijjah datang lagi buat sekian kalinya menemui kita bersama-sama kelebihannya sebagaimana yang pernah disebut oleh Pemimpin Daulah Islam yang pertama di Madinah yaitu Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis. Zulhijjah merupakan bulan yang menghimpunkan beberapa ibadat yang tidak ada pada bulan lain iaitu ibadat haji, ibadat korban disamping solat, sedekah serta amalan berzikir sebagai mendekatkan diri kepada Allah ‘azzawajalla. Zulhijjah juga mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa yang besar terutama bagi para jemaah haji iaitu mengenai pengorbanan nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail serta Siti Hajar dalam masalah korban, sai’e dari Sofa ke Marwah, tawaf dan lain-lain lagi. Kita juga diingatkan dengan peristiwa haji wada’ (selamat tinggal) dan khutbah  yang keluar daripada mulut yang mulia iaitu daripada Rasulullah S.A.W sendiri yang mana dalam khutbah ini terkandung dalamnya nasihat, wasiat dan amanah yang penting daripada baginda kepada para muslimin samada yang ada pada masa itu atau pun generasi seterusnya sehinggalah hari qiamat.
Di bawah ini dinukilkan beberapa hadis sebagai renungan dan juga perangsang kepada kita dalam menambahkan lagi amalan dibulan yang penuh kelebihan ini dan bukannya melepaskan segala peluang yang ada dengan amalan yang sia-sia.
Daripada Ibnu Abbas telah berkata :Sabda Rasulullah S.A.W yang artinya :Tiada daripada hari-hari untuk beramal soleh padanya yang mana lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari ini iaitu hari sepuluh (sepuluh hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya : Wahai Rassulullah! dan tidak (amal) jihad pada jalan Allah?. Jawab baginda : Dan tidak jihad pada jalan Allah. Sabda baginda lagi : melainkan seorang lelaki yang keluar dengan dirinya sendiri dan hartanya maka dia tidak pulang daripadanya dengan sesuatu.
– Hadis isnadnya sohih dikeluarkan daripada imam Bukhari, Tarmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Habban dan al-Baihaqi dengan sanad atau jalan berbeza –
Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Sabda Rasulullah S.A.W yang artinya : Tiada daripada hari-hari yang begitu lebih di sisi Allah dan tiada amalan padanya lebih disukai kepada Allah daripada hari-hari sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya daripada tahlil, takbir maka sesungguhnya ia merupakan hari-hari tahlil, bertakbir dan berzikir kepada Allah. Dan puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan beramal padanya digandakan 700 kali ganda.
– Hadis isnadnya hasan dikeluarkan oleh imam al-Baihaqi dan disebut oleh imam Sayuti -
Hadis-hadis ini menjelaskan kepada kita mengenai kelebihan beramal pada hari sepuluh daripada Zulhijjah seperti berpuasa sunat, zikir, tahlil dan bertakbir. Kelebihannya ini tidak dapat dirasai jika kita hanya membaca dan mengetahuinya tanpa ada di sana amalan sebagai menyahut kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah ini.
Rujukan
1. Kitab Fadhailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah

No comments:

Post a Comment