Tuesday, April 16, 2013

20 pondok di Kelantan pertahan kepimpinan ulama


KUBANG KERIAN: Pusat-pusat pengajian pondok akhirnya muncul dengan deklarasi mempertahankan kepimpinan ulama di Kelantan dan mendokong perjuangan mara ke Putrajaya.


Sebanyak 16 wakil pusat pengajian pondok tampil ke hadapan bagi menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka mewakili Pondok Pasir Tumbuh, Pondok Padang Kala, Pondok Beta Hilir, Pondok Tunjung, Pondok Lubuk Stol, Pondok Sri Permai Seligi, Madrasah Rahmaniah Neting, Pondok Padang Pak Amat.

Selain itu Pondok Gelang Mas, Pondok Banggol Stol, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian, Pondok Sungai Bayu dan Pusat Pengajian Pondok Kandis.

Deklarasi tersebut dibuat memandangkan ada pihak yang mendakwa mewakili institusi pondok di Kelantan iaitu Gabungan Sekolah Pondok Kelantan (Minda Pondok) dan Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Umati) mengajak orang ramai menyokong Umno.

NGO yang ditaja Umno tersebut turut dikenali sebagai Ikatan Cendikiawan Islam Kelantan (Icik) dan Selamat Tinggal PAS (STP).

Fatwa mereka kononnya mengundi PAS adalah haram kerana bekerjasama dengan DAP menyebabkan institusi pondok yang sah berdaftar tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Ustaz Abdul Aziz Che Mat dari Pondok Padang Kala berkata, manusia hendaklah hidup berpandu kepada peraturan yang ditetapkan Allah Taala.

“Kami menyokong kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz dan berdoa mudah-mudahan Islam tersebar lebih meluas ke seluruh Malaysia pulau di nusantara,” katanya.

Ustaz Jalaluddin As Sayuti dari Pondok Beta Hilir memberitahu pusat-pusat pengajian pondok di Kelantan tetap istiqomah memperjuangkan Islam.

Menurutnya, guru-guru pondok dan pelajar sentiasa menyokong kepimpinan ulama.

Ustaz Azmi Daud dari Pondok Tunjung berkata, pondok menjadi benteng bagi mempertahankan Islam dan memastikan syariat Allah dapat ditegakkan di muka bumi.

“Adalah wajib syarie bagi orang Islam mengundi calon PAS pada pilihan raya umum ke-13. Begitu juga calon lain dari Pakatan Rakyat perlu disokong melalui Tahaluf Siyaasi bagi menumbangkan kerajaan yang zalim.

“Malang sungguh ada pihak yang mengaku Minda Pondok tidak faham erti Tahaluf Siyaasi. Mereka memahami agama menggunakan akal semata-mata,” kata Ustaz Zulkifli Zakaria dari Pondok Banggol Stol Rantau Panjang.

Mereka melafazkan sokongan padu yang tidak berbelah bagi itu pada Ijtimak Ulama dan Guru-Guru Pondok di Pondok Pasir Tumbuh malam tadi. (Gambar atas)

Ijtimak yang bermula selepas solat Asar dihadiri lebih 4,000 guru dan pelajar dari 20 pondok di seluruh Kelantan.

Perasmian penutup disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub. Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, Ketua Dewan Ulamak PAS PAS negeri, Datuk Mohamed Daud dan timbalannnya, Ustaz Hassan Mohamood.














4 comments:

  1. kalau itulah alasan yg di berikan oleh guru guru pondok yg menyokong pas ini, sahih lah alasan mereka tidak bersandarkan kepada Al-Quran, al-hadith, pendapat ulama' dan sirah rasulullah dan para sahabat. Adalah haram mengundi dap yg terang terang menolak dan memusuhi Islam. Haram juga mengundi pkr yg mendukung pluralisma dan menolak islam dalam perjuangannya. Dalam pembangkang, pas hanya pengikut dan duduk di ekor. Tujuan pas bersekutu dgn pkr dan dap adalah kerana kuasa politik, bukan kerana Islam. Islam tak tertegak denganm menumpang kekuatan kafirin. Pas juga menolak persaudaraan Islam. Satu satunya alasan bagi menghalalkan pas melawan UMNO ialah dengan mengatakan kerajaan kini zalim dan menolak Islam. Hakikatnya, pas lah yg zalim dan menolak Islam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Barisan Nasional adalah gabungan UMNO dan parti parti bukan islam yang jelas menolak hukum hudud, yakni MCA, MIC dan lain lain di Sabah/Sarawak. BN dengan jelas menolak perlaksanaan hukum mengikut syariat Islam. Kerajaan BN membenarkan penggunaan nama ALLAH di dalam bible.

