Wednesday, November 17, 2010

Kawal perasaan Marah ! . Marah biar kerana Allah , bukan kerana nafsu

Amal ibadat boleh jadi ‘penawar’ untuk hati daripada dikuasai perasaan benci, dendam


PERASAAN dendam, benci dan amarah boleh menimbulkan pergolakan serta kekacauan dalam masyarakat kerana sikap mazmumah ini jika dibiarkan berakar umbi dalam jiwa akan menanamkan bibit perselisihan.

Islam agama yang berpaksikan kesejahteraan mendidik umatnya supaya menjauhi sifat tercela ini yang boleh menggugat hubungan ukhuwah. Benci diibaratkan api yang diam-diam menyala dalam sanubari apabila tidak mampu dikawal, maka lahirlah tindakan dan perlakuan beremosi.
Seorang sahabat pernah datang menemui Rasulullah SAW memohon supaya Baginda dapat memberi pesan serta wasiat ringkas. Jawab Baginda: “Janganlah kamu marah.” Diulang sekali lagi pertanyaan itu dan Rasulullah SAW tetap menyebut:

“Jangan marah.”
Dalam menghadapi situasi kehidupan hari ini yang serba-serbinya mencabar, sifat marah jika sudah berada pada tahap melampau dan tidak mampu dikawal oleh pertimbangan akal serta agama, akan hanya membinasakan diri sendiri.

Sudah ramai yang dapat kita saksikan hari ini bagaimana sifat marah serta benci yang tumbuh dalam hati bertukar menjadi dendam kesumat yang diakhiri dengan tindakan kejam hingga memusnahkan kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

Justeru, tidak hairanlah mutakhir ini jenayah kejam seperti buli, mencederakan orang hatta membunuh semakin meningkat. Semuanya berpunca daripada gejolak hati yang marak mendidih tanpa dapat dikawal lagi.

Allah sentiasa mengingatkan hamba-Nya sentiasa menjaga hati supaya tidak termakan hasutan syaitan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (untuk kejahatan) itu datangnya daripada hasutan syaitan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 58)

Umat Islam terbaik adalah mereka yang menjaga perlakuan, lidah dan kalbunya daripada sifat tercela. Hati yang jernih dan bersih akan menampilkan akhlak indah serta terpuji. Masyarakat yang berhati luhur, bersopan santun serta mudah memaafkan akan melahirkan modal insan contoh.

Banyak cara yang boleh kita lakukan bagi menghindari sikap marah, dendam dan benci daripada terus bermaharajalela dalam hati dan nurani. Antara diajar Rasulullah SAW ialah melunakkan lidah dengan selawat, banyakkan berpuasa sunat, mengamalkan bacaan al-Quran supaya hati tenang dan tidak keluh kesah.

Selain itu, bagi meredakan kemarahan dan kebencian daripada terus bernyala, kita sepatutnya melihat daripada sudut positif seperti mengenang kembali kebaikan yang ada pada dirinya supaya berkurangan rasa marah dan benci dalam hati.
Kemampuan kita mengawal rasa dendam, marah dan benci yang bergelodak dalam jiwa menjadikan kita sebaik-baik manusia kerana Nabi Muhammad SAW selalu mengingatkan supaya bersedia untuk berjihad menentang hawa nafsu.
Ketika jenayah dan gejala sosial berleluasa dalam masyarakat di mana ramai menjadi mangsa perlakuan kejam serta ganas, masyarakat perlu menilai apa yang berlaku supaya dapat dijadikan iktibar.

Rasulullah SAW pernah berhadapan dengan kemarahan tatkala menyaksikan bagaimana bapa saudaranya, Saidina Hamzah Abu Talib dibunuh dengan kejam dan di luar batas kemanusiaan dalam perang Uhud.

Kemarahan dan perasaan dendam Baginda akhirnya dilembutkan Allah apabila turunnya ayat Al-Quran yang meminta Nabi tabah serta bersabar dengan ujian besar yang diterimanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka tentulah mereka akan lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)
Marilah kita mendidik diri supaya sentiasa berlembut hati, pemurah serta mudah memaafkan orang lain kerana itulah sifat Rasulullah SAW yang berjaya menarik ramai golongan Musyrikin yang keras, sombong dan degil hingga akhirnya mampu dijinakkan dengan kebenaran Islam.

No comments:

Post a Comment