Tuesday, May 10, 2011

Syeikh Faisal al-Mawlawi رحمه الله

Pada hari Ahad, 8hb. Mei 2011 lalu, telah meninggal dunia Syeikh Faisal Mawlawi pemimpin al-Jama’ah al-Islamiyyah di Lubnan pada usia sekitar tujuh puluh tahun. Faisal Mawlawi adalah seorang qadhi, faqih, penasihat, pemikir dan pendakwah Islam. Namanya sudah masyhur dikenal di Lubnan, malah dunia Arab, Islam dan juga Eropah.
Beliau adalah kelahiran tahun 1941 di bandar Tarabulus, Lubnan, dan merupakan salah seorang aktivis Islam yang paling menonjol di Lubnan. Beliau pernah menjadi ketua Persatuan Pendidikan Islam, Lubnan, berkhidmat sebagai setiausaha am bagi al-Jama’ah al-Islamiyyah, Lubnan, presiden Bait al-Da’wah wa al-Du’at sejak ia ditubuhkan pada tahun 1990 dan juga ahli jawatankuasa pengurusan Persidangan Islam Nasional.
Syeikh Mawlawi telah menamatkan pengajian undang-undang di Fakulti Undang-Undang di Universiti Lubnan, dan pengajian Syariah Islam di Fakulti Syariah di Universiti Dimasyq, Syria. Beliau telah menerima sarjana muda undang-undang dari Universiti Lubnan, Fakulti Undang-undang dan Sains Politik pada tahun 1967, sarjana muda Syariah Islam dari Universiti Dimasyq, Fakulti Syariah pada tahun 1968, dan sijil pengajian lanjutan dari Universiti Sorbonne di Paris. Beliau juga pernah meraih anugerah penceramah Islam terbaik dari Majlis Antarabangsa Pemuda Islam di Riyadh.
Allahyarham telah menjawat pelbagai jawatan, antaranya sebagai hakim syar’i di Lubnan pada tahun 1968, dan kemudian bertukar-tukar tugas antara mahkamah-mahkamah syariah rendah di Rasyaya, Tripoli danBeirut. Kemudian dilantik sebagai penasihat di Mahkamah Syariah Tinggi di Beirut pada tahun 1988 dan terus tetap dengan jawatan tersebut sehinggalah beliau bersara pada tahun 1996. Beliau memegang gelaran "hakim kehormat dengan pangkat penasihat". Syeikh Faisal Mawlawi telah mengasaskan di Perancis Kesatuan Islam dan Kolej Pengajian Islam Eropah, dan menjadi mursyid agama bagi Kesatuan Organisasi-organisasi Islam di Perancis dan kemudian di Eropah sejak tahun 1986 sampailah beliau meninggal dunia.
Beliau turut memberikan sumbangan dalam pembentukan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah di United Kingdom pada bulan Mac 1997, di bawah pimpinan Syeikh Yusuf al-Qaradawi. Beliau dipilih oleh Majlis Antarabangsa Pemuda Muslim sebagai pendakwah Islam terbaik di Eropah dan dianugerahkan dengan anugerah kehormatan.Beliau menjadi dekan pengasas bagi Kolej Pengajian Islam Eropah di Perancis sejak ditubuhkan pada tahun 1990. Ia adalah sebuah institusi bagi pengajian Islam yang bertaraf universiti dan dikhususkan untuk golongan muslim Eropah. Beliau terus dengan jawatan tersebut sehingga tahun 1994. Semasa meninggal dunia, beliau masih sebagai naib presiden Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah.
Di antara buku-buku yang ditulisnya ialah:
  1. تيسير فقه العبادات (tentang fiqh ibadah)
  2. دراسات حول الربا والمصارف والبنوك (tentang riba dan perbankan)
  3. أحكام المواريث، دراسة مقارنة (tentang fara’idh)
  4. الأسس الشرعية للعلاقات بين المسـلمين وغير المسلمين (tentang hubungan antara Muslim dan non-Muslim)
  5. نظام التأمين وموقف الشريعة منه (tentang insurans).
  6. سلسلة مبادئ التربية الإسلامية للمرحلة الابتدائية (Siri Asas-Asas Pendidikan Islam Peringkat Rendah - 5 juzuk)
  7. سلسلة التربية الإسلامية للمرحلة المتوسطة (Siri Pendidikan Islam Peringkat Menengah - 4 juzuk)
  8. موقف الإسلام من الرقّ (Pendirian Islam terhadap perhambaan)
  9. نبوّة آدم (Kenabian Adam)
  10. المرأة في الإسلام (Wanita dalam Islam)
  11. حكم الدواء إذا دخل فيه الكحول (tentang hukum ubat beralkohol)
  12. السلام على أهل الكتاب (Salam ke atas Ahli Kitab)
  13. المفاهيم الأساسية للدعوة الإسلامية في بلاد الغرب (tentang asas-asas dakwah di negara-negara Barat)
  14. أثر انهيار قيمة الأوراق النقدية (Kesan keruntuhan nilai wang kertas).
Rujukan:
  1. almoslim.net
  2. alrabita.info
رحمه الله تعالى

No comments:

Post a Comment