Friday, May 3, 2013

PAS akan pastikan Islam, Melayu terbela dalam Pakatan

Harakahdaily,04 Mei 2013

KUALA LUMPUR: PAS memberi jaminan akan mempastikan Islam dan Melayu terbela sepenuhnya dalam Pakatan Rakyat jika ia mendapat mandat mentadbir negara selepas pilihan raya umum ke 13 ini.

Jaminan ini diberikan oleh dua pemimpin tertinggi PAS iaitu Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan berasingan mereka.

"Saya dengan ini, memberi jaminan seutuhnya sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, maka PAS akan terus menjunjung kemuliaan Islam dan memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kepada sistem Raja Berperlembagaan," kata Tuan Guru Nik Aziz dalam kenyataannya.

"PAS akan memastikan kepentingan Melayu dan Islam terjaga dengan baik dalam Pakatan Rakyat tanpa sedikitpun mengganggu atau bertindak tidak adil kepada mana-mana pihak," kata Tuan Guru Abdul Hadi pula dalam kenyataannya.

"Maka kewujudan agensi dan entiti seperti UITM, MARA, Tabung Haji dan lain-lainnya akan terus diperkukuhkan sesuai dengan tuntutan masa untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit di dunia luar," tegas beliau lagi.


Berikut adalah kenyataan penuh mereka berdua:


KENYATAAN MEDIA MURSYIDUL AM PAS

Bismilllahir-Rahmanir-rahim.

Assalamu’alaikum waramatullahi wa barakatuh.

Saudara saudari pengundi sekelian,

Dalam masa kurang dari 48 jam dari sekarang, kita akan melalui satu proses demokrasi bagi menentukan parti manakah yang akan memegang tampuk pemerintahan negara untuk tempoh 5 tahun akan datang.

Pada penghujung tempoh berkempen ini, saya yakin saudara saudaritelah menerima pelbagai bentuk maklumat mengenai tawaran-tawaran dari Barisan Nasional mahu pun dari Pakatan Rakyat, sama ada melalui media arus perdana atau media baru seperti Facebook, Blog, Twitter dan sebagainya.

Berdasarkan perkembangan kempen selama dua minggu ini, maka saya dengan rendah hati merayu agar saudara saudari sekalian dapat mengundi calon-calon Pakatan Rakyat. Jika di Dun/Parlimen itucalon PAS, maka undilah PAS. Begitulah di mana Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding, undilah PKR dan di mana ada calon DAP, maka undilah DAP.

Atas semangat pemuafakatan tahaluf siasi, PAS, PKR dan DAP sedia menjadi pilihan terbaik dari apa yang Barisan Nasional lakukan selama 55 tahun memerintah Malaysia.

Justeru PAS sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan politik Islam, sudah tentu PAS tidak akan berganjak seinci pun dalam memelihara kesucian agama Islam. Atas penegasan ini, maka PAS sedia menawarkan peranan yang lebih besar bagi menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. PAS sedia memastikan kedudukan Islam dimartabatkan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negara. Ini telah dibuktikan sepanjang sejarah perjuangan PAS sejak dari dahulu lagi––PAS tanpa rasa kekok atau apologetik––PAS sentiasa meletakkan kesucian Islam pada kedudukan yang paling tinggi di dalam perjuangan kami.

Saya dengan ini, memberi jaminan seutuhnya sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, maka PAS akan terus menjunjung kemuliaan Islam dan memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kepada sistem Raja Berperlembagaan. Hal ini penting, tatkala Sistem Beraja dicabar oleh beberapa pindaan Perlembagaan sejak 80-an lagi, PASlah satu-satunya parti yang konsisten di dalam mempertahankan sistem

Raja Berperlembagaan ini di hadapan rakyat. Natijahnya, PAS sedia memastikan institusi Raja terus disanjung, seiringan dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai institusi bersejarah di tanah air tercinta ini.

