TOKYO, 12 Mac: Pemerintah Jepun mengisytiharkan darurat di lima kawasan loji nuklernya di wilayah Fukushima selepas sistem penyejukan loji berkenaan termasuk sistem sokongan gagal berfungsi selepas dilanda gempa pada ukuran 8.9 skala Richter semalam.
Arahan berpindah juga turut dikeluarkan ekoran kebimbangan berlaku kebocoran dan peningkatan kadar radiasi ke kawasan sekitar yang dihuni puluhan ribu penduduk negara itu.
Difahamkan sekurang-kurangnya 20,000 penduduk telah pun dipindahkan dari kawasan berhampiran oleh pihak keselamatan negara itu.
Sementara itu satu gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter di perairan timur Honshu, berlaku pada pukul 9.47 pagi waktu tempatan hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi adalah di 292 km dari timur laut Tokyo dan 4,243 km dari timur laut Kudat di Sabah.
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia dan jabatan sedang memantau perkembangan berkenaan.
Agensi berita Kyodo News pula melaporkan sehingga kini 398 ditemui mati manakala 805 lagi masih hilang.
Lebih 1,000 orang dikhuatiri terbunuh dengan kebanyakan kematian akibat lemas.
Sekurang-kurangnya 124 gegaran pada ukuran 5 skala Richter berlaku selepas gempa kuat 8.9 skala Richter yang mengakibatkan tsunami setinggi 10 meter semalam
No comments:
Post a Comment