Friday, December 28, 2012

Amanat Haji Hadi: UMNO Terasa Pedasnya Cili ?


Tiba-tiba sahaja isu PAS kafirkan UMNO melalui 'Amanat Haji Hadi' timbul. Sekian lama ia tidak pernah dibicarakan, tiba-tiba menjadi perbualan hangat di media seolah-olah ada perancangan rapi dan tujuan tertentu ia dibangkitkan.
Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO sedang mencari isu untuk menyediakan suasana kondusif untuk mengadakan pilihanraya. Untuk menang, UMNO perlu mencari isu-isu yang menyerang PAS dan Pakatan Rakyat iaitu isu-isu yang boleh menjadi 'kambing hitam' untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap penyelewengan UMNO dan Barisan Nasional.
Pengakuan Deepak melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pembunuhan Altantuya dan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap campurtangan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam urusan polis sangat merimaskan UMNO untuk menghadapi pilihanraya. Amat sukar untuk UMNO dan Barisan Nasional menang dalam pilihanraya jika mereka dalam keadaan bertahan, tidak menyerang.
Justeru, peluru 'zaman Jepun' perlu digunakan untuk menyerang balas Pakatan Rakyat. 'Amanat Haji Hadi' dilihat isu yang terbaik untuk menyerang walaupun ia adalah isu lapuk. UMNO silap jika menyangka bahawa peluru tersebut boleh mematikan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Rakyat telah pun memahami bahawa isu ini ditimbulkan hanyalah kerana pilihanraya makin hampir.
 
'Amanat Haji Hadi' bukan ucapan menghukum orang UMNO sebagai kafir. Ia adalah ucapan untuk menerangkan kepada seluruh umat Islam tentang batas iman dan kufur. Tugas menerang adalah tugas yang menjadi tanggungjawab semua para pendakwah agar umat Islam tidak tergelincir daripada aqidah yang sebenar.
Perhatikan kata-kata 'amanat' tersebut: "Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku." Jelas, ia adalah amaran agar umat Islam perlu berhati-hati agar tidak mengamalkan politik suku, agama suku kerana ia boleh merosakkan aqidah.
Begitu juga perkataan: "Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam." Perkataan ini bukan bermaksud orang UMNO itu kafir, jika mati berlawan dengan mereka maka ia mati syahid. Tetapi maksud mati syahid di sini ialah mati dalam keadaan memperjuangkan Islam dan menegakkannya. Perjuangan PAS adalah jihad yang mendapat balasan pahala daripada Allah s.w.t. Jihad itu sendiri mempunyai makna yang luas yang tidak terhad pada peperangan dan pembunuhan. Ia melingkupi semua usaha dan pengorbanan sama ada masa dan harta untuk menegakkan agama Allah.
Kenyataan bahawa "Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO, kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah" menguatkan lagi bahawa 'amanat' tersebut ditujukan kepada semua orang Islam. Ia bermaksud sesiapa sahaja sama ada UMNO atau pun tidak yang mengekalkan perlembagaan sekular penjajah akan ditentang.
UMNO perlu membezakan di antara 'menerang' dan 'menghukum'. 'Menerang' adalah menyebut secara umum tanpa disebut nama individu yang terlibat sebagaimana yang terdapat dalam 'amanat' tersebut. Ada pun menghukum, ia adalah dakwaan terhadap individu tertentu. Ia bukan kerja para pendakwah tetapi ialah adalah tugas para hakim. Hakim perlu mendapatkan bukti bahawa fulan bin fulan telah mengatakan sesuatu yang menjejaskan aqidah tanpa dipaksa dan dalam keadaan jahil. Jika cukup keterangan maka hakim boleh menjatuhkan hukuman kafir terhadap individu tersebut.
UMNO umpama orang yang memakan cili dan merasai pedasnya. Adakah orang UMNO merasai bahawa mereka telah memisahkan antara politik dengan agama? Oleh kerana itu mereka merasakan bahawa 'amanat' tersebut hanya ditujukan kepada mereka sedangkan ia ditujukan kepada semua orang Islam hatta kepada orang PAS sendiri. Hakikatnya, UMNO tidak dapat membezakan di antara 'menerang' dan menghukum'. Mereka tidak perlu terasa jika mereka tidak pernah menganggap politik tiada kena mengena dengan agama. Mereka sepatutnya menyedari pentingnya agama dalam memandu politik

2 comments:

  1. Bagaimana pula dengan kenyataan setiausaha agung PAS, Mustafa Ali ini? "MASALAH HUDUD, BUKAN AGENDA BERSAMA DALAM PAKATAN RAKYAT..AGENDA BERSAMA DALAM PAKATAN RAKYAT ADA SINI..MEMPERTAHANKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN, DAN AGAMA-AGAMA LAIN BOLEH DIAMALKAN DENGAN AMAN DAN DAMAI...KEMUDIAN MASALAH HAK ISTIMEWA MELAYU, INSTITUSI RAJA DAN BAHASA MELAYU..INI...BERSAMA KITA"
    adakah ini tidak menunjukkan PAS akan berpegang dgn undang2 jahiliyah yang dengannya pas mengkafirkan UMNO?
    Tak tahulah, anda berjuang kerana assobiyah atau atas dasar perjuangan islam sejati....

    ReplyDelete
  2. Ini pulak ialah ikrar pakatan rakyat :-"Bahawasanya kami, Dengan menginsafi bahawa asas keadilan dan demokrasi semakin runtuh di bumi Malaysia; Dan menginsafi bahawa rakyat Malaysia semakin dinafikan hak dan terus menerus dipinggir daripada mengecapi kekayaan negara.

    "Maka kami, para pendukung Pakatan Rakyat dengan penuh iltizam berikrar akan menjunjung cita-cita murni membina sebuah Malaysia baru yang demokratik, adil dan berkebajikan. Dengan ini, kami berjanji:

    "Pertama: Akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar-Dasar Bersama Pakatan Rakyat;

    "Kedua: Akan menumpukan sepenuh usaha dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat;

    "Ketiga: Akan memperkukuhkan kerjasama di kalangan anggota-anggota parti kompenan Pakatan Rakyat.


    Tak tahulah samaada anda nak percaya atau tidak... islam bukan hanya sekadar bersemangat untuk memerintah,bukan agama dalam usaha nak memerintah. (kecualilah fahaman Syiah) islam adalah agama penyatuan, agama toleransi, agama nasihat dan dakwah.

    ReplyDelete