Sunday, August 28, 2011

Takwa penentu kejayaan dunia, akhirat


CEPATNYA masa berlalu, kini kita berada di akhir Ramadan. Sudahkah kita mendapat takwa sebagaimana tujuan difardukan berpuasa.
Allah s.w.t menolong kita mendapat takwa dengan mengikat syaitan. Allah tolong lagi dengan suruh kita berpuasa supaya nafsu dapat dikalahkan, Allah gandakan amalan kita supaya lagi cepat kita dengan takwa, Allah turunkan pula al-Quran supaya ada dibaca dan dijadikan panduan.
Al-Quran diturunkan pada lailatulqadar supaya bertambah mudah dapat takwa malah yang bagusnya ada juga yang bertanya apa itu takwa?
Betul juga dengan soalan itu. Takwa bukan sekadar melaksanakan perintah dan meninggal kan larangan Allah s.w.t Orang melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan tidak selalu berdasarkan takwa.
mereka taat mungkin kerana ada sebab lain seperti mengingin kan upah, pujian dan inginkan pengaruh. Mereka juga mening galkan yang dilarang kerana ingin menjaga nama baik, takut dihukum, takut dihina dan takut diasingkan.
Begitulah apabila maksud takwa di salah erti dan disempitkan. Takwa berasal dari kata waqa-yaqi-wiqayah yang ertinya memelihara.
Hujahnya, daripada surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara kamu dan keluargamu dari api neraka”.
Dalam al-Quran, Allah menyeru dengan kalimat ittaqu atau yattaqi. Tambahan huruf pada asal kata waqa membawa perubahan makna.
Takwa adalah aset yang amat penting untuk dunia dan akhirat. Kemenangan, kejayaan dan keselamatan di dunia dan akhirat ditentukan oleh takwa.
Jadi, takwa itu sangat mahal, justeru banyaklah perkara yang perlu kita ketahui. Kalau di dunia ini banyak perkara yang hendak cari, takwa adalah pencarian yang diutamakan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Hendaklah kamu menambah bekalan. Maka sesungguhnya, sebaik-baik bekalan itu adalah sifat takwa.” (Surah Al Baqarah ayat 197).
Di dalam ayat di atas, sifat takwa sebagai bekalan itu tidak dikhususkan untuk bekalan akhirat tetapi dunia juga.
Tapi ramai muallim dan tok guru menghuraikan sifat takwa itu sebagai bekalan di hari akhirat semata-mata. Walaupun akhirat itu yang terpenting tetapi banyak dalil yang membuktikan bahawa takwa itu juga bekalan untuk dunia.
Di antara dalil sifat takwa itu bekalan untuk akhirat adalah seperti firman Allah s.w.t:
1. “Akan tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya bagi mereka Syurga yang menga lir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Surah Ali Imran ayat 198).
2. “Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan
melipatgandakan pahala bagi nya.” (Surah at-Thalaq ayat 5).
3. “Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertakwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari kiamat.” (Surah al-Baqarah ayat 212).
4. “Jika penduduk satu kampung beriman dan bertakwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf ayat 96).
5. “Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang soleh (bertakwa).” (Surah al-Anbiya ayat 105).
6. “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (Surah at-Thalaq ayat 2-3).
7. “Bertakwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.”
(Surah al-Baqarah ayat 282).
Takwa adalah modal paling besar dan senjata paling ampuh bagi orang mukmin di dunia. Kalau tidak ada takwa, mungkin Allah bantu juga seperti Allah bantu orang-orang kafir.
Ertinya dapat bantuan dan pertolongan atas dasar istidraj iaitu atas dasar kutukan dan kemurkaan Tuhan. Tuhan beri dengan tidak reda. Atas kejayaan itu, mereka menjadi sombong dan angkuh dan akan melakukan maksiat di atas muka bumi.
Orang Mukmin diberi kemena ngan dan kejayaan atas dasar takwa. Ramadan, al-Quran, puasa, Tarawih, qiamullail, sedekah, lapar, ingat mati, taubat, doa adalah pakej takwa.
Ya Allah, senaraikan kami dalam kumpulan muttaqin bagi Ramadan kali ini. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment