Sunday, October 23, 2011

Tuan Guru Abdul Wahab Hassan,Tokoh PAS Kedah Sempena Sambutan 60 Tahun PAS



23  OKTOBER 2011
SEMALAM TN GURU HJ WAHAB HASSAN ( USTAZ AWANG LANAI -BALING KEDAH) 
DINOBATKAN TOKOH PAS KEDAH 
BELIAU HABISKAN MASA HIDUP DENGAN PERJUANGAN DAN SENTIASA KHIDMAT KEPADA PERJUANGAN ISLAM DENGAN IKHLAS ...


Beliau sudah 26 tahun menerajui PAS Kawasan Baling sebagai Yang DiPertua (YDP). Dalam usianya kini 72 tahun, beliau pernah memohon mengundurkan diri, namun dihalang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan.

Beliau juga kekal setia mengajar masyarakat pelbagai kitab Arab, fekah, tauhid, tasauf, usuluddin, tafsir dan hadis di pondok diasaskannya iaitu Madrasah Tahzib An-Nufuz, Parit Panjang, Baling.

Ketika sama, beliau terus memimpin masyarakat sebagai Imam dan Pengerusi Kariah Masjid Parit Panjang sejak tahun 1972 lagi. Sejak PAS menerajui Kerajaan Negeri Kedah, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Baling.

Nyata  sekali  beliau  adalah  tokoh  dan  permata  yang  tidak  ternilai  jasanya  kepada masyarakat. Itulah Tuan Guru Abdul Wahab Hassanyang lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Awang Lanai.

Beliau dilahirkan pada tahun 1938 di Kampung Tupai, Sik dan pernah menuntut dibeberapa buah pondok antaranya di Penanti, Pulau Pinang serta Pasir Tumbuh dan Bunut Payung, Kelantan. Pulang ke Kedah, beliau menyambung pengajiannya dengan Tuan Guru Omar Zuhdi Soleh dan berkahwin dalam usia 21 tahun dengan dikurniakan 10 cahaya matasebelum membuka pondok pengajiannya sendiri.

Wartawan Harakah Kedah, IZWAN ABDUL HALIM mencungkil perkongsian pengalaman bersama tokoh ulama dan pemimpin veteran PAS ini yang masih menerajui jawatan sehingga sekarang.


Penglibatan Dalam PAS

Menurut  Tuan  Guru,  beliau  mula  terlibat  dengan  PAS  pada  tahun         1969 yang  juga merupakan tahun Pilihan Raya Umum. Ujarnya, beliau bersama rakan-rakan bekerja kuat untuk pilihan raya itu. Mereka berjalan kaki dari rumah ke rumah yang jaraknya lebih 10 kilometer melalui jalan-jalan kampung yang tidak bertar.
“Tahun 1984, saya dipilih ahli kita di sini untuk jadi Yang DiPertua Kawasan. Masa tu saya bertanding dengan Haji Mat Romli bekas wakil  rakyat  sini.  Dalam  pemilihan  tu,  hampir 90  peratus  bagi sokongan pada saya.
“Walaupun saya tolak berkali-kali, tetapi tak tertolak-tolak juga. Jadi, mula saat tulah pegang jawatan,” ujarnya yang kini genap 26 tahunmenerajui PAS Kawasan Baling.

Tidak ada lagi mereka di Kedah yang seangkatan dengannya masihmemegang jawatan dalam PAS, bahkan beliau mungkin YDP PAS paling lama memegang jawatan di Malaysia.

Peristiwa  Memali juga berlaku semasa beliau menjadi YDP. Pada tahun  1986, beliau bertanding pilihan raya untuk Dun Kupang berhadapan Arwah Zainol Mat Isa tetapi tewas hampir hampir 2,000 undi.

“Hari keputusan tu, tak sempat tahu keputusan saya dah bertolak ke Makkah,” ujarnya tersenyum.
Pada pilihan raya berikutnya, Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor meminta beliau bertanding lagi namun beliau tolak.


Cabaran Menentang Umno

Menyentuh mengenai cabaran, beliau menjelaskan, PAS dahulunya menghadapi tentangan hebat daripada Umno. Tetapi kini di Baling khususnya, Umno tidak berupaya menyerang PAS melainkan perang saraf kecil dan fitnah. Hal ini menurut Tuan Guru berikutan orang PAS tidak ada yang melakukan kesalahan hingga menjadi modal politik buat Umno.

