Wednesday, November 2, 2011

Jadikan sahabat Nabi sebagai idola- Titah Tengku Mahkota Kelantan


KOTA BHARU, 2 Nov: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra menyeru remaja Kelantan menjadikan para sahabat Rasulullah sebagai idola mereka.
Titah baginda, nama-nama besar seperti Saad bin Abi Waqas, Talhah bin Ubaidillah dan Zubair Al-Awam adalah antara belia kental, malah memeluk agama Islam ketika masih remaja.

Beliau berkata demikian ketika bertitah merasmikan majlis perasmian penutup Karnival Remaja 2011 anjuran Jabatan Agama Islam Kelantan, di Balai Islam, Lundang, dekat sini tengahari tadi.

Lebih 1,000 remaja seluruh Kelantan pelbagai latarbelakang pendidikan yang terpilih menyertai program itu.

Antara yang hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidian dan Dakwah negeri, Ustaz Muihammad Mustapha, Pengelola Istana Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan lain-lain pimpinan.

Titah Tengku Mahkota lagi, mereka (Saad, Talhah dan Zubair) adalah antara nama-nama besar dalam sejarah Islam sebagai sahabat Nabi malah kehidupan mereka selepas memeluk Islam dihabiskan dengan mempertahan agama Allah.

“Remaja Islam yang masyhur dalam sejarah Islam itu wajar dijadikan idola sekiranya ingin menjadi seorang remaja yang beriman, bertaqwa dan berakhlak,” titah baginda lagi.

Pada masa yang sama baginda memuji penganjur yang menganjurkan program berkenaan memandangkan ianya mampu menjadikan medan dakwah yang berkesan.

“Usaha dakwah bukan suatu perkara yang mudah, ianya perlu dilakukan dengan cara yang lebih tersusun bagi mendapatkan hasil yang baik,” titah Tengku Mahkota.

No comments:

Post a Comment