Sunday, November 14, 2010
Tuanku Sultan ucap tahniah kepada Menteri Besar di atas kecekapan pentadbiran
ALOR SETAR, 14 November - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana berjaya menerajui pentadbiran negeri Kedah dengan penuh keadilan, amanah dan proaktif.
Bertitah merasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Penggal Ketiga Mesyuarat Bajet 2011, KDYMM Tuanu Sultan memuji Kerajaan Negeri kerana memberi layanan yang adil dan mengeratkan hubungan antara kaum melalui pelbagai aktiviti yang telah dijalankan.
“Beta dapati kerajaan memberikan sepenuh daya usaha dan kerjasama kepada semua pihak bagi memajukan negeri ini,
“Atas semangat inilah kerajaan beta telah bersetuju supaya tempoh hayat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dilanjutkan tempoh 10 tahun lagi. Beta berharap agar kedua-dua institusi ini akan melipatgandakan usaha bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat disamping membawa perubahan dan kemajuan fizikal,” titah baginda.
Sehubungan baginda bertitah, keputusan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Kedah sebagai jelapang makanan negara adalah tepat pada masanya. Baginda menyeru agar para petani dan penternak melakukan transformasi kaedah pertanian secara kecil-kecilanm kepada kaedah pertanian bercorak komersil dengan lebih agresif.
Titah baginda, kerajaan telah menyediakan beberapa pertanian berskala besar yang melibatkan kerjasama GLC, syarikat swasta, para petani dan penternak.
KDYMM Tuanku Sultan sukacita dengan inisiatif Lembaga Pertanian Muda (Mada) yang melaksanakan program peningkatan hasil padi atau lebih dikenali sebagai projek Estet Padi secara berterusan. Hasil pelaksanaan Projek Estet Padi ini telah berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi sebanyak 5.8 tan sehektar. Di samping itu kerajaan juga terus memaju dan menaiktaraf kemudahan prasarana pengairan dan saliran kawasan sawah padi di luar kawasan Mada sebagai cara untuk meningkatkan hasil pengeluaran.
“Langkah seperti ini bakal mempercepatkan program transformasi perladangan secara berskala besar yang dirancang,
“Kerajaan beta juga merancang menjalankan ternakan akuakultur dan penanaman tanaman kontan secara berskala besar yang melibatkan peranan aktif syarikat GLC dan syarikat swasta. Dalam hal ini beta menyeru petani-petani yang berkemampuan menceburkan diri secara usahasama dalam program ini,” titah baginda.
Baginda turut menyentuh mengenai kemasukan pelaburan asing yang memberangsangkan yang bagi tempoh Januari hingga Julai 2010 jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan ialah sebanyak 1.8 bilion ringgit. Ini menggambarkan negeri Kedah merupakan destinasi pelaburan yang menarik dan menguntungkan di kaca mata pelabur asing.
Baginda juga berasa lega apabila mendapati Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan kutipan hasil pada tahun ini.
“Seperti yang beta sarankan dalam ucapan bajet lalu kerajaan menyediakan kemudahan kepada orang ramai untuk membuat bayaran hasil dengan pelbagai langkah dan wadah dilaksanakan seperti pembayaran secara online, kaunter bergerak serta tindakan penguatkuasaan yang aktif dari Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah.
“Ini telah memberi kesan positif kepada kutipan hasil yang dapat dapat dilihat melalui pertambahan kutipan hasil tanah, bagi tempoh sehingga Ogos 2010 sebanyak RM180 juta berbanding RM155 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu,” titah baginda.
Baginda menyeru semua pihak agar dapat melaksanakan tanggungjawab membayar cukai dan mengelakkan daripada tindakan penguatkuasaan.
Selain itu baginda juga sedar mengenai tunggakan permohonan tanah kerajaan, namun Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif tindakan proaktif untuk mempercepatkan proses kelulusan permohonan tanah.
“Alhamdulillah sehingga September 2010 kerajaan beta telah meluluskan sebanyak 3,403 permohonan tanah kerajaan yang berkeluasan 2430.45 hektar dan pada tahun 2011 Insya-Allah kerajaan beta akan memproses kelulusan pengeluaran hak milik 1,508 peneroka tanah Rancangan Felda yang masih belum mendapat hak milik tanah,” titah baginda.
Sempena Persidangan Bajet 2011 ini baginda amat berharap agar Ahli-Ahli Majlis Dewan Undangan dan Yang Berhormat-Yang Berhormat dapat menyumbang, menjana dan menzahirkan idea-idea baru bagi membolehkan ekonomi dan pembangunan negeri terus berkembang secara holistic dan pesat.
“Beta menyeru kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri dan Jabatan Persekutuan yang berada di bawah kerajaan beta agar tidak alpa dan leka serta sentiasa selesa dengan kemudahan yang dinikmati selama ini. Usaha gigih dan berterusan perlu sentiasa dilakukan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan di dalam mengurus dan mengatur urus aspek pentadbiran dan kewangan jabatan masing-masing,” titah baginda.
Sehubungan itu, amalam berbelanja secara berhemah hendaklah diutamakan dan dijadikan teras bagi mengawal pembaziran di dalam perbelanjaan. Pada masa yang sama, usaha meningkatkan kutipan hasil negeri hendaklah digiatkan di samping meneroka punca-punca hasil yang baru.
No comments:
Post a Comment