“Perang  saraf  mereka  memang  ada, mereka buat  pada orang kita yang  tak  faham perjuangan, jadilah pergeseran,” ujarnya.

Beliau pernah disembur gas pemedih mata dan ditangkap polis semasa berceramah dalam tahun 70-an di Markas PAS di Kupang bersama Mohamad Sabu.

“Polis suruh kami masuk dalam markas, tapi dalam markas pun dia sembur juga, zalim benarlah macam tu. Kena tangkap masa tu saya, wakil rakyat Kupang, (Almarhum) Ustaz Suhaimi Ahmad dan beberapa orang lagi. Cabaran tu pendek kata tak lah seteruk mana,” ujarnya lembut.


Mengimbas Peristiwa Memali

Cerita Tuan Guru, beliau bersama Ustaz Azhari ada menasihat As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya agar menyerahkan senjata api sah kepunyaannya yang dimiliki secara berlesen.

Malangnya walaupun diserah, pihak polis tetap bertindak melakukan sekatan jalan raya dan kepungan di Kampung Memali untuk menangkap Ustaz Ibrahim.

“Orang kampung ni, bila kena sekatan kepung macam tu naik angin juga. Jadi mereka ‘pegang’ Ketua Polis Daerah masa tu. Tapi mereka lepas balik, tak buat apa, cuma pegang saja.

“Ustaz Ibrahim ni cuba juga undur diri dari rumah dia, duduk merata-rata, di rumah kawan. Tapi apa sudahnya duduk macam tu? Akhirnya dia balik. Jadi sampainya masa, polis tak kurang daripada 2,000 orang buat kepungan ke Kampung Memali.
 “Macam dalam tv tunjuk  ada  senjata, (sebenarnya)  tak  ada.  Macam  parang-parang menebas, biasa-biasa, adalah. Tapi senjata berat tak ada. Ada dua pucuk senapang pun itu hak (anggota) Rela, ada orang di kampung tu dia Rela. Itu individu, mereka kena jaga keselamatan.

“Senjata tu bukan hak mereka (mangsa Peristiwa Memali). Ada senjata pun, mereka guna lastik, tapi tak padanlah dengan 2,000 polis yang kepung rumah Ustaz Ibrahim tu,” ujarnya menempelak pihak polis.

Katanya, kejadian  berlaku  pada hari  Selasa,  tetapi  malam  Khamis baru kesemua
syuhada itu dapat dikebumikan di Kampung Parit Panjang kecuali As-Syahid Ustaz Hassan dikebumikan di Hutan Kampung, Alor Setar.
“Jadi yang uruskan mayat, saya pun tak ingat ramai sungguh, mari seluruh Kedah, semua buat keputusan tak ada mandi, tak ada sembahyang, kafan. Semua setuju mereka syahid. Bukan mereka serang apa, tapi rumah mereka diserang. Jadi berdasarkan hadissesiapa  yang  pertahan  nyawa,  dia  mati  syahid. Sesiapa pertahankan harta, mati syahid.
“Jadi Ustaz Ibrahim ni tak ada dua, tidak ada tiga, dia pertahankan nyawa dia, pertahankan agama dia dan juga pertahankan hak dia. Pendek kata, semua pada hadis tu ada. Kita juga tengok  dahi  mayat-mayat  tu  berpeluh.  

Polis Persoal Fatwa

Sejak itu, polis mendatangi rumah beliau setiap hari selama sebulan bersoal mengenai mereka yang menghukumkan mangsa terbunuh sebagai syuhada.

Cerita Tuan Guru, beliau masih ingat seorang polis dari Bukit Aman bernama Yaakob yang datang kepadanya dengan membawa kitab dan membuka bab syahid.

“Minta maaf, saya tak pandai baca kitab Arab, kitab jawi bolehlah sikit-sikit. Saya mengajar pun kitab jawi saja, tak pernah pun saya baca kitab Arab. Jadi kalau encik tolong baca untuk saya baguslah,” ujarnya menyindir polis itu yang datang kepadanya setiap hari.

Akhirnya, Tuan Guru terpaksa meninggikan suara menegaskan bahawa beliau tidak akan beritahu. Sejak itu, polis yang datang mulai bertukar ganti.

