Tuesday, July 1, 2014

Ramadan ibarat bonus tingkat ketakwaan


Persediaan bukan sekadar makanan, minuman, tetapi juga membabitkan perisian rohani
Sebaik-baik amalan bagi menambahkan tahap kemuliaan kita di sisi Allah SWT adalah melakukan ibadah dengan penuh tawaduk dan rendah diri. Maka sesiapa yang bertawaduk kerana Allah SWT, maka ia akan diangkat oleh Allah ke tahap yang lebih tinggi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang menginginkan kemuliaan dan ketinggian, maka bagi Allah sahajalah segala kemuliaan dan ketinggian.” (Surah Fatir, ayat 10)
Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya” Surah Ali-Imran (ayat 39)
Ketika bertambahnya amalan seseorang, maka bertambahlah kemuliaannya serta darjatnya di sisi Allah SWT. Justeru, apabila hampirnya Ramadan, kita akan merasai bahang dan motivasi beribadah kerana Ramadan itu sendiri adalah bulan ibadah.
Ramadan bonus tingkat ketakwaan
Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan ibadah, maka Ramadan adalah bonus dan dana untuk meningkatkan ketakwaan. Mereka akan sentiasa mendapat anugerah serta pujian daripada Allah SWT.
Allah SWT telah memuji kekasihnya Ibrahim dengan firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ibrahim sangat lembut hatinya dan suka beribadah.” (Surah Hud, ayat 75)
Amalan puasa Nabi Daud boleh dijadikan contoh kerana baginda banyak beribadah di samping berpuasa sehari dan berbuka sehari secara berselang seli. Baginda SAW amat menyukai amalan Nabi Daud serta menyarankan umatnya melakukan ibadah puasa.
Di samping beribadah dengan penuh khusyuk dan berharap, Allah SWT tidak akan mensia-siakan hamba-Nya kerana ibadah adalah penyambung talian hayat antara makhluk dan pencipta. Allah SWT kurniakan kepada Nabi Zakaria khabar gembira ketika sedang beribadah dengan anugerah anak soleh.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya.” (Surah Ali-Imran, ayat 39)
Demikian juga Nabi Isa yang sentiasa menjadikan ibadah sebagai rutin harian dan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahlah ia (beribadah).” (Surah Maryam, ayat 36)
Rasulullah pilih jadi Nabi, ahli ibadah
Baginda Muhammad SAW telah diberi pilihan oleh Allah SWT sama ada menjadi seorang Nabi dan berkuasa sebagai raja atau menjadi seorang Nabi yang banyak peluang beribadah. Maka Baginda SAW memilih seorang Nabi yang juga ahli ibadah.
Sabda Baginda SAW: “Aku lebih suka menjadi seorang Nabi yang abid (ahli ibadah) di mana aku berpuasa sehari lalu memuji Allah SWT dan berbuka sehari lalu bersyukur kepada-Nya.”
Allah SWT menyifatkan sahabat serta mereka yang beriman sebagai mereka yang banyak ibadahnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu akan melihat mereka rukuk dan sujud kepada Allah SWT serta menuntut kelebihan dan keredaan-Nya. Terdapat tanda-tanda keimanan pada wajah mereka kerana terlalu banyak sujud kepada Allah SWT.” (Surah Al-Fath, ayat 29)
Alangkah indahnya jika sekalian ibadah yang dilakukan dapat disuburkan pada Ramadan mulia ini kerana Ramadan mendapat status bulan yang terbaik dalam setahun. Siang dan malamnya dipenuhi keberkatan amat luar biasa daripada malam lain.
Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya telah datang bulan Ramadan yang diwajibkan kamu berpuasa, pintu syurga dan langit terbuka luas untuk ahli ibadah, sesiapa yang leka akan terus leka, syaitan dibelenggu dan Allah SWT memperuntukkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.” (Riwayat Muslim)
Ibnu Arabi berpendapat pintu syurga dibuka kerana menerima banyak harapan daripada hamba kepada penciptanya, amalan semakin bertambah, ikatan iman semakin kukuh dan tahap kesabaran menjadi benteng yang kuat.
Ditutup pintu neraka adalah simbolik kepada penghinaan terhadap syaitan serta berkurangnya statistik kemungkaran dan kemaksiatan. Ibnu Rejab berkata, segala amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh ganjaran sehingga tujuh ratus gandaan melainkan puasa yang menerima ganjaran daripada Allah SWT tanpa had tertentu.
Mereka yang beriman akan merasa gembira dengan kedatangan Ramadan dan mereka yang gelisah ketika menjelang Ramadan hendaklah memperbanyakkan istighfar serta memohon ampun kepada Allah SWT.
Bukan bertumpu persediaan makanan, minuman
Sebenarnya persediaan menyambut Ramadan bukanlah tertumpu kepada makanan dan minuman, malah ia adalah persediaan iman, kesabaran dan ketaatan. Hanya mereka yang benar-benar menghayati konsep puasa dapat menuai hasil lumayan pada Ramadan.
Ketika Nabi Musa bermunajat, baginda berkata: “Wahai Tuhanku, adakah di sana manusia yang lebih mulia dariku? Allah SWT menjawab: Wahai Musa, ada di kalangan hamba-Ku yang datang pada akhir zaman di mana mereka memuliakan bulan Ramadan dan aku amat hampir dengan mereka ketika itu. Wahai Musa, ketika kita berbicara, sebenarnya kita dipisahkan oleh 70,000 hijab atau pendinding, akan tetapi apabila mereka berpuasa, aku akan menyingkap semua hijab untuk mereka.”
Oleh itu, kita hendaklah berdoa supaya Allah SWT memberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan ini kerana kita tidak mengetahui bilakah akan berakhirnya hayat kita. Kita amat mengharapkan anugerah kesihatan yang baik supaya dapat melaksanakan ibadah secara maksimum di bulan mulia

No comments:

Post a Comment