Wednesday, May 11, 2011

Jangan dilalaikan oleh kemegahan


 


SURAH al-Takathur mengandungi lapan ayat, ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kauthar. Hubungan surah ini dengan surah al-Qari’ah adalah dalam surah al-Qari’ah diterangkan tentang hari kiamat dan sebahagian huru-haranya serta balasan orang yang melakukan kebaikan dan orang yang melakukan keburukan.
Dalam surah al-Takathur ini pula disebutkan neraka Jahim iaitu neraka Hawiyah yang tersebut dalam surah al-Qari’ah. Disebutkan juga pertanyaan tentang amalan-amalan perbuatan manusia yang mereka lakukan semasa hidupnya dan sesetengah ini daripada urusan hari akhirat.
Sebab nuzul ayat
Ibn Hatim meriwayatkan daripada Abu Buraidah katanya: al-Hakumu’ takathur diturunkan berkenaan dua kabilah Ansar iaitu Bani Harithah dan Bani Harth.
Kedua-dua kabilah ini suka berbangga-bangga dan bermegah-megah, antara lain mereka mengucapkan: Apakah di kalangan kamu terdapat orang seperti si fulan? Mereka berbangga-bangga dengan pelbagai kabilah.
Kemudian, mereka pergi ke tanah perkuburan sambil berucap dengan menunjukkan ke arah tanah perkuburan, apakah di kalangan kamu ada orang yang seperti si fulan ini? Lalu Allah SWT menurunkan surah ini.
Firman Allah SWT: Bermegah-megahan telah melalaikan kamu.
Sayid Qutub berkata: Kehidupan dunia yang sekilas itu berakhir dan menutup lembaran yang pendek. Dan selepas itu zaman terus melanjut bersama bebanannya yang bertambah berat.
Saranan ini disampaikan oleh pengungkapan ayat sendiri dan ini menjadikan hakikat yang dibicarakan itu selaras dengan susunan ungkapan yang unik.
Sejurus seorang itu membaca surah yang hebat, mendalam dan menggerunkan yang mula-mulanya menjulang naik dengan nadanya yang lantang ke angkasa dan kemudian menjunam turun dengan nadanya yang tenang ke dalam lubuk hati, ia akan merasa betapa beratnya tanggungjawab hidup yang dihayatinya sebentar di dunia ini.
Kemudian ia memikul tanggungjawab yang berat itu dalam perjalanannya, kemudian di sanalah ia akan menghisabkan dirinya sendiri terhadap segala nikmat yang dinikmatinya sehingga sekecil-kecilnya.
Imam Muhammad Abduh berkata: Perkataan al-takathur boleh juga diertikan saling berlumba untuk mendapatkan jumlah yang banyak.
Maksudnya, masing-masing berlumba mencari harta yang lebih banyak atau pangkat yang lebih tinggi berbanding dengan yang lain dan berusaha ke arah itu semata-mata. Masing-masing berusaha agar hartanya melebihi yang lain atau kekuatannya lebih hebat daripada yang lain.
Oleh yang demikian, dia akan mencapai kepuasan dan berbangga dengan kekuatan seperti sikap kebanyakan orang yang bercita-cita dari kalangan pemburu-pemburu kekayaan dan kekuatan. Orang yang bersungguh-sungguh bekerja antara mereka untuk sampai kepada tujuan yang tinggi itu tidak berfikir untuk berkorban ke jalan kebaikan atau dengan kekuatannya itu berusaha membela kebenaran dan membawa orang yang sesat agar memerhatikan dan memahami tentang kebenaran itu, lalu melindunginya.
Ini adalah pengertian logik yang dipegang oleh sesetengah ahli tafsir dan sangat sesuai dengan pengertian yang terkandung dalam kalimah melalaikan kamu.
Firman Allah SWT: Sampai kamu masuk ke dalam kubur.
Al-Qurtubi berkata: Kamu diterpa kematian dan dimasukkan ke dalam kubur.
Ibn Kathir berkata: Kamu telah dilekakan dan disibukkan oleh kecintaan terhadap kemewahan kehidupan dunia daripada membuat persediaan untuk menghadapi alam akhirat.
Kealpaan kamu itu begitu ketara sehingga kamu diterpa oleh kematian secara mengejut dan di luar jangkaan kamu, lalu kamu datang mengunjungi kubur dan tinggal di situ dalam jangka waktu yang ditentukan.
Firman Allah SWT: Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). Dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.
Al-Mawardi berkata: Ini merupakan ancaman dan amaran yang keras dan pengulangannya pula menunjukkan penegasan. Ia mengandungi dua wajah:
i. Kamu pasti mengetahui ketika melihat apa yang aku serukan kamu kepada Allah adalah benar dan kemudian sekali lagi kamu mengetahui ketika bangkit bahawa apa yang aku janjikan kepada kamu adalah benar.
ii. Kamu pasti mengetahui ketika dibangkitkan bahawa kamu akan dibangkitkan kemudian akan diazab.
Firman Allah SWT: Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.
Perkataan janganlah begitu atau kalla, memberi dua maksud:
i. Ia memberi maksud kecuali. Inilah pendapat Abu Hatim.
ii. Ia bermakna yang sebenarnya. Inilah pendapat al-Farra’.
Adapun ilmu al-yakin, ia memberi dua maksud:
i. Ilmu berkaitan kematian yang menjadi yakin tanpa syak. Inilah pendapat Qatadah.
ii. Ia bermaksud apa yang kamu tahu dengan yakin selepas kematian dari kebangkitan dan pembalasan. Inilah pendapat Ibn Juraij.
Firman Allah SWT: Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim.
Ayat ini ditujukan kepada orang kafir yang pasti masuk ke dalam neraka. Adapun pendapat kedua, ia adalah umum di mana orang kafir akan menghuni neraka Jahim sedangkan orang yang beriman akan melalui atas titian sirat.
Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin.
Sayid Qutub berkata: Kemudian Dia menyampaikan pernyataan akhir yang membuat si mabuk siuman, yang lalai akan sedar dan yang leka memberi perhatian. Orang yang berpoya-poya dalam kenikmatan akan menggeletar dengan nikmat yang ada di tangannya

No comments:

Post a Comment