“Jadi dengan nasihat Tuan Guru Haji Omar (Zuhdi) saya berundur pergi duduk di rumah dia. Polis mari saya tak adalah. Jadi kalau kira cabaran hidup, masa itulah berat sikit. Masa tu, program dengan parti pun tak berjalan, terhenti semua,” kenangnya.


Taktik Pilihan Raya Umno

Antara  taktik  pilihan  raya  yang  selalu  dijalankan  Umno  menurut  Tuan  Guru  adalah memasukkan pengundi dari luar kawasan. 
 “Kita saksikan sendiri, pengundi-pengundi ni ada bukan warganegara kita, tapi diberi kad pengenalan pasport. Ada Bangladesh, Myanmar,pernah  tenaga  PAS  tahan  sebuah  bas  datang melalui  jalan  Weng  dan  Nami  untuk  masuk  ke Kupang. Yang mari ni sudah tentu 100 peratus bagi undi pada BN. “Kita juga jumpa undi berkali-kali dari seseorang tu. Itu  yang  saya  perhati,  saya  pernah  jadi  PACA. Memang banyaklah mereka  (BN) main, mereka ugut, guna polis, tekan pegawai kerajaan. Ada juga yang beri kertas undi lebih dari satu pada orang yang akan undi mereka,” ujarnya menceritakan pengalaman pilihan raya. 
 Jelas  beliau,  petugas  PAS  sangat  tegas  menjalankan  tugas  semasa  pilihan  raya sebagaimana undang-undang yang termaktub.“Ikut undang-undang pilihan raya, ini (adalah) hari kita. Usah kata pegawai polis, Perdana Menteri sekalipun kita tak bagi masuk. Banyak masalah penipuan dalam pilihan raya dapat atasi.“Satu yang mesti kita cari jalan untuk atasi ialah undi pos. Macam di Belantik tu, bukan ada tentera di situ pun, tapi nama ada. Itu mereka (BN) boleh menang.” seru Tuan Guru. 
Zaman Tiga Pesuruhjaya 
 Dengan amanahnya selaku YDP, beliau telah berada di bawah kepimpinan tiga Pesuruhjaya PAS Kedah; Almarhum Ustaz Azhari Abd Razak, Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Nor dan Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. 
 “Ana nampak, masa Ustaz Azhari ni, dia kerjasama di dalam Badan Perhubungan tu kurang sikit. Sikap dia tu dia kasar, tak tolak ansur, tak terima pandangan orang, dia payah terima.
 “Mari Ustaz Fadzil, sikap dia sederhana, dia menerima sebarang pandangan orang, dia tidak tolak mentah-mentah. Makna kata dia ambil kira pandangan sesiapa saja ahli mesyuarat tu. Kalau tak berapa elok pun pandangan tu, nanti dalam ucapan penggulungan dia akan perbetul. Pandangan tu dia ambil kira. 
 “Ustaz Azizan ni dia keras, dia tegas, tapi pandangan orang dia terima. Dia memang ada sifat marah dia, tapi marah dia habis, bila habis boleh bincang. Ustaz Azizan ni macam tu, dia marah peringkat mula tu dia garang, lepas tu dia gosok balik,” ujarnya menceritakan watak mereka. 
   Kata Tuan Guru, beliau pernah menegur Ustaz Azizan dalam satu usrah ketika di awal Ustaz Azizan mengambil alih tanggung jawab sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah. 
 “Ustaz, kalau boleh kami ni mintalah, kami ni hati benak, tak cepat macam ustaz. Jadi kami minta ustaz buat penggulungan di akhir. Lepas semua orang keluar pendapat dan saya pun boleh keluar pendapat, ustaz gulung di akhir. Jadi kalau ustaz cakap awal-awal dah, tak ada‘mood’ lah saya nak bercakap lepas tu,” ujar beliau mengulangi tegurannya itu. 
 Menurutnya, Ustaz Azizan menerima teguran tersebut dan beliau pun mulai berubah sejak dari saat itu. 