      Sila anda buka mata dan lihat keadaan diseluruh negara teruatama dibandar bandar besar.
      (1) Masih berleluasa majikan majikan yang tidak menyediakan peruntukan masa dan tempat solat untuk pekerja Islam. Ini bukan perkara kechil.
      (2) Begitu banyak tempat tempat maksiat. Pub, restoran dll yang menjual arak dengan pekerja melayu Islam sebagai pengurus dan pelayan.
      (3) Banyak institusi tidak menghormati ugama Islam. Lihat saja pakaian seragam di banyak institusi. Tidak ada option untuk menutip aurat. Contohnya semua sistem penerbangan Malaysia. Pakaian yang ketat sehingga nampak susuk tubuh dengan kain dibelah dan rambut tidak boleh ditutup. Malaysia airline masih menyuruh pekerja Islam menghidangkan arak di dalam penerbangan international atau di golden lounge sedangkan ramai dari pramugari dan pramugara berugama Islam.


      Di atas hanyalah sedikit sahaja contoh daripada perkara sebenar yang berlaku 'tip of the iceberg". Di bawah pemerintahan BN lah perkara ini berlaku secara berleluasa. Selepas merdeka, BN gagal memertabatkan Islam dan kepentingan orang Melayu di Malaysia. Lihat sahaja di Pulau Pinang dan Johor. Berapa peratuskan harta dan perniagaan menjadi milik orang Islam? Pemilikan harta orang Islam Melayu sekarang sebenarnya lebih teruk daripada semasa merdeka.

      Delete
  2. Mula mula, saya rasa sangat nak sokong pas kerana nampaknya seolah parti islam ini akan menjayakan cita2 untuk memertabatkan undang2 hudud... Muslim mana yang tak teruja dan tak suka... Hatta orang umno pun suka jika hukum hudud nak ditegakkan, kita bersangka baik adalah lebih disukai Allah.
    Tapi masaalahnya TG Hj Hadi dlm beberapa kenyataan bahawa beliau tak berebut nak jadi PM, beliau lebih selesa untuk jadi khadam (Anwar?)... Jadi secara tak langsung, maka perjuangan pas nampak sia2, dimana letaknya harapan rakyat untuk hudud? Adakah Hj Hadi telah mengkhianati perjuangan? Kalau dah tak mahu jadi PM, bagaimana nak laksanakan hukum hudud? Adakah hj hadi mula mengakui bahawa hukum tidak boleh memperbaiki masyarakat, sebaliknya iman sahaja yang boleh memperbaiki diri seseorang sepertimana yang jemaah tabligh sedang perjuangkan?

    ReplyDelete
  3. Mempelajari agama adalah sesuatu yang dituntut dalam islam. Hatta ada hadis sahih mengatakan menuntut ilmu sampai keliang lahat. Itu satu tanggunjawap yang perlu diambil berat oleh setiap umat yang mengaku tiada tuhan yang disembah melaikan Allah dan nabi , Muhammad itu pesuruh Allah. Setiap manusia memang lumrah suka mencari kesilapan manusia yang lain. Menuding dan menunjuk jari yang satu kepada orang lain sedangkan jari yang empat menunjuk kepada dirinya. Sebagai umat Islam yang telah diajar oleh Rasulllah tentang perpaduan dan kesejahteraan ummah adalah wajib bagi kita untuk bersatu padu sesama islam tidak kira dia dari fahaman politik yang berbeza. Menegur dan melentur cara berkemah adalah ajaran nabi junjungan kita. Jangan kita dijadikan jambatan untuk orang lain memperolehi kebaikannya.

    ReplyDelete