Umat kini wajar mengikut jejak Rasulullah, sahabat supaya jadi hamba sentiasa diredai
MEREKA yang sempurna fizikalnya berjihad di medan tempur bersama Rasulullah SAW sering dipaparkan dalam kisah sejarah Islam untuk mempertahankan agama dengan roh jihad dan ada yang gugur syahid di medan tempur.
Itu tidak bermakna golongan kurang upaya (OKU) tidak terpanggil dengan seruan jihad kerana mereka juga bersama Rasulullah SAW mempertahankan agama, cuma mungkin kisah keperwiraan serta kehebatan semangat mereka tidak dihebahkan.
Diriwayatkan , Amru bin Jamuh adalah seorang yang kakinya pincang. Dia mempunyai empat anak yang selalu bersama Rasulullah SAW di medan jihad. Dia sendiri berhasrat untuk tampil bersama empat anaknya berjihad di medan Perang Uhud.
Mendengar hasrat ayahnya, maka anak dengan penuh berhemah berkata: “Wahai ayah, Allah SWT telah memberikan pelepasan kepada ayah. Jika ayah duduk saja, maka kamipun sudah cukup, Allah SWT telah melepaskan kewajipan berjihad dari bahu ayah.”
Mendengar nasihat anaknya itu, Amru segera menghadap Rasulullah SAW dan mengadukan perihal anaknya. Kata Amru kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, anakku menghalang aku untuk keluar bersamamu berjihad di jalan Allah. Demi Allah, aku sungguh berharap supaya mati syahid sehingga kakiku yang pincang ini, aku dapat berjalan di syurga.”
Lalu Rasulullah SAW pun bersabda: “Adapun engkau sebenarnya Allah telah melepaskan kewajipan berjihad ke atas kamu. Manakala kepada anak Amru, Rasulullah SAW mengatakan: “Tidak ada hak bagi kalian untuk meninggalkannya. Semoga Allah memberinya rezeki mati syahid"
Kemudian Amru dan empat anaknya bersama Rasulullah SAW serta pasukan Muslimin mara ke medan pertempuran yang berlaku cukup sengit. Mereka sekeluarga dengan semangat jihad yang menyala tanpa sebarang rasa takut menghunus pedang menggempur pasukan kafir musyrikin.
Ketika berlaku pertempuran Uhud itu ditakdirkan gugurlah Amru bin Jamuh sebagai seorang syuhada yang mendapat kedudukan dan darjat tertinggi di sisi Allah SWT.
Demikianlah hebatnya sahabat dan kaum Muslimin sezaman Rasulullah SAW mempertahankan agama hatta mereka adalah golongan OKU. Mereka tidak mahu ketinggalan menyumbang jasa dan bakti kepada Rasulullah SAW.
Semua itu lahir hasil pentarbiahan berkualiti dilaksanakan Rasulullah SAW sama ada ketika di Makkah mahupun selepas berhijrah ke Madinah. Aura iman mereka sangat menebal dan aroma ketakwaan cukup unggul.
Kita yang hidup pada zaman mutakhir ini sewajarnya menyusuri jejak keimanan dan ketakwaan sahabat terdahulu supaya menjadi hamba Allah SWT yang diredai, cemerlang di dunia dan bahagia di akhirat.
Kisah tadi, dapat disimpulkan bahawa Islam memberi pengecualian kepada OKU untuk berjuang di medan pertempuran. Namun, Islam juga memberi peluang sama rata jika ada golongan berkenaan yang sanggup berjuang seperti Amru.
Tidak kira apa juga keadaan atau kedudukannya, umat Islam sentiasa digalakkan melakukan amalan serta perbuatan yang diredai Allah SWT. Kekurangan bukan halangan atau alasan seseorang untuk lari daripada memenuhi tanggungjawab.
Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amal yang dicintai Allah SWT. Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: “Perbuatan apakah yang paling dicintai Allah? Jawab Baginda: Solat pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Kata Rasulullah: Kemudian berbakti kepada kedua orang tua. Aku terus bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Sabda Baginda: Berjihad di jalan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jihad di jalan Allah mempunyai kedudukan mulia dan tinggi di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli dari orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah, ayat 111)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu, berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia itu (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.” (Surah At-Taubah, ayat 38)
Berasaskan didikan cukup sempurna dengan semaian iman serta takwa, setiap golongan pada zaman Rasulullah SAW mempunyai kesedaran tinggi mempertahankan negara dan agama. Mungkin hari ini bukan semua sesuai bertempur di medan perang.
, pengertian jihad dilihat dalam konteks meluas kerana mempertahankan agama daripada ancaman pihak yang memerangi Islam dengan pelbagai cara juga dikira sebagai jihad di jalan Allah. Begitu juga menjaga nama negara, adalah jihad perlu dilaksanakan semua rakyat Malaysia
No comments:
Post a Comment