Sukar Dicari Ganti

 Ujar Tuan Guru, beliau bersetuju dengan pembawaan tegas Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar Kedah pada ketika ini. Katanya, sejak mentadbir Kedah, tidak ada orang yang mampu ‘makan dan mempermainkan’ Ustaz Azizan. 
 “Sikap  selaku  pimpinan  terlalu  lembut  pun  tak oleh, keras pun tak boleh keras terus. Jadi kita setujulah  dengan  sikap  dia  sekarang  ni.  Jadi disamping sikap tegas dia, pandangan orang dia ambil kira,” jelas Tuan Guru. 
 Tuan Guru turut meluahkan kebimbangannya andai suatu hari nanti Ustaz Azizan melepaskan jawatan atau sudah tiada lagi. Katanya, beliau tidak nampak pengganti yang setanding. 
 “Orang yang nak boleh mengatasi macam dia sekarang, payah sikit. Kalau ada kebolehan, kebolehan secara duniawi tapi cara agama tak ada, ini masalah. Ada yang boleh agama, tapi kepimpinan tak ada. 
 “Dia lengkap, payah juga nak jumpa pimpinan macam dia. Kalau dulu ni orang nampak tok lebai pakai kain pelikat ni tak boleh, tapi dia boleh mengatasi segala masalah, cabaran daripada musuh dia atasi, dalam pentadbiran pun dia cekap,” ujarnya mengagumi. 
Kagumi Sultan Kedah 
 Berikutan beliau bertanding pada pilihan raya, Tuan Guru telah didesak oleh pihak Umno meletakkan  jawatannya  selaku  Imam  dan  Pengerusi  Kariah  Masjid  Parit  Panjang. Bagaimanapun,  selepas  itu,  para  penduduk  kembali  memintanya  memegang  semula amanah tersebut hingga rayuan mereka itu dibawa kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah. 
 Tuan Guru dijemput bertemu empat mata dengan Tuanku Sultan di pejabat baginda di Alor Setar. Saat pertemuan itu jugalah beliau berkesempatan bercerita kepada Tuanku mengenai kejadian Memali hingga Tuanku sebak menitiskan air mata. Beberapa ketika selepas itu,Tuanku berkenan mencemar duli menyiram air mawar di pusara para syuhada Memali. 
 Menyentuh mengenai Tuanku Sultan, Tuan Guru mengakui bahawa beliau mengagumi baginda. Menurut Tuan Guru, Tuanku Abdul Halim seorang sultan yang berperibadi baik lagi disenangi. 
 “Payah cari (Sultan seperti baginda), ada kasih sayang pada rakyat. Susah cari sultan macam baginda, dengan sangat tertibnya, hormat pada orang,” kaguminya.
Ujian Zaman Kemenangan 
 Kata Tuan Guru, sejak beliau memegang jawatan dari tahun 1984 sampai pilihan raya 2008 tidak  banyak timbul masalah. Malah, semua ahli jawatankuasa  kawasan  bekerja  kuat  tanpa  adakrisis. “Tetapi  bila  kita   dah  dapat  kemenangan  ni, timbullah orang-orang muda yang kita kata mereka ini  hendak  cepat tengok perubahan hingga tidakfikir  dah akhir hujung jatuh nak jadi macam mana kepada jamaah, ini masalahnya. 
 “Adalah sikit krisis tu tidaklah begitu besar. Itu perkara biasalah, bukan hanya di sini, manamana pun ada. Namun dapat kita jalan terus dan tak menghalang program yang kita rancang,” ujarnya. 
 Ditanya sama ada perkara tersebut berlaku kerana zaman kemenangan, beliau spontan mengakuinya. 
 “Sebab itulah. Saya nampak di zaman kemenangan inilah. Boleh jadi dalam hati tu ada hasad, mungkin begitu. Tapi bukan timbul di kalangan yang tua-tua, timbul dari yang mudamuda yang mereka tak rasa pahit maung perjuangan. 
 “Cuma mereka lahir tu boleh kata PAS dah dapat sokongan penuh masyarakat. Jadi mereka rasa dengan kerja mereka, usaha merekalah PAS boleh berjaya, jadi tak nampaklah usaha orang tua dulu,” luahnya. 

