Thursday, November 3, 2011

Seksualiti Merdeka: Ingin laksana 'revolusi gila'


KUALA LUMPUR, 3 Nov: Slogan Queer Without Fear program Seksualiti Merdeka 2011 menunjukkan golongan berkenaan terlalu menginginkan revolusi gila mereka itu terlaksana.
Justeru, Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (Unggas) berpendapat program itu amat bertentangan dengan norma budaya segenap lapisan masyarakat yang wujud di Malaysia.
“Baik agama Islam, Buddha, Hindu bahkan Kristian sekalipun melarang hubungan sejenis mahupun ‘kemerdekaan gender’ yang mereka perjuangkan,” kata jurucakapnya, Ciffi Faizal Zahinor.
Katanya, golongan yang menubuhkan kumpulan ‘seksualiti merdeka’ itu bukanlah terdiri dari golongan yang biasa-biasa sahaja tetapi kebanyakannya terdiri daripada golongan artis, pelukis, penceramah, peguam, pakar perubatan serta golongan elit yang berorientasikan pemikiran liberal.
Golongan itu, ujarnya bijak memilih perkataan ‘merdeka’ seumpama mereka dijajah, didikriminasikan oleh kerajaan dan ‘golongan agama’.
“Namun realitinya, golongan inilah yang sebenarnya dijajah oleh pemikiran ‘kuning’ budaya barat yang sebelum ini tidak pernah digembar-gemburkan di rantau Asia ini,” ujarnya lagi.
Menurutnya, slogan queer without fear atau ‘ganjil tanpa rasa takut’ jelas mengajak mereka yang sefahaman dengan golongan itu tampil ke hadapan untuk meninggalkan adab susila budaya Timur.
Beliau menambah, jika dilihat pada tentatif program, ternyata penganjuran program kali ini amat tersusun jika hendak dibandingkan tahun 2008 dahulu yang hanya menjalankan persembahan pentas dan beberapa ceramah bebas.
Namun, katanya berlainan pula pada tahun ini di mana mereka telah berjaya mengumpulkan aktiviti berbentuk forum dan ceramah yang berfokus kepada ke arah menjadikan Malaysia negara yang menerima seksualiti songsang sebagai satu gaya hidup.
Selain itu, ujarnya golongan itu juga giat berusaha agar satu polisi bagi melindungi hak-hak mereka terlaksana.
“Program ini harus disekat daripada terus diadakan kerana ia amat bertentangan dengan akidah dan sudah tentu terang-terangan melanggar fitrah kejadian manusia,” tegasnya.
Selain itu, tambah beliau impak kepada program itu adalah ia akan lebih banyak menyebabkan dan menggalakkan penyakit jangkitan seksual seperti HIV/Aids dan penyakit kelamin.
Menurutnya, melalui program itu juga, dikhuatiri fahaman liberalisma semakin tersebar dan akhirnya akan menyebabkan kerancuan kepada masyarakat.
Beliau berkata, dari satu sudut yang lain pula, penganjuran program seperti itu sebenarnya amat bercanggah dengan norma budaya masyarakat Asia sendiri yang terkenal dengan kesopanannya dan amat berpegang teguh kepada agama dan adat warisan.
“Unggas amat khuatir sekiranya berlaku kepincangan rumahtangga jika pihak-pihak berwajib mengambil langkah untuk ‘menghalalkan’ program-program sebegini seperti yang sedang berlaku di negara barat,” ujarnya.
Katanya, kerosakan dan kepincangan masyarakat memang tidak akan dirasai dalam masa yang singkat tetapi akan tetap berlaku jika semua pihak menganggap program-program seperti itu sebagai suatu perkara yang remeh.

No comments:

Post a Comment