SURAH ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah seperti pendapat
jumhur. Ia mengandungi tujuh ayat dan diturunkan selepas surah
al-Takathur. Ada pendapat mengatakan surah ini termasuk dalam Madaniyyah
seperti pendapat Ibn Abbas dan Qatadah.
Dalam surah terdahulu, Allah SWT berfirman:
* (Dia telah memberi makan kepada mereka untuk menghilangkan
lapar) manakala dalam surah ini Allah SWT mencela orang yang tidak
menganjurkan memberi makan kepada orang miskin.
* (Hendaklah mereka menyembah Tuhan pemilik rumah ini), manakala dalam surah ini Dia mencela orang yang lalai dalam sembahyang.
* Allah SWT menerangkan pelbagai nikmat yang diberikan kepada orang
Quraisy padahal mereka mengingkari hari kebangkitan dan pembalasan.
Dalam surah ini Allah SWT mengancam dan menakut-nakutkan mereka dengan
seksaan-Nya.
Firman Allah SWT: Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
Itulah orang yang mengherdik anak yatim. Dan tidak menganjurkan memberi
makan orang miskin.
Berkenaan dengan ayat pertama ini, ulama telah khilaf kepada enam pendapat tentang sebab turunnya:
* Kepada seorang lelaki di kalangan munafiqin seperti pendapat Ibn Abbas.
* Diturunkan kepada Amru bin A’iz seeprti pendapat al-Dahhak.
* Diturunkan kepada al-Walid Ibn al-Mughirah seperti pendapat al-Suddi.
* Diturunkan kepada al-’As bin Wa’il sebagaimana pendapat Ibn al-Sa’ib.
* Diturunkan kepada Abu Sufyan bin Harb seperti pendapat Ibn Juraij.
* Diturunkan kepada Abu Jahal sebagaimana pendapat al-Mawardi.
Perkataan al-Din yang bermaksud agama ditafsirkan oleh al-Mawardi dan lainnya kepada empat pendapat:
* Hukum Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas.
* Hari hisab sebagaimana pendapat Mujahid dan Ikrimah.
* Balasan pahala dan dosa seperti hikayat al-Mawardi.
* Al-Quran seperti pandangan sebahagian ahli tafsir.
Al-Mawardi menafsirkan maksud mengherdik anak yatim dengan tiga pendapat:
* Menghina dan memandang rendah kepada anak yatim. Inilah pendapat Mujahid.
* Menzalimi anak yatim sebagaimana pendapat al-Suddi.
* Mengasari anak yatim dengan keras seperti pendapat al-Dahhak.
Sayid Qutub berkata: Ayat ini dimulakan dengan pertanyaan yang dihadapkan kepada siapa yang boleh melihat.
Orang yang mendengar pertanyaan ini akan tertunggu-tunggu untuk
melihat kepada siapa ia ditujukan dan jawapannya ialah, Itulah orang
yang mengherdik anak yatim. Dan tidak menganjurkan memberi makan orang
miskin.
Mungkin jawapan itu memeranjatkan apabila dibandingkan dengan takrif
keimanan yang biasa tetapi ini merupakan intisari hakikat keimanan iaitu
orang yang mendustakan agama ialah orang yang menindas, menghina dan
menyakiti anak-anak yatim dan tidak menggalakkan orang lain memberi
makanan kepada orang miskin.
Jika benar ia mempercayai agama dan jika benar hakikat keimanan telah
mantap di hatinya, tentulah dia tidak akan mengherdik anak yatim dan
menganjurkan memberi makan orang miskin.
Hakikat mempercayai agama bukannya kata-kata yang dituturkan lisan
tetapi perubahan dalam hati yang mendorong seseorang membuat kebaikan
dan kebaktian sesama manusia.
Allah SWT tidak menghendaki kata-kata daripada manusia tetapi Allah
mahukan tindakan yang mengotakan kata-kata mereka. Tanpanya ia tidak
mempunyai nilai di sisi Allah SWT.
Tiada yang lebih tegas dari tiga ayat tersebut dalam menegakkan
hakikat yang menggambarkan roh dan tabiat akidah Islam dengan gambaran
yang jelas.
Kami tidak mahu termasuk dalam perdebatan fikah mengenai takrif
keimanan dan Islam kerana bertujuan dijadikan asas untuk ditegakkan
hukum-hukum muamalah. Surah ini jelas pada hakikat agama yang sebenar
mengikut pertimbangan Allah SWT.
