Friday, October 21, 2011

Siswa berdemo desak tarik balik gantung tugas Aziz Bari



Tidak kurang 700 mahasiswa hari ini berhimpun bagi membantah tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.

NONEPerhimpunan itu berlangsung di perkarangan masjid UIA selepas solat Jumaat kira-kira jam 1.45 petang.

Bantahan diketuai beberapa pemimpin mahasiswa. Antara mereka, Pengerusi Solidiriti Mahasiswa (SMM) Ahmad Syukri Abdul Razab dan aktivis mahasiswa Mohd Hilman Idham.

Mereka melaungkan "Hidup Ilmu", Lawan Kezaliman", "Bebas Aziz Bari" dan seterusnya menuntut kebebasan akademik di seluruh universiti di seluruh negara khususnya di kampus berkenaan.

Mahasiswa yang berang itu menyokong dan mendokong Abdul Aziz serta mendesak universiti membatalkan hukuman penggantungan kepada pakar pelembagaan itu.

Semalam UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

NONETindakan terhadap pakar itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Kenyataannya itu mengundang kontroversi apabila beberapa pemimpin Umno termasuk media yang dikuasai mereka mendakwa tindakan itu cuba memburuk-burukkan institusi raja-raja Melayu sehingga tekanan dibuat bagi beliau digantung tugas.

Cabul kebebasan pensyarah

Dalam bantahan hari ini, sebelum bergerak untuk menyampaikan memorandum kepada Rektor UIA Prof Datuk Zaleha Kamaruddin, kedua-dua pemimpin mahasiswa itu menyampaikan ucapan ringkas membantah keras penggantungan Abdul Aziz.

NONE"Itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana mancabul hak kebebasan pensyarah," kata Mohd Hilman yang disambut dengan laungan "Hidup Mahasiswa" dan "Bantah Kezaliman dari hadirin.

Ahmad Syukri pula menuntut pihak universiti memberikan kebebasan akademik kepada pensyarah.

Bahkan beliau juga mempersoalkan apakah Dr Abdul Aziz membuat fitnah sehingga beliau dikenakan tindakan gantung tugas.

"Kalau ilmu lawan dengan ilmu, bukan dengan tindakan menggantung," katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Profesor Datuk Zainal Kling dari UPSI tidak dikenakan sebarang tindakan susulan kenyataannya bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

NONESelepas ucapan ringkas itu, Ahmad Syukri mengajak mahasiswa berarak bersama-samanya ke pejabat Zaleha untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Sewaktu berarak, berlaku kekecohan apabila pengawal keselamatan universiti dan beberapa anggota polis cuba menghalang mereka daripada menuju ke pejabat rektor UIA, menyebabkan berlakunya tolak menolak.

Hal demikian menyebabkan berlakunya pergelutan antara mahasiswa, pengawal keselamatan dan beberapa anggota polis di situ.

Ketika kejadian, mahasiswa lain pula, terus melaungkan "Hidup Mahasiswa" beberapa kali.

Tolak menolak

Tolak menolak selama kira-kira 10 minit itu menyebabkan beberapa pemimpin mahasiswa yang lain termasuk Mohd Hilman cuba menenangkan keadaan dan berbincang dengan pihak keselamatan.

NONEHasilnya, beliau bersama Ahmad Syukri dibenarkan menyerahkan memorandum berkenaan  kepada timbalan rektor UIA di pejabatnya kira-kira jam 2.15 petang.

Bercakap kepada hadirin selepas itu, Ahmad Syukri berkata perjuangan mahasiswa masih belum selesai kerana Abdul Aziz masih belum dibebaskan.

"Kita jangan (cepat) berpuas hati, kita akan tampil pada masa akan datang kalau (isu) ini tidak selesai.

"Kita jangan mengeluh dan jangan mengalah," katanya yang disambut dengan sorakan mahasiswa.

Menurutnya, sekiranya tidak selesai, perkara itu akan dilanjutkan pada 25 Oktober ini, apabila  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual melawat universiti berkenaan.

NONESehubungan itu, beliau menggesa pentadbiran universiti menyelesaikan perkara ini sebelum "perkara lebih besar" akan berlaku.

Sementara itu, Mohd Hilman berkata perhimpunan mereka hari ini adalah untuk menghantar "mesej yang jelas" kepada UIA.

"Kalau mereka tekan mahasiswa, kita lawan. Kalau mereka tekan pensyarah, lagi kita lawan," tegasnya mendapat sorakan gemuruh mahasiswa yang lain.

Beliau juga menggesa rakan-rakannya meneruskan perjuangan "selagi universiti tidak menarik balik" penggantungan Abdul Aziz.

'Turun lebih besar'

Kata-katanya itu disambut dengan laungan setuju oleh mahasiswa yang lain.

NONE"Dengar khabar ada pemimpin negara akan datang, kita minta UIA jangan sampai kita turun lebih besar," katanya.

Turut hadir dalam perhimpunan tersebut adalah beberapa pemimpin PKR. Antara mereka, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Tian Chua (Batu) dan Amiruddin Saari (ADUN Batu Caves).

Mereka hadir memberi sokongan kepada perjuangan mahasiswa yang menuntut penggantungan ahli akademik itu ditarik balik.

Sebelum itu, sejak tengahari tadi, pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di pintu gerbang UIA manakala orang awam dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.

Menurut seorang pengawal keselamatan, selain orang awam, pihak media juga tidak dibenarkan masuk.

"Hanya sidang media jam 12 tengahari sahaja dibenarkan, selepas itu orang awam tak dibenarkan masuk, nak sembahyang Jumaat pun tak boleh.

NONE"Kami terima arahan tak benarkan orang awam dan media masuk hari ini,” kata pengawal keselamatan itu.

Pagi tadi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Rektor UIA Prof Datuk Zaleha Kamarudin menarik balik hukuman terhadap pakar perlembagaan itu.

Mereka menuntut penggantungan tersebut ditarik balik dengan kadar segera "bagi memulihkan imej UIA sebagai institusi akademik yang disegani".

Sokongan SMM

Mereka juga mendesak agar pihak universiti mengadakan siasatan secara adil terhadap kenyataan akademik Abdul Aziz dan bukan melalui "tekanan undang-undang-undang yang bercanggah dengan prinsip akademik".

"Mahasiswa menuntut agar pihak universiti menghormati prinsip kebebasan akademik selaras dengan tuntutan universal yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan Akademik dan Ahli Akademik 1970, Senarai Hak Akademik 2001 dan Kempen Akademik untuk Kebebasan Akademik," kata mereka dalam satu memorandum.

NONEMemondum tersebut disokong oleh sembilan ahli gabungan dalam SMM antaranya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

No comments:

Post a Comment