Oleh itu PAS akan terus memelihara keluhuran Perlembagaan sebagai undang-undang dasar yang paling tinggi di dalam sistem pemerintahan Negara, dan tidak rela perlembagaan itu dimanipulasikan oleh mana-mana pihak demi agenda politik tertentu. Tekad PAS adalah untuk terus menjuarai usaha-usaha untuk melindungi dan mempertahankan hak-hak rakyat, khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera sebagaimana termaktub di dalam Perkara153 Perlembagaan Malaysia. PAS tidak akan segan silu untuk menjadi jurubicara rakyat dalam Perkara ini, dan dalam masa yang sama, memberikan hak-hak yang adil dan saksama kepada seluruh kaum-kaum lain sebagaimana peruntukan yang ada.

Akhir sekali, saya memberi jaminan bahawa PAS akan terus berjuang untuk membebaskan penjawat awam dari cengkaman politik dan mempastikan tiada seorang pun kakitangan awam menjadi mangsa politik walaupun mereka mempunyai kefahaman politik yang berbeza.

Kita memberi jaminan bahawa tidak ada seorang pun penjawat awam, termasuklah 15,000 kakitangan KEMAS dan 10,000 kakitangan JKKK di seluruh negara yang akan dibuang kerja jika Pakatan Rakyat memerintah negara selepas PRU-13 nanti.

Undilah PAS. Undilah calon-calon Pakatan Rakyat. Ini kalilah! Ubah!
Kekal Kelantan Ubah Putrajaya.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan

-----------------------------------

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Sabtu 4 Mei 2013/23 Jamadil Akhir 1434

“JAMINAN PAS TERHADAP KEPENTINGAN MELAYU-ISLAM DI MALAYSIA”

1.         Penubuhan suatu gagasan besar yang bernama Pakatan Rakyat (PR) oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah untuk membawa Malaysia ke satu era baru, iaitu menolak politik berasaskan perkauman yang sekian lama di monopoli oleh parti-parti yang membentuk Barisan Nasional dan untuk menolak kerosakan yang telah membarah dalam negara kita ini.

2.         Pakatan Rakyat telah bergerak dengan begitu teguh, di mana kebersamaannya adalah di asaskan oleh perkara yang dipersetujui bersama di antara PAS, DAP dan PKR yang telah diperincikan menerusi deklarasi-deklarasi Konvensyen PR, Buku Jingga dan Manifesto yang tidak menindas hak mana-mana bangsa, agama ataupun jantina. Hasilnya, PR telah menjadi suatu muafakat politik yang mampu untuk menggantikan Barisan Nasional yang sudah semakin bermasalah untuk menguruskan negara kita ini.

3.         Sehubungan dengan mandat besar yang kita perlukan dari rakyat dalam PRU-13 ini, PAS sekali lagi ingin memberikan jaminan bahawa institusi awam yang berkait rapat dengan kedudukan orang Melayu beragama Islam dalam negara ini sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjejas sedikit pun.

4.         PAS akan memastikan kepentingan Melayu dan Islam terjaga dengan baik dalam Pakatan Rakyat tanpa sedikitpun mengganggu atau bertindak tidak adil kepada mana-mana pihak. Maka kewujudan agensi dan entiti seperti UITM, MARA, Tabung Haji dan lain-lainnya akan terus diperkukuhkan sesuai dengan tuntutan masa untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit di dunia luar.

5.         Berasaskan jaminan PAS ini, maka rakyat Malaysia yang menjadi pengundi dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013 ini tidak perlu merasa ragu lagi untuk memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat, menerusi lambang PAS, DAP dan PKR. PAS akan membalas amanah rakyat untuk bersama Pakatan Rakyat memuliakan Islam, meluhurkan Perlembagaan serta berkebajikan untuk rakyat.


Selamat Mengundi.

MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN
PAKATAN HARAPAN RAKYAT

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

No comments:

Post a Comment