Firman Allah SWT: Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. Orang-orang yang berbuat riak.
Ibn Mas’ud berkata: Demi Allah, mereka tidaklah meninggalkan langsung
solat tersebut, tetapi kalau mereka meninggalkan semuanya sudah pasti
mereka menjadi kafir. Sebaliknya, mereka banyak bertangguh dan tidak
memelihara waktunya.
Sayid Qutub berkata: Mereka bersembahyang tetapi tidak mendirikan
solat. Mereka melakukan gerak-geri solat dan membaca segala bacaannya
tetapi tidak menghayatinya.
Jiwa mereka tidak menghadirkan hakikat solat dan isi bacaannya serta
doanya. Mereka solat bukan kerana Allah tetapi semata untuk menunjuk
kepada orang ramai. Tidak terkesan dalam jiwa bagi mereka yang lalai
dalam solatnya. Mereka enggan memberi pertolongan kepada saudara mara
mereka kerana kelalaian ibadah kepada Allah SWT.
Terdapat nas al-Quran yang mengecam orang yang tidak melakukan solat
dengan sebenarnya. Mereka kerjakan solat untuk riak dan ia perbuatan
yang sia-sia malah merupakan maksiat yang menunggu balasan yang berat.
Firman Allah SWT: Dan enggan (menolong dengan) barang berguna.
Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut: Maksud ma’un dengan enam pendapat:
i. Jarum, air, api dan kapak. Begitu juga dengan barangan yang menjadi keperluan rumah. Inilah riwayat Abu Hurairah.
ii. Zakat seperti pendapat Ali, Ibn Umar, al-Hasan, Ikrimah dan Qatadah.
iii. Ketaatan sebagaimana pendapat Ibn Abbas pada satu riwayat.
iv. Harta benda seperti pendapat Said bin al-Musayyib dan al-Zuhri.
v. Perkara yang makruf sebagaimana pendapat Muhammad bin Ka’ab.
vi. Air. Inilah pendapat al-Farra’.
Al-Maraghi berkata: Mereka menolak sesuatu yang lazimnya penolakan
itu tidak wajar berlaku kerana permintaan orang kafir ataupun orang kaya
sehingga penolakan itu membawa kepada maksud tabiat yang tercela dan
akhlak yang buruk. Barangan yang dimaksudkan itu seperti periuk, kapak,
parang dan sebagainya.
Imam Muhammad Abduh berkata: Mereka itulah yang mengerjakan
sembahyang tetapi ia sedikit pun tidak mendatangkan manfaat kepada
mereka, tidak dapat membebaskan mereka daripada termasuk dalam golongan
orang yang mendustakan agama malahan tidak ada bezanya antara mereka
yang berpegang dengan syariat Islam atau sebaliknya.
Ini kerana hukum Allah SWT hanya satu sahaja. Ia tidak menerima
mana-mana syariat agama yang mempunyai tipu daya dan tidak ada nilai
kecuali syariat yang benar lagi praktikal.
Ini sesuai dengan kehendak Allah SWT selaku Tuhan yang menentukan
batasan-batasan amalan dalam hukum-hukum syariat. Mereka yang
dimaksudkan mengerjakan ibadah semata-mata untuk dilihat oleh orang
lain, tidak menafkahkan harta dan tidak berasa bimbang dengan bahaya
yang akan menimpa tubuh badan.
Seterusnya mereka melakukan kecacatan yang mengaibkan diri, tidak menghulurkan bantuan, tidak ada perasaan belas kasihan.
Ciri-ciri khusus yang dimiliki oleh orang yang membenarkan agama yang
membezakannya dengan pendusta agama ialah bersikap adil, belas kasih
dan mendatangkan kebajikan kepada orang lain.
Ciri-ciri khusus pendusta agama; meremehkan hak orang lemah, tidak
mengambil berat orang yang memerlukan bantuan, berbangga dan cintakan
harta, bermegah-megah dengan kekuatan dan tidak melakukan kebajikan
kepada orang yang berhak dibantu.
Sepatutnya kaum muslimin yang mengaku dirinya beriman itu mengukur
keadaan dirinya dengan apa yang dibacanya dalam surah yang mulia ini.
Ini supaya mereka dapat mengetahui apakah mereka termasuk dalam golongan yang membenarkan atau golongan yang mendustakan agama?
Semoga masyarakat Malaysia menjadi masyarakat penyayang serta menjadi golongan yang suka membantu sesama individu
No comments:
Post a Comment