Thursday, November 10, 2011

Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang menyempurnakan Ibadah Qorban . Kenangan Raya Haji 1432









KITA baru sahaja meraikan Aidiladha dan melewati hari-hari awal Zulhijjah yang istimewa nilainya dalam Islam. Kita juga baru menunaikan solat hari raya yang merupakan khususiat (keistimewaan) umat ini seperti solat istisqa’ (minta hujan) dan kusuf (gerhana matahari).
Antara dua solat hari raya, solat Aidiladha lebih afdal daripada solat Aidilfitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah: Oleh itu, kerjakanlah solat (Aidiladha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah qurban (sebagai bersyukur). (al-Kauthar: 2-3)
Dalil ini juga menunjukkan bahawa ibadah yang dituntut pada Aidiladha bukan setakat ibadah jasad iaitu solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban.
Ibadah korban merupakan sunat muakkad bagi umat Islam dan makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan.
Rasulullah SAW sendiri memberi amaran kepada orang yang enggan berkorban, sebagaimana sabdanya: “Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berkorban tetapi tidak berkorban, maka jangan hadir di tempat solat kami”.
Sesiapa yang melakukan korban pada hari tersebut, akan diampunkan dosanya dan ahli rumahnya pada titik pertama darah sembelihan korbannya.
Sesiapa yang memberi makan dan bersedekah dengannya, akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang yang mendapat keamanan dan timbangannya lebih berat daripada Jabal Uhud.
Aidiladha adalah Idul Akbar (raya terbesar) bagi umat ini kerana banyaknya pembebasan daripada neraka atau pengampunan dosa yang dianugerahkan oleh Allah pada hari sebelumnya iaitu hari Arafah.
Tidak dilihat pembebasan dari neraka yang lebih banyak daripada pembebasan pada hari Arafah seperti yang disebut dalam hadis. Sesiapa yang telah dibebaskan, maka keesokannya adalah hari raya baginya dan sekiranya tidak maka dia berada jauh daripada rahmat Allah dan dijanjikan dengan seburuk-buruk balasan.
Memandangkan betapa besar dan mulianya hari-hari yang terdapat dalam bulan Zulhijjah ini, maka seharusnya kita membesarkan dan memuliakannya dengan merebut peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin dengan melakukan pelbagai amalan soleh.
Telah dijelaskan, bahawa amal soleh yang dilakukan pada hari-hari tersebut lebih afdal daripada berjihad pada jalan Allah. Maka tidak sepatutnyalah, sebagai orang yang berakal dan menjadikan akhirat sebagai matlamat hidupnya, menyambut hari yang penuh dengan kemuliaan ini dengan agenda-agenda yang berbentuk keduniaan dan secara acuh tak acuh.
Rata-rata kita melihat, umat Islam hari ini termasuklah kita sendiri, tidak membesarkan bulan Zulhijjah sebagaimana agama membesarkannya. Mungkin kerana tiada pengetahuan atau mungkin juga kerana tidak prihatinnya kita terhadap agama sehingga kita terlepas pandang!
Disambut hambar
Rentetan itu, kita melihat, tidak sedikit umat Islam yang menyambut Aidilfitri lebih meriah, lebih hebat dan lebih lama daripada Aidiladha. Ada yang memenuhi Aidiladha dengan pergi berjalan-jalan dan melancong ke sana sini tanpa diisi dengan amal soleh yang sepatutnya.
Tidak kurang pula, ada yang beranggapan Aidiladha hanyalah hari menyembelih korban, berkumpul bersama keluarga, hari balik kampung dan sebagainya.
Akhirnya, Aidiladha hanya tinggal Aidiladha. Kehadirannya disambut hambar dan hanya diisi dengan program dan acara yang bercorak keduniaan. Waktu-waktu yang baik dan mustajab yang dikurniakan kepada sang hamba yang dikasihi, dipersia-siakan begitu sahaja.
Kelebihan bulan ini bukan sahaja disediakan bagi orang yang pergi mengerjakan haji di Baitullah tetapi kepada semua umat Islam yang sentiasa berusaha mengambil kesempatan mengabdikan dirinya kepada yang sepatutnya disembah.
Dengan segala kelebihan yang telah disebutkan bermula dari satu Zulhijjah sehinggalah hari melakukan solat Aidiladha dan korban, apakah munasabah kita meraikannya dengan apa yang telah kita laksanakan selama ini?
Apakah kita mahu termasuk di kalangan orang-orang yang melepaskan peluang keemasan yang disediakan oleh Allah? Apakah kita mahu membiarkan sahaja hadiah yang hebat dengan hanya melakukan perkara yang mudah?
Ingatlah sesungguhnya ini adalah anugerah Allah kepada kita. Jangan sampai peringkat, kelak Allah akan menahan anugerah ini daripada kita disebabkan sikap acuh tak acuh kita! Na’uzubillah min Zalik.
Justeru, sementara kesempatan masih ada, marilah bersama-sama kita merenung dalam-dalam sikap dan kealpaan diri kita. Marilah kita menukar cara hidup acuh tak acuh dengan ribuan peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita semata-mata kerana kasih dan sayang-Nya kepada sikap berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Alangkah ruginya kita, yang selama ini terlalu asyik melayan kehendak nafsu serakah. Apakah hasil dan kepuasan yang kita perolehi dengan bersikap sedemikian?
Di manakah letaknya pertimbangan akal yang waras, kebijaksanaan dan kekuatan yang kita banggakan, sekiranya dunia dan nafsu yang tidak memiliki kelebihan seperti yang kita miliki masih dapat menguasai dan menewaskan kita?
Jika kita sudah terlepas beberapa kelebihan awal Zulhijjah dan Aidiladha tahun ini maka marilah kita menyesali kealpaan kita itu dengan sesungguh penyesalan. Kerana kadang-kala penyesalan yang tulus dek terlepas sesuatu amalan itu mungkin dinilai lebih besar daripada amalan itu sendiri.
Kemudiannya, kita mohonlah kehadrat Allah membolehkan kita menemuinya lagi di tahun-tahun yang mendatang dan kita berazam agar dapat menghayatinya dengan lebih sempurna.

No comments:

Post a Comment