Bismillahir Rahmanir Rahim
Perutusan Idulfitri 1431H Tok Guru , allahuakbar, allahuakbar.Lailaha Illallah Wallahu akbar.Allahuakbar Walillahil Hamd
Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.
Segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi di dalam bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri 1431H pada tahun ini. Sesungguhnya kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT ini wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan aktiviti ibadah dan seterusnya meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.
Orang yang bertaqwa hidupnya selari dengan agama. Hidup beragama terlalu jauh berbeza dengan hidup berdasarkan perlembagaan buatan manusia. Kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din). Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang mereka perlembagaan dapat membawa ruh perlembagaan buatan ini untuk memuaskan hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT. Tanpa ada seebarang keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). Bolehkah perlembagaan buatann ini menyelamatkan seseorang manusia itu darripada neraka Allah SWT.
Perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia mengandungi nur iaitu cahaya.
Cahaya itu bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka. Tanpa adanya cahaya ini mansua akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia.
Sebab itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT. Di negara kita, umat islam masih agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. Saya mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah iaitu bertakbir di merata-rata temppat.
Insya-allah jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan. Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. Melayu misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India Muslim. Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata.
Alhamdulillah, ini dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid-masjid dan madrasah-madrasah dipenuhi dengan kaum. Tanpa mengira bangsa, semua kita melafazkan amin apabila imam menghabiskan bacaan al-fatihah. Kita tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan. Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan.
Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. Insya-allah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai.
Selain itu, tidak lupa saya berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat berhati-hati semasa berada di jalan raya. Perlulah diingat bahawa kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. Janganlah pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan akibat perkara yang tidak diingini semasa di jalanraya. Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.
Salam Idulfitri. Minal ’aidin wal faizin.
Dengan hormat,
YAB TUAN GURU DATO BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
1 Syawwal 1431H
No comments:
Post a Comment