Kerjasama Pakatan Rakyat 

 Jelas Tuan Guru, kerjasama politik sepertimana dilakukan kini antara PAS, KeADILan dan DAP dalam Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang memang perlu diadakan. 
 “Bagi diri saya, pendeknya kita (PAS) biar macam mana kerjasama, cemburu ‘ghirah’ tu kena ada. Kerjasama ni pernah dilakukan Rasulullah sendiri, tahaluf siyasi. Hanya boleh kita buat tahaluf siyasi ini, dengan adanya Islam. 
 “Kerana  dengan  sikit  bilangan  kita,  sikit  persiapan  kita,  kerana  mengharap  mereka menerima Islam, mereka membayar hasil (cukai) kepada kita, bila ada empat perkara ini kita boleh tahaluf siyasi. 
 “Tapi bukan boleh kita terus kekal atas nama tahaluf ini, sekiranya kalau mereka mungkir, bila-bila kita batal. Jadi bagi saya, dalam tahaluf siyasi, kita dalam Pakatan Rakyat ini kita terima, dengan kita berwaspada,” nasihatnya. 
Nasihat Buat Umno 
 “Umno ni, saya nasihat mereka terimalah Islam. Kalau hendak selamat di dunia dan akhirat, disamping  kita  mendukung  perjuangan  Islam,  bangsa  kita  sendiri  akan  dapat  kita pertahankan,” ujarnya melontarkan peringatan. 
 Katanya, Umno kini sibuk menimbulkan isu mengenai bangsa Melayu, namun huruf bangsa Melayu yakni jawi pun tida mampu dipertahankan Umno. 
 Sedangkan  katanya,  bangsa  Siam  di  Thailand  sudah  lebihmenggunakan tulisan huruf mereka untuk sebarang mata pelajaran. 
 “Jadi Umno kalau yang itu tidak boleh pulih balik, tak usah cakap lainlah. Pendek kata, selagi tak kembali kepada Islam, tak usahlah perpaduan dengan Umno. Sekarang ni kalau kira dengan Umno, Umno ni lebih susah berkira dengan bukan Islam. Umno ni lebih liat lagi 
 “Sebab itu pimpinan kita tak terima (kerjasama atau perpaduan) dengan Umno. Bila mereka kuat balik, mereka akan kuis kita (tendang PAS), tak fikir dah Melayu nak hidup macam mana, mereka tolak mentah-mentah. Sebab tu kita tak sanggup kerjasama. 
 “Mereka hebohlah macam mana nak hidupkan bangsa Melayu, nak pertahan kedaulatan Melayu, kita tak percaya. Dulu masa mereka kuat ada majoriti 85 peratus Umno tak dapat nak pertahan huruf bangsa Melayu apatah lagi sekarang tinggal 48 peratus majoriti. 
 “Sekarang baru nak teriak? Saya harap Umno berhentilah, kalau terus dengan dasar kebangsaan itu, Umno akan tenggelam dalam arus politik tanah air,” tempelaknya. 
Taujihat Buat Pimpinan 
 Kepada  para  pimpinan  PAS,  Tuan  Guru  menasihati  mereka  agar  banyak  bersabar terutamanya dalam berhadapan ahli sendiri. 
 “Maklum sahajalah orang yang banyak bersembang di kedai kopi ni orang yang tak tahu politik, tak tahu nilai politik, akibat hujung jatuhnya. Punya semangat nak Islam menang tapi ada sesuatu tujuan dia. 
 “Kalau orang yang betul-betul faham politik, bila menang sekalipun, kalau dia minta sesuatu tak boleh, dia senyap begitu saja. Orang berkuasa 52  tahun  pun  tak  boleh  bagi  sepenuhnya kehendak rakyat  apatah kita  baru  dua tahun berapa  bulan  saja.  Beranak  anak  umur  dua tahun pun tak boleh masuk sekolah lagi. 
 Bagi  pimpinan selalu  kena  bagi  nasihat  dan kena nasihat. Sebab itu usrah negeri tu sebulan sekali,  semua  pimpinan  kawasan  boleh  bagi teguran pada pimpinan (negeri). Teks usrah kita pun dikarang dari kitab ulama haraki, maknanya sangat munasabah berdasarkan perjuangan kita. 

 “Apa yang kita rasa terkilan, kita tidak simpan, kita berterus terang dalam usrah. Dalam mesyuarat kita bincang masalah dan program, dalam usrah kita bincang masalah peribadi. Bagi saya peringkat pimpinan ni tak teruk kita nak tegur mereka sebab mereka ada ilmu, ada pengalaman. Yang susah nak atasi, yang sembang kedai kopi. Jadi kena banyak sabar, tak melenting,” ujarnya menitip nasihat berharga.


SUMBER :http://60tahunpas.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment