KOMUNIKASI dan penyebaran maklumat tidak berlaku secara lisan tetapi disebar pantas secara maya (virtual) melalui internet. Penciptaan alat komunikasi ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan baik.
Pengguna perlu berdisiplin, mengikut peraturan dan bertanggungjawab supaya kemajuan itu tidak disalahgunakan terutama menyebarkan perkara tidak benar. Amat mendukacitakan apabila ada menggunakan kemudahan internet ini untuk menyebarkan maklumat palsu, pembohongan dan fitnah.
Senario ini menyebabkan masyarakat berada dalam dilema, sama ada mahu mempercayai atau terus menafikan sesetengah maklumat yang disebarkan melalui internet atau lisan itu.
Kesan penyebaran maklumat melalui lisan mahupun internet sama saja. Jika secara lisan maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitu juga melalui internet. Malah melalui internet, latar belakang diri boleh dirahsiakan menggunakan nama samaran dan maklumat diri yang palsu.
Ada kala ini menyukarkan untuk mengesan ‘orang’ yang mendalanginya. Oleh itu, segala berita yang disebarkan, tidak kira melalui lisan mahupun internet hendaklah diselidik terlebih dulu. Untuk menilai kesahihan sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran sudah ada garis panduannya.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Allah sudah memberi peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti serta menyelidik terlebih dulu berita disampaikan kepada mereka. Jangan tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita dan jangan terlalu cepat menafikannya sebelum membuat penelitian terhadap kebenarannya.
Takut jika terlalu tergesa-gesa membuat keputusan berdasarkan berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.
Sebab penurunan ayat ini ada disebutkan hubung kait dengan berita dibawa al-Walid ‘Uqbah. Sa‘id daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW mengutuskan al-Walid ‘Uqbah untuk mengambil hasil kutipan zakat daripada kaum Bani Mustaliq yang telah mengaku beriman kepada Rasulullah SAW dan memeluk agama Islam.
Apabila al-Walid tiba di perkampungan Bani Mustaliq, tiba-tiba hatinya berasa takut dan gentar. Lalu al-Walid bergegas pulang ke Madinah dan melaporkan kepada Rasulullah bahawa kaum Bani Mustaliq telah murtad (terkeluar daripada agama Islam).
Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan Khalid al-Walid bersama sekumpulan tentera ke perkampungan Bani Mustaliq untuk memastikan sama ada benar atau palsu berita disampaikan al-Walid.
Kedatangan mereka itu secara rahsia kerana mahu Khalid menyelidik terlebih dulu dan jangan tergesa-gesa mengambil tindakan. Khalid dan tenteranya tiba di perkampungan Bani Mustaliq pada waktu malam.
Khalid kemudian menghantar beberapa orang perisik untuk menyelidiki keadaan kaum Bani Mustaliq dengan lebih dekat. Tidak berapa lama, perisik tadi datang kepada Khalid membawa laporan kaum Bani Mustaliq masih berpegang kuat dengan agama Islam. Buktinya azan masih kedengaran dan mereka menunaikan solat secara berjemaah.
Setelah itu, Khalid dan tenteranya pulang menemui Rasulullah SAW membawa laporan. Maka turun ayat 6, surah al-Hujurat. Kemudian Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyelidik dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah adalah daripada syaitan.”
Walaupun hadis di atas membicarakan sikap al-Walid yang menyebarkan berita palsu, tetapi hukumnya umum dan berlarutan sehingga ke hari akhirat. Kaedah tafsir menetapkan pengajaran dan iktibar itu diambil kira berdasarkan lafaz umum bukan sebab khusus.
Kisah ini memberi peringatan dan panduan kepada kita adab atau etika apabila menerima sesuatu maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Sikap tergopoh-gapah menerima sebarang berita disampaikan boleh mendatangkan penganiayaan kepada orang lain.
Umat Islam seharusnya berhati-hati menerima berita yang disebarkan. Penyebaran dan perkongsian maklumat yang tidak berpandukan kaedah ditetapkan dalam al-Quran dan hadis, boleh menimbulkan ketegangan dan pertelagahan dalam masyarakat.
Akhir-akhir ini, berita berbentuk khabar angin, hasutan, gosip liar dan fitnah, banyak disebarkan. Semuanya sengaja diada-adakan untuk tujuan tertentu. Namun, masih ada segelintir umat Islam yang mudah menerima tanpa memastikan kebenarannya.
Umat Islam dilarang cepat menghukum seseorang tanpa menyelidik berita disampaikan terlebih dulu. Contoh dalam asbab nuzul ayat di atas, jika al-Harith dan kaumnya dijatuhkan hukuman, maka sudah tentu ia penganiayaan dan kezaliman.
Selain itu, umat Islam juga seharusnya berfikir dengan rasional manfaat dan kemudaratan hasil tindakan yang akan dilakukan. Oleh itu, pandangan atau pendapat orang bijak dalam mempertimbang manfaat dan kemudaratan, perlu dihormati dan diterima pakai
No comments:
Post a Comment