Saturday, June 11, 2011

PAS Parti Dakwah

Duta penyelamat dan kasih sayang.. itulah slogan yang digunakan oleh Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam misi dakwah baik di operasi dakwah malam tahun baru, ekspidisi dakwah orang asli, OPS masih ada yang sayang malam merdeka dan kerja-kerja kemasyarakatan yang lain. Dalam merealisasikan slogan utama PAS Untuk Semua dan Membangun Bersama Islam slogan Duta Penyelamat Dan Kasih Sayang merupakan satu pendekatan mempengaruhi psikologi umum masyarakat. Inilah sebahagian bukti yang menyangkal bahawa PAS ini hanyalah ditubuhkan untuk menyertai pilihanraya semata-mata. Dakwah adalah teras kepada penubuhan PAS yang ditubuhkan pada 1951 oleh ulama’ terdahalu bagi mengantikan parti yang di haramkan oleh British iaitu Hizbul Muslimin yang mengimpikan sebuah negara Islam yang merdeka.

Dr Muhammad Natsir dalam fiqh dakwahnya menyatakan bahawa dakwah ialah mengajak manusia kepada Allah sehingga ingkar kepada thogut dan beriman kepada Allah, dan keluar dari kegelapan jahiliyah menuju cahaya nur (Islam). Melihat ayat-ayat al Qur’an dan Sunnah serta pendapat para ulama maka dapat disimpulkan bahawa Dakwah Islamiyah adalah sebuah aktiviti yang bersifat total, yang bertujuan untuk mengubah pemikiran, perasaan, dan perbuatan manusia agar sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dalam rangka mewujudkan masyarakat Islam. Maka dengan itu boleh kita memahami sesungguhnya itulah punca mengapa PAS ditubuhkan untuk menyertai pilihanraya di Malaysia. Pilihanraya adalah wasilah bagi PAS, andaikata pilihanraya itu tidak wujud dan negara Islam itu tertegak di Malaysia,maka tidak menjadi masalah buat PAS. Isunya sekarang adalah Malaysia belum menjadi negara Islam yang sempurna.

Firman Allah S.W.T :

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”. (An Nahl : 125)

Sejajar dengan firman Allah S.W.T itu, maka penyertaan PAS dalam pilihanraya tidak lain hanyalah untuk berdakwah dan menegakkan hukum Allah secara hikmah. Ianya termaktub dalam perlembagaan PAS :

Fasal 5. Tujuan PAS ialah:


(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Fasal 6. Usaha-Usaha:

(1) Menyeru umat manusia kepada Syari'at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari'ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

(3) Memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

(4) Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memehami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

(5) Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

(6) Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama mana ianya mujstahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

(7) Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Qur'an.

(8) Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

(9) Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

(10) Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjalinkan hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

(11) Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

Jika kita memahami kandungan fasal 5 dan 6 dalam perlembagaan PAS ini jelaslah bahawa PAS itu tertubuh adalah sebagai entiti dakwah yang menyertai pilihanraya untuk menegakkan hukum-hukum Allah. Akan tetepi ianya tidak berhenti sekadar memahami PAS itu entiti dakwah selain parti politik. Perlu juga untuk kita hadami dan fahami bahawa PAS itu tunjang utamanya adalah tarbiyyah. Elemen tarbiyyah sangat penting dalam mengkaderkan da’e yang mantap. Program-program seperti Usrah, tamrin, muqayyam, liqo’ dan kuliah penting bagi hati dan jiwa ahli jamaah. Mungkin kita boleh lahirkan politikus dan amilin yang lantang suaranya, hebat madahnya,membara semangatnya dan mantap gerak kerjanya. Akan tetapi malanglah PAS jika kaderisasinya itu lemah dari segi thaqafah, pemahaman ilmu agama dan kurang pada akhlaqnya. Maka program-program itulah penting bagi melahirkan seorang amilin atau petugas yang ikhlas dan mantap rohani,emosi dan jasmani.

Sehubungan dengan itu saya mengajak semua ahli Jamaah agar sama-sama kita meningkatkan ilmu dan mengikhlaskan niat serta merapatkan saf mengutuhkan ukhwah agar PAS dapat menegakkan negara kebajikan berteraskan Islam di Malaysia hatta menjunjung kembali sistem khilafah di dunia

No comments:

Post a Comment