Tuesday, February 15, 2011

Maulidur Rasul: Buktikan kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad s.a.w

Untuk tujuan menyerlahkan lagi potensi manusia bernama Islam, para ulama’ bersepakat bahawa ia dapat diperolehi dengan mempelajari secara dalam Sirah Rasulullah s.a.w dengan penghayatan yang sebenarnya.
Ia bukan sahaja untuk mengetahui secara terperinci mengenai keperibadian baginda Rasulullah s.a.w, malah lebih daripada itu dengan memahami teknik pentadbiran negara yang ditunjukkan oleh baginda, konsep motivasi terhadap orang yang berada di sekelilingnya, aspek tarbiah kepada masyarakat serta membangun institusi tersebut, aspek ekonomi, politik, kejiranan, konsep Baitul Mal, teknik peperangan serta adab-adabnya dan banyak lagi yang membawa ummah ini menguasai bidang keduniaan dan ukhrawi (akhirat) yang tidak ada pada pemimpin dunia lain.

Perkara ini pernah ditegaskan oleh seorang pengkaji berbangsa Yahudi beraliran Orientalis, Michael H. Hart dalam buku The 100 : A ranking of the most influential persons in history, beliau dengan rasa tanggungjawab dan jujur menegaskan, telah meletakkan nama Rasulullah di tempat yang teratas sekali di kalangan pemimpin dunia, bahawa Muhmmad itu adalah seorang pemimin yang berjaya, kerana dia bukan sahaja memandu manusia untuk berjaya di dunia semata-mata, malah memandu mereka dengan kedua-dua aspek, iaitu kejayaan di dunia dan di akhirat, inilah yang tidak dilakukan oleh mana-mana pemimpin dunia hari ini, mereka hanya memandu manusia untuk berjaya dalam mengumpul harta benda dan melupakan kehidupan di akhirat
.....................................................................................................................
Berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta fadilatnya


Tindakan segelintir umat Islam dalam negara Malaysia yang tercinta sejak akhir-akhir ini, yang tidak menunjukkan sikap positif terhadap agama mereka sendiri, telah menyeret mereka dalam kancah perlakuan dosa-dosa besar, ia bermula dari ketidak-pelaksanaan undang-undang Allah yang termaktub dalam al-Quran beribu tahun lalu.

Ia terus dijejaki oleh individu dalam masyarakat umat Islam yang tidak terdidik dengan amalan cara hidup Islam, akibat penajaan persekitaran yang tidak Islamik yang dijana oleh sistem pemerintahan yang ada, hingga menjadikan individu tertentu berani bertindak menyanggah Allah melalui al-Quran dan Nabi Muhammad dengan mempertikaikan keperibadian serta ajarannya.
Maka terbentuklah suasana yang tidak mengarah kepada cintakan Islam dalam kepelbagaian bentuk dan pendekatannya, ini termasuklah untuk berselawat ke atas junjungan nabi Muhammad s.a.w yang merupakan salah satu cara untuk menjadi pengikut baginda yang terus beriltizam dengan ajaran Islam.
Program selawat kedengaran pada majlis tertentu seperti sambutan Maulidur rasul, namun selepas itu tindakan umat Islam seakan tiada hubungan dengan Rasulullah kerana pengucapan selawat ke atasnya terhenti.

Justeru, Islam melalui pendekatan al-Quran dan hadis-hadis nabi Muhammad, telah mengemukakan beberapa penjelasan dan fadilat berselawat ke atas baginda, bagi mereka yang berselawat, sesungguhnya mereka telah meraih beberapa kebaikan seperti di bawah ini ;

1. Sesungguhnya seorang individu yang berselawat itu, dia telah menepati Allah SWT dalam mengucapkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w seperti yang disebut dalam al-Quran.
2. Sesungguhnya orang yang berselawat itu telah menghiasi dirinya dengan akhlak para Malaikat yang sentiasa berselawat ke atas baginda Rasulullah.
3. Individu yang berselawat telah memenuhi arahan Allah yang termaktub dalam kitab suci-Nya al-Quran.
4. Sesiapa yang berselawat sekali sahaja ke atas baginda Rasulullah, sesungguhnya Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat.
5. Kejahatan atau dosa yang dilakukan oleh orang yang berselawat ke atas nabi, akan dihapuskan dengan sebab dia berselawat.
6. Fadilat atau kelebihan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w adalah lebih daripada membebaskan seorang hamba sahaya.
7. Sesiapa yang banyak berselawat ke atas junjungan Rasulullah akan memperolehi syafaat abginda pada hari kiamat.
8. Sesiapa yang banyak berselawat ke atas nabi, Allah akan cukupkan segala urusan hidupnya di dunia dan akhirat.
9. Berselawat ke atas baginda nabi Muhammad s.a.w merupakan jambatan penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya pada hari kiamat.
10. Berselawat ke atas baginda nabi Muhammad s.a.w akan menjadi penyebab bagi nabi untuk menjawab salamnya selepas dia meninggal dunia.
11. Segala selawat yang diungkapkan oleh seseorang itu, akan diangkat oleh para Malaikat dan akan disampaikan pula kepada baginda nabi.
12. Banyak berselawat ke atas nabi, akan memudahkan perjalanan seorang itu untuk menyeberagi titian sirat setelah ramai manusi kecundang untuk melakukannya.
13. Orang yang banyak berselawat, akan dikabul dan disegerakan permohonannya di sisi Allah.
14. Berselawat ke atas nabi sebagai penyebab bertambahnya iman seseorang itu kepada Allah SWT.
15. Orang yang banyak berselawat, merupakan jenis manusia yang bersungguh-sungguh dalam setiap tindakan dan usahanya.

Ini kerana sesungguhnya, baginda Rasulullah s.a.w sahaja yang layak untuk diucapkan salam dan selawat ke atasnya, ini disebabkan pemilihan baginda sebagai nabi dan rasul terakhir yang melengkapkan sistem perundangan yang serba sempurna dengan keadilan, kejituan, keuniversalan yang mencakup segenap realiti hidup manusia di dunia ini

No comments:

